Menjaga bayi yang baru lahir sehingga berumur 3 tahun adalah agak mencabar. Pada umur sebegini bayi anda sangat rapuh dan anda perlu memberikan perhatian yang tidak berbelah-bahagi. Salah satu daripada cabaran menjaga anak kecil ialah tabiat suka menangis malam.

Istimewa untuk ibu bapa prihatin seperti anda, jom kami kongsikan punca bayi menangis malam yang perlu dielakkan kalau anda nak tidur lena sampai ke pagi tanpa sebarang gangguan.

Kembung atau colic

Punca bayi menangis malam dan tidak mahu diletak ke bawah yang paling kerap terjadi ialah disebabkan bayi anda kembung atau colic. Bayi yang mempunyai masalah kembung biasanya akan meragam diwaktu malam di mana kekembungan akan menjadi semakin kronik. Bayi anda akan menangis secara berpanjangan dan tanpa henti disebabkan oleh sakit perut dan ketidak selesaan yang dialami.

Anda perlu ingat bahawa bayi tidak pandai bercakap. Mereka berkomunikasi dengan menggunakan tangisan. Tangisan berpanjangan tanpa henti adalah cara untuk bayi anda memberitahu kepada anda bahawa dia sedang mengalami kesakitan yang teramat sangat.

Apakah punca bayi kembung? Terdapat beberapa punca kenapa bayi anda kembung. Di antara yang paling utama ialah disebabkan oleh pemakanan ibu. Apa yang ibu makan akan sampai kepada bayi melalui air susu. Ada bayi yang mempunyai perut sensitif dan mudah kembung apabila ibunya mengambil makanan seperti makanan berangin, makanan sejuk, dan makanan yang berbisa.

Oleh itu, jika anda seorang ibu yang menyusukan bayi, sila jaga pemakanan anda. Jika bayi anda kerap menangis malam, sapukan minyak panas ke perut bayi anda bagi mengurangkan kesakitan yang dialami.

Ruam lampin

Adakalanya, bayi anda meragam pada waktu malam kerana ruam lampin. Anda mungkin tak perasan yang bayi anda mempunyai ruam lampin kerana ruam baru terjadi dan berada di celah pelipat yang tidak kelihatan kecuali jika anda membuka lipatan tersebut. Ruam lampin mungkin nampak ringan namun ianya sangat pedih dan menyakitkan bayi anda.

Jika bayi anda masih menangis walau pun selepas disusukan dan dipeluk, periksa lampin bayi anda. Pastikan lampinnya kering, dan periksa juga jika ada ruam lampin. Anda boleh mencegah ruam lampin dengan menyapukan lapisan nipis krim anti ruam setiap kali menukar lampin bayi anda. Jika bayi anda terkena ruam lampin, sapukan krim anti ruam dengan kerap.

punca bayi menangis malam
Sumber: Frezyderm

Suasana dan persekitaran

Punca bayi menangis malam yang seterusnya ialah suasana dan persekitaran. Jika anda menangis dan terus menangis walau pun puas dipujuk, cuba perhatikan keadaan sekeliling. Adakah suhu terlalu panas atau sejuk? Adakah suasana terlalu bising sehingga menyebabkan bayi anda terganggu? Adakah lampu terlalu terang sehingga menyebabkan bayi anda silau?

Jika anda berada di tempat baru, contohnya membawa bayi anda pulang bercuti ke kampung, rumah baru dengan suasana asing mungkin menjadi punca bayi anda berasa tidak selesa lalu tidak dapat tidur. Bayi anda mungkin nampak kecil namun dia juga adalah manusia seperti kita yang mempunyai perasaan dan perlukan keselesaan.

Tumbuh gigi

Punca bayi menangis malam yang seterusnya ialah mahu tumbuh gigi. Bayi yang nak tumbuh gigi akan mengalami kesakitan akibat gigi yang melukakan gusi dari dalam. Apabila sakit, bayi anda akan menangis sebagai cara untuk berkomunikasi. Adakalanya kesakitan akibat tumbuh gigi akan disertai dengan demam.

Oleh itu, jika bayi anda menangis dan demam, cuba periksa giginya. Gunakan jari bersih untuk merasa gusi bayi anda. Kalau ada rasa keras atau ternampak keputihan pada gusi bayi anda, tandanya bayi anda meragam kerana nak tumbuh gigi.

Anda boleh berikan teether kepada bayi anda untuk digigit. Menggigit teether akan mengurangkan kesakitan yang dialami oleh bayi anda. Anda juga boleh sejukkan teether tersebut dalam peti sejuk sebelum diberikan kepada bayi. Teether yang sejuk sangat melegakan gusi bayi anda.

Terlalu penat

Adakalanya, bayi akan mengamuk dan meragam disebabkan oleh kepenatan yang melampau. Katakan anda baru sahaja melalui perjalanan yang jauh di mana bayi anda duduk didalam carseat atau dipangku untuk masa yang lama, ia akan menyebabkan bayi anda berasa penat. Begitu juga kisahnya jika anda membawa bayi anda keluar berjalan-jalan atau menghadiri majlis untuk tempoh yang lama.

Anda mungkin tak perasan bahawa bayi juga pandai untuk berasa penat. Oleh itu, jika bayi anda menangis malam selepas melalui satu hari yang memenatkan, pujuk bayi anda. Berikannya pelukan penuh kasih sayang sambil bercakap lembut. Bayi anda akan berasa selesa dan tertidur dengan sendirinya.

punca bayi menangis malam
Sumber: Medspace

Kesakitan

Punca bayi menangis malam yang terakhir ialah disebabkan oleh kesakitan. Jika bayi anda menangis dengan kuat tanpa henti, dan tidak berkurangan walau pun puas dipujuk, kemungkinan besar bayi anda menangis disebabkan oleh kesakitan. Periksa seluruh tubuh badan bayi anda untuk melihat jika anda yang kelihatan tidak normal pada bayi anda.

Jika bayi anda terus menerus menangis tanpa punca yang dapat dikenal-pasti, segera bawa ke klinik atau unit kecemasan untuk mendapatkan pemeriksaan dengan segera bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

Itulah dia info tentang punca bayi menangis malam yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang manfaat tungku dan sebab bayi sesedu.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.