Setiap pasangan yang berumah tangga semestinya mengimpikan cahayamata sebagai penyeri mahligai yang dibina. Namun, rezeki kita ditentukan oleh Allah.
Bagi yang tidak berpeluang untuk mempunyai anak sendiri, mengambil anak angkat adalah alternatif terbaik. Istimewa untuk anda, kali ini kami akan kongsikan proses pengambilan anak angkat baru lahir sebagai panduan anda suami isteri.
Syarat mengambil anak angkat di Malaysia
Perkara pertama yang perlu anda ketahui ialah apakah syarat yang perlu anda suami isteri patuhi. Adakah anda layak untuk mengambil anak angkat? Pengambilan anak angkat di Malaysia tertakluk kepada Seksyen 6 (1) Akta 253. Menurut akta tersebut, ibu bapa angkat dan anak yang ingin diambil haruslah memenuhi kriteria yang berikut:
Ibu bapa angkat:
Salah seorang daripada ibu bapa angkat adalah warganegara Malaysia atu mempunyai taraf penduduk tetap
Ibu bapa angkat mesti berumur 25 tahun ke atas dan sekurang-kurangnya 18 tahun lebih tua daripada bayi yang ingin dijadikan sebagai anak angkat
Pasangan suami isteri wajib memiliki dokumen perkahwinan yang sah
Surat Akuan Berkanun. Ibu bapa angkat telah mendapat keizinan pengangkatan daripada ibu bapa atau penjaga bayi berkenan
Perintah mahkamah. Sekiranya tiada keizinan dari ibu bapa kandung, pengangkatan boleh dilakukan melalui perintah mahkamah atau laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Permohonan mengambil anak angkat perlu dikemukakan di pejabat JPN dalam daerah ibu bapa angkat bermastautin.
Anak angkat:
Belum pernah berkahwin
Berumur bawah 18 tahun dan bermastautin di Semenanjung Malaysia.
Bayi telah berada dalam jagaan ibu bapa angkat sekurang-kurangnya 2 tahun.
Bayi bertaraf warganegara atau bukan warganegara.
Bayi memiliki dokumen pengenalan diri seperti Sijil Kelahiran, Kad Pengenalan, Passport, Permit Masuk bagi warganegara asing, dan visa yang cukup tempoh dua tahun.
Memiliki Sijil Kelahiran. Jika bayi tidak memiliki Sijil Kelahiran, Permohonan Daftar Lewat Kelahiran harus dibuat oleh ibu bapa angkat
Cara Mengambil Anak Angkat di Malaysia
Untuk makluman anda, di Malaysia terdapat 2 cara untuk mengambil anak angkat yang sah iaitu dengan cara:
Mengambil anak angkat dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Mengambil anak angkat terus daripada ibu bapa atau penjaganya
Kedua-dua cara ini adalah sah asalkan anda mengikuti peraturan yang seterusnya. Oleh itu, sekiranya anda berkenan untuk mengambil anak angkat dari keluarga yang susah atau anak kenalan sendiri, tiada masalah. Tak semestinya anda perlu mendapatkan anak angkat yang berada dalam jagaan pihak JKM.
Pengambilan anak angkat dengan cara permohonan melalui JKM
Sekiranya anda suami isteri memilih untuk mengambil anak angkat dengan cara menghantar permohonan kepada pihak JKM, anda perlu melalui proses pengambilan melalui perintah mahkamah. Menurut Jabatan Pendaftaran Mahkamah:
Pemohon yang ingin mendaftarkan pengangkatan melalui perintah mahkamah perlu membuat permohonan melalui firma guaman yang dilantik oleh ibu bapa angkat atau Jabatan Bantuan Guaman. Permohonan perlu dikemukakan ke Ibu Pejabat JPNM, Putrajaya sahaja. Perintah Pengangkatan ini dibuat di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Sesyen. Pengangkatan ini terpakai bagi orang bukan beragama Islam sahaja.
