Anda mungkin biasa membuang air kecil sebanyak 4 hingga 8 kali sehari. Ia mungkin disebabkan anda minum banyak air sebelum itu.

Tapi, jika anda membuang air kecil lebih daripada 10 kali sehari dan tidak rasa puas semasa kencing, mungkin anda sedang menghadapi masalah kencing yang lebih serius. Ini juga mungkin tanda yang anda mempunyai masalah kesihatan yang lain.

punca kerap kencing
Sumber: Maskulin

Contohnya jika kekerapan membuang air kecil ini disertai dengan demam dan rasa ingin kencing dengan segera serta rasa tidak selesa atau sakit pada abdomen, anda mungkin mengalami infeksi trek kencing.

Inilah masa terbaik untuk anda berjumpa dengan doktor. Bagi memastikan yang anda benar-benar mempunyai masalah kerap kencing dan bukan sekadar kerana minum banyak air, doktor akan bertanya soalan-soalan seperti berikut terlebih dahulu:

  • Adakah kamu mengambil sebarang ubat-ubatan?
  • Adakah kamu mengalami simptom-simptom yang lain?
  • Adakah kamu mengalami masalah ini pada waktu siang sahaja atau pada waktu malam juga?
  • Adakah kamu minum lebih daripada biasa?
  • Adakah air kencing kamu lebih gelap atau lebih cerah berbanding kebiasaannya?
  • Adakah kamu minum alkohol atau air berkafeina?

Masalah kerap kencing juga datang dengan simptom-simptom tertentu. Antara simptom-simptom lain yang anda boleh perhatikan dan turut diambil perhatian oleh doktor ialah;

  • Kesakitan atau rasa tidak selesa semasa membuang air kecil
  • Kencing yang berdarah, keruh, atau dengan warna yang bukan biasa
  • Mulai hilang kawalan pundi
  • Sukar membuang air kecil walaupun ada keinginan
  • Cairan dari vagina atau zakar
  • Selera makan bertambah atau kerap haus
  • Demam atau kesejukan
  • Loya dan muntah
  • Sakit di bahagian bawah pada bahagian belakang dan sakit pada sisi

Perkara yang turut diberi perhatian juga adalahsejarah perubatan pesakit. Doktor lebih mudah mengetahui tentang masalah anda sekiranya mereka jelas dengan sejarah perubatan pesakit. Selepas itu, barulah doktor menjalankan ujian yang lain bagi memastikan sekiranya masalah kerap kencing itu ada. Antara ujian yang dijalankan ialah;

  • Analisis air kencing bagi memastikan ketidaknormalan dalam air kencing
  • Ultrabunyi untuk imej visual buah pinggang
  • X-ray atau imbasan CT abdomen dan pelvis
  • Ujian saraf bagi mengenalpasti sebarang masalah saraf
  • Ujian STI
punca kerap kencing
Sumber: Medicalnews

Terdapat banyak sebab yang menjadi punca kepada kekerapan membuang air kecil. Antaranya adalah kerana anda mungkin sedang menghadapi antara masalah kesihatan yang berikut;

  • Diabetes

Jika anda kencing pada jumlah banyak yang lebih daripada biasa, anda berkemungkinan sedang mengalami simptom awal diabetes jenis 1 atau jenis 2. Anda kerap kencing pada masa ini kerana tubuh anda cuba membuang glukosa yang tidak digunakan menerusi air kencing anda.

  • Hamil

Hamil boleh menyebabkan anda lebih kerap membuang air kecil. Dari awal kehamilan, uterus yang mengembang memberikan tekanan kepada pundi, lalu menyebabkan anda kerap kencing. Menurut kajian, hampir 40% wanita mengalami masalah kerap kencing semasa hamil.

  • Masalah Prostat

Prostat yang membesar boleh menekan uretra dan menghalang aliran air kencing. Ini menyebabkan dinding pundi merengsa. Pundi mula mengecut walaupun apabila ia hanya mengandungi air kencing yang sedikit. Ini menyebabkan anda lebih kerap kencing.

  • Sistitis Interstis

Keadaan yang tidak diketahui puncanya ini digambarkan dengan kesakitan pada bahagian pundi dan pelvis. Antara simptomnya ialah kerap membuang air kecil.

  • Penggunaan Diuretik

Ubat ini digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi dan pembentukan cecair di dalam buah pinggang dan membuang lebihan cecair dari dalam tubuh. Ini menyebabkan mereka kerap kencing.

  • Strok atau penyakit kecelaruan yang lain

Kerosakan pada saraf pada pundi boleh membawa kepada masalah fungsi pundi termasuk kerap membuang air kecil.

