Memarahi anak-anak adalah satu keadaan yang tak dapat dielakkan. Ada masanya kita memarahi anak akibat terlalu penat dengan tanggung jawab dan urusan seharian, lalu anak menjadi mangsa.

Ada masanya juga kita memarahi anak apabila sudah tidak dapat menahan perasaan apabil anak meragam atau melakukan kesalahan yang sama berulang kali walau pun sudah dipesan agar tidak dilakukan.

Nak-nak lagi bagi ibu yang bergelar suri rumah di mana 24 jam ibu akan berada bersama anak tanpa waktu rehat untuk bersendiri. Memarahi anak bukanlah satu kelemahan atau kekurangan, namun ianya boleh dikurangkan jika kita tahu kaedah psikologi kanak-kanak berkenaan petua yang mak ayah boleh guna untuk mengelakkan daripada asyik marah anak.

Jangan bandingkan seorang anak dengan anak yang lain

Kesilapan yang paling kerap dilakukan oleh ibu bapa ialah suka membandingkan anak dengan adik-beradiknya yang lain atau anak orang lain. Di antara ayat yang selalu digunakan ialah:

  • Cuba tengok kakak tu, elok je boleh buat. Kenapa awak tak boleh?
  • Boleh tak jadi macam abang? Mudah dengar kata.
  • Mama tengok Aqilah anak Mak Su baik sangat budaknya. Dengar kata mak dia. Kenapa awak susah sangat nak dengar cakap?
  • Mama kecil-kecil dulu tiap kali periksa dapat nombor satu. Kenapa awak tak boleh jadi macam mama? Belajar bukan susah sangat.

Ketahuilah bahawa membandingkan anak dengan orang lain akan membunuh jiwa mereka. Setiap manusia dicipta tak sama. Oleh itu tak mungkin anak kita sama dengan manusia lain seperti yang kita bandingkan.

Jangan bosan dengan soalan anak yang berulangkali

Anak kecil suka bertanya soalan yang sama berulang kali. Pada mulanya kita akan menjawab dan melayan soalan yang diberikan, namun lama-kelamaan kita akan menjadi bosan dan mula marah apabila soalan yang sama ditanya sekali lagi. Yang sebenarnya, anak bertanya soalan bukan kerana inginkan jawapan, kerana mereka memang sudah tahu apakah jawapannya. Tetapi anak bertanya kerana:

  • Ingin menarik perhatian kita. Mungkin kita terlalu sibuk dengan hal lain dan dia ingin kita menunjukkan perhatian kepadanya. Mungkin juga anak sedang rindu untuk bersembang dengan kita.
  • Anak sukakan objek atau subjek tersebut lalu menyebabkan anak suka bercerita tentang perkara berkenaan.
psikologi kanak-kanak
Sumber: Southchinamorningpost

Jangan terlalu sedih dan kecewa sehingga berkasar dengan anak jika keputusan peperiksaan tidak sehebat yang diharapkan

Adalah sesuatu yang normal sekiranya kita berasa kecewa sekiranya keputusan peperiksa anak tidak sebaik yang diharapkan. Lebih-lebih lagi jika kita sudah berhabis banyak duit untuk menghantar anak ke pusat pembelajaran yang baik, atau sudah meluangkan masa untuk mengajar anak dengan sendiri. Ibu

bapa mana yang tidak inginkan anaknya mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang? Namun ketauilah bahawa tahap kemampuan anak-anak adalah berbeza. Lagi pun, tidak cemerlang dalam peperiksaan tidak bermakna anak tidak cemerlang dalam hidup.

Jangan terlalu fokus kepada kekurangan anak sehingga tidak nampak kelebihan lain yang ada dalam diri anak

Psikologi kanak-kanak yang seterusnya ialah jangan sesekali terlalu fokus kepada kekurangan anak sehingga kita tidak nampak kelebihan yang ada dalam diri anak.

Anak kita adalah manusia biasa yang mempunyai kelamahan diri, seperti kita juga. Namun dalam masa yang sama, anak juga memiliki pelbagai kebaikan dan kehebatan yang membuatkan anak kita menjadi seorang insan yang istimewa.

Jangan terlalu fikir tentang kelemahan anak, sebaliknya sentiasa ingat kepada kelebihan yang ada. Sebagai contoh, anak kita mungkin kurang dari segi pelajaran namun dia sangat rajin membantu kita melakukan kerja rumah.

Jangan bertanya kenapa anak kurang budi pekerti jika diri sendiri tidak menunjukkan contoh tauladan yang baik

Ini adalah satu perkara yang kurang disedari oleh ibu bapa. Tahukah anda bahawa anak-anak akan memerhatikan segala perbuatan serta tingkah laku kedua orang ibu bapanya lalu meniru perbuatan tersebut. Kita adalah idola dan contoh buat anak-anak.

Jika inginkan anak yang berbudi pekerti mulia dan berakhlak hebat, kita sebagai ibu bapa wajib menunjukkan akhlak dan budi pekerti yang baik di hadapan anak-anak.

Bak kata pepatah, bapa borek anak rintik. Oleh itu jangan bertanya kenapa anak kurang berbudi pekerti jika diri sendiri tidak menunjukkan contoh tauladan yang baik.

Jangan terlalu garang dan jangan suka menggunakan kekerasan dengan anak-anak

Tips psikologi kanak-kanak yang terkahir ialah jangan menjadi terlalu garang kepada anak-anak dan jangan suka menggunakan kekerasan dengan niat untuk membentuk atau mendidik anak.

Ibu bapa yang terlalu garang dan suka menggunakan kekerasan akan menghasilkan anak yang keras hatinya. Ia juga boleh menyebabkan anak berdendam dan jauh dari kita. Sebagai ibu bapa, kita mahukan anak yang menyayangi, menghormati, dan rapat dengan kita.

Jika kita terlalu garang dan suka menghukum anak dengan kekerasan setiap kali anak melakukan kesalahan atau tidak mencapai tahap yang kita tetapkan, lama-kelamaan anak akan menjauhi kita. Apabila anak meningkat remaja, anak akan semakin rapat dengan kawan-kawan dan semakin jauh dari kita. Ini kerana anak merasakan mereka mempunyai rakan sebaya yang sangat memahami mereka sedangkan ibu bapa di rumah garang macam singa.

Itulah dia info tentang psikologi kanak-kanak, petua yang mak ayah boleh guna untuk mengelakkan daripada kerap marah anak. Kerana terlalu kerap memarahi anak-anak akan memberikan kesan yang buruk kepada mereka.

Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang anak lambat bercakap anak lambat berjalan dan tanggung jawab seorang bapa kepada anak.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.