Permohonan pendaftaran pengangkatan melalui perintah mahkamah boleh dilakukan oleh individu berikut:
i. Ibu bapa angkat atau ibu/bapa angkat tunggal
ii. Firma Guaman atau wakil Firma Guaman (Surat Rasmi Pelantikan daripada Pejabat Firma Guaman asal dan satu (1) salinan Kad Pengenalan wakil Firma Guaman hendaklah disertakan).
Sekiranya berminat, anda boleh membuat permohonan dengan cara menghatar surat, faksimili, melalui telefon, email atau lagi mudah kalau anda datang sendiri ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di kawasan anda. Jangan lupa untuk bawa dokumen-dokumen berikut:
Borang JPN.AA 04 yang telah lengkap diisi
Surat Litup (Letter Head) daripada Mahkamah ( asal dan salinan )
Perintah dan Jadual Seksyen 25 (2) daripada Mahkamah ( asal dan salinan )
Satu (1) salinan Kad Pengenalan atau pasport ibu bapa angkat atau ibu/bapa angkat (tunggal) yang telah disahkan oleh pihak Firma Guaman ; dan
Sijil Kelahiran kanak-kanak (asal dan salinan )
Selepas anda membuat bayaran RM5, permohonan anda akan diproses.
3. Pengambilan anak angkat terus daripada ibu bapa atau penjaga
Sekiranya anda dan pasangan memilih untuk mengambil anak angkat terus daripada keluarganya, terdapat dua cara yang boleh anda pilih untuk mengesahkan pengambilan anak tersebut iaitu:
Membuat permohonan Notis Pengangkatan di mahkamah seksyen atau mahkamah tinggi dalam masa tiga bulan selepas anda mengambil kanak-kanak tersebut
Membuat permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara menerusi Akta Pendaftaran Anak Angkat 1952 (Akta 253). Untuk pengesahan pengambilan dengan cara ini, apa yang perlu anda lakukan ialah:
MengisiSurat Akuan Berkanun. Ini adalah perkara pertama yang wajib anda lakukan untuk menjadikan bayi tersebut sebagai anak angkat anda yang sah. Surat Akuan Berkanun merupakan Surat Keizinan Pengangkatan yang perlu diisi oleh ibu bapa kandung atau penjaga bayi yang ingin anda jadikan sebagai anak angkat. Surat ini merupakan perakuan dalam bentuk hitam putih untuk menyerahkan hak penjagaan kanak-kanak terbabit kepada anda suami isteri dan tidak akan menuntut semula hak tersebut. Ibu bapa kandung atau penjaga bayi tersebut perlu menandatangani Surat Akuan Berkanun dihadapan Majistret atau Pesuruhjaya Sumpah. Ia kemudian disetem dengan setem hasil sebelum dianggap sah dari segi undang-undang.
Selepas menjaga bayi tersebut selama sekurang-kurangnya dua tahun, anda boleh meneruskan dengan membuat permohonan Sijil Pengangkatan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Selepas anda membuat permohonan, satu fail permohonan dengan nama anda sebagai ibu bapa angkat akan dibuka dan anda suami isteri akan dipanggil untuk sesi temuduga bersama bayi yang anda pilih sebagai anak angkat. Dalam masa yang sama, pihak JPN akan menghantar surat makluman permohonan anda kepada pihak JKM. Kemudian, pihak JKM akan memanggil anda suami isteri selaku ibu bapa angkat untuk sesi ditemuduga kedua. Selepas selesai kedua-dua temuduga dan permohonan sijil pengangkatan anda berjaya, bayi tersebut adalah anak angkat anda yang sah. Pihak JPN akan mengeluarkan Mykid yang baru untuk bayi anda.
Itulah dia proses pengambilan anak angkat baru lahir yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang nama anak perempuan moden dan nama anak lelaki.
Kongsikan Artikel ini
Apabila kita menyebarkan kebaikkan walaupun satu ayat, kelak kebaikkan juga yang akan datang kepada kita. Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah satu usaha untuk menyebarkan kebaikkan. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.