  • Menopause memberi kesan kawalan pundi. Apabila wanita berhenti haid, tubuh mereka akan berhenti menghasilkan estrogen. Ini memberi kesan kepada pundi dan seterusnya menyebabkan wanita kerap ingin membuang air kecil.
  • Selepas bersalin, wanita boleh mengalami masalah kerap kencing kerana otot lantai pelvik mereka menjadi lemah.

Punca-punca lain berlakunya kerap kencing juga termasuk:

  • Kebimbangan
  • Tumor pada bahagian pelvik
  • Kanser pundi
  • Karang ginjal
  • Kencing tak terkawal
  • Striktur uretra
  • Radiasi pada pelvis terutama semasa rawatan kanser
  • Divertikulitis kolon
  • Jangkitan seksual
  • Tahap estrogen yang rendah
  • Organ lantai pelvik yang lemah

Kerap kencing juga mungkin disebabkan oleh masalah pundi kencing aktif atau OAB.Sebanyak 64% rakyat Malaysia mengalami masalah pundi kencing aktif. Manakala, jika dilihat statistiknya di seluruh dunia, 17% orang dewasa mengalami masalah ini.

Penghidap OAB menerima rangsangan daripada pundi kencing terlalu cepat walaupun pundi kencing masih tidak penuh. Pundi kencingnya akan mengecut secara tidak sedar dan boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa amaran. Ini menyebabkan pesakit kerap kencing. Untuk masalah yang lebih serius, pesakit mengalami ketirisan air kencing di luar kawalan dan terpaksa memakai pad atau lampin.

Masalah kerap kencing boleh diatasi dengan bantuan daripada doktor. Doktor akan membantu pesakit dengan memberikan nasihat dalam mengubah gaya hidup selain rawatan perubatan yang bersesuaian.

  • Mengubah gaya hidup iaitu dengan mengelakkan makanan dan minuman yang boleh mengganggu pundi. Contohnya ialah kafein, alkohol, minuman bergas, coklat, pemanis, makanan pedas dan makanan berasaskan tomato. Ini boleh mengurangkan masalah kerap kencing.
  • Menyelaraskan corak pengambilan cecair atau minuman dengan mengelakkan minum terlalu banyak air sebelum tidur. Ini boleh mengelakkan anda bangun di tengah malam untuk ke bilik air.
  • Melatih semula pundi agar anda hanya perlu ke bilik air pada waktu yang telah ditetapkan sahaja.

Pesakit juga akan diminta untuk menurunkan berat badan sekiranya berat badan mereka yang berlebihan menjadi punca kekerapan kencing itu berlaku. Teradapat juga latihan fisioterapi kepada sesetengah pesakit bagi mengatasi masalah ini.

punca kerap kencing
Sumber: Usaonlinecasino

Jika anda tiada masalah kencing pada masa ini, anda pasti mahu mengelakkan masalah itu daripada berlaku kepada anda. Ini kerana masalah kerap kencing boleh menjejaskan emosi, mengganggu kerja anda dan urusan harian anda. Ia sekaligus menjadikan anda kehilangan keyakinan diri dalam hubungan anda dengan orang lain. Oleh itu, adalah lebih baik untuk mengatasinya daripada merawatinya. Terdapatbeberapa cara yang anda bolehlakukan iaitu;

  • Makan diet yang seimbang. Rujuk kepada piramid makanan untuk panduan makanan yang seimbang.
  • Jalani gaya hidup aktif dengan melakukan aktiviti fizikal seperti senaman atau bersukan untuk mendapatkan tubuh yang sihat.
  • Mengehadkan pengambilan alkohol dan kafein dan menggantikan dengan minum air kosong pada kuantiti yang disyorkan.
  • Mengurangkan makanan yang boleh mengganggu pundi seperti makanan pedas, coklat, dan pemanis tambahan.
  • Makan makanan yang tinggi dengan serat

Walau apa pun puncanya, masalah kerap kencing adalah masalah yang boleh dirawati. Ini menolak sangkaan sesetengah orang yang menyangkakan bahawa masalah kerap kencing ini tidak dapat diubati. Apa yang penting adalah berjumpa dengan doktor untuk mendapat kepastian dan seterusnya mendapatkan rawatan yang sesuai dengan punca berlakunya masalah tersebut.

Kami juga menulis artikel lain. Jemput baca artikel seperti punca sakit belakang , punca cyst dan punca senggugut.

Rujukan

Penulis: Samsiah Ahmad

Merupakan salah seorang penulis di Bidadari.My. Berminat dengan ilmu kerohanian dan lukisan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.