Ramai orang suka makan ikan tapi bukan semua orang pandai pilih ikan yang masih segar dan elok untuk dimakan. Nak tahu tips pilih ikan segar? Jika ke pasar atau kedai yang menjual barangan basah, anda perlulah menjadi orang yang cerewet ketika membeli ikan.

Kenapa perlu cerewet? Apabila membeli sesuatu barang, sebagai pengguna kita ada hak yang sepenuhnya untuk mendapat barang yang berkualiti dan baik. Ikan yang tak segar bukan saja tak enak dimakan, berbau tetapi juga boleh menyebabkan keracunan makanan.

Bila dah sampai ke pasar, kita jadi keliru nak pilih ikan yang segar. Yang paling teruk, kita meletakkan sepenuh kepercayaan kepada peniaga dengan beranggapan ikan yang dijual pastinya segar. Itulah kesilapan terbesar kita.

Walaupun bukan semua peniaga yang tak jujur, kita tetap perlu berhati-hati. Rajinkan diri periksa beberapa ciri penting yang perlu ada pada ikan yang nak dibeli. Tak perlu malu kerana nanti yang kena bayar dan makan ikan tersebut kita juga kan.

Oleh itu, dalam artikel ni dengan berbesar hati ingin berkongsi dengan para pembaca bidadari.my yang disayangi tips untuk pilih ikan yang segar. Lepas ni tak adalah lagi kes bawa balik ikan yang tak segar.

1. Bau Ikan

Ni adalah perkara pertama yang perlu anda lakukan iaitu periksa bau ikan. Walaupun lazimnya ikan berbau hanyir, namun pilih ikan yang masih ada bau laut (ikan laut) dan sungai (ikan sungai).

Pastikan tiada bau yang menyengat seperti bangkai. Jika dah ada bau yang kuat dan seperti dah nak rosak, tak perlu buang masa periksa langkah kedua. Cari ikan yang berbau lebih segar.

2. Mata Ikan

Jika tiada bau yang kurang sedap, bolehlah periksa matanya. Kalau anda nak beli seekor ikan tanpa dipotong, bahagian mata perlu diperhatikan. Kalau ikan yang segar, warna matanya bersinar, jernih dan terang. Maksudnya, warna mata ikan tu sama seperti ikan hidup.

Jika warna mata ikan menjadi kelabu, merah atau putih seperti susu, mata masuk ke dalam atau terjojol keluar, itu petanda ikan tak segar. Ikan seperti ni sudah terlalu lama disimpan.

3. Kulit dan Sisik Ikan

Kemudian, perhatikan pada bahagian kulit dan sisik ikan. Ikan yang segar mempunyai kulit yang terang dan berwarna seakan-akan metalik. Jika warna kulit ikan sudah pucat dan ada tompok-tompok, ikan tu dah tak segar.

Lagi satu, sisik ikan yang segar masih elok dan cantik. Jika dah tak segar, sisiknya senang tercabut dan rapuh.

4. Pegang Ikan

Cuba pegang ikan yang nak dibeli. Ikan yang segar mempunyai isi yang pejal, keras dan anjal bila ditekan sedikit. Jangan picit kuat-kuat pula! Jangan beli ikan yang lembik sampai keluar isi perutnya.

Elakkan beli ikan yang lembik pada bahagian perutnya. Perut ikan yang lembik mudah pecah.

5. Insang Ikan

Ikan yang paling segar mempunyai insang yang masih merah seperti warna darah. Pastikan insang ikan bersih dan elok di tempatnya. Ikan yang lama boleh dikenali dengan melihat warna insang.

Insang yang dah tukar warna kecoklatan dan berwarna pucat, menunjukkan ikan tersebut dah lama dan hampir membusuk. Insang yang berlendir dan keras petanda ikan dah mula nak rosak.

6. Sirip dan Ekor Ikan

Selain ciri-ciri yang disebut di atas, bahagian sirip dan ekor juga boleh memberi jawapan sama ada ikan tu segar atau tak. Jika nampak ikan yang mempunyai ekor yang pecah-pecah dan sirip yang tertanggal, elok fikir baik-baik boleh ke dijadikan lauk.

7. Isi Ikan

Jika nak beli bahagian ikan seperti filet atau steak, misalnya salmon dan trout, periksa isinya. Isi ikan mestilah terang, pejal dan keras. Lihat juga bahagian struktur isinya. Pastikan ia tak pecah-pecah dan menjadi bentuk keping-keping.

Ada sesetengah pasar raya yang menjual ikan-ikan import dari luar negara seperti salmon yang telah dicampurkan dengan bahan pengawet seperti formalin. Fungsi formalin adalah untuk memanjangkan hayat kesegaran ikan dan buat ikan nampak menarik.

Formalin berbahaya kepada kesihatan manusia. Jika ikan sudah lama, bau formalin akan menjadi kuat. Dari luarannya ikan masih nampak segar dan perubahan warna yang tak begitu ketara. Jangan tertipu jika beli ikan-ikan import ni.

8. Minta Peniaga Ikan yang Segar

Kadangkala ada peniaga yang tak jujur dengan menjual ikan yang lama dan tak segar, yang baru pula disimpan. Peniaga bertanggungjawab sepenuhnya untuk memberi barangan yang berkualiti kepada pembeli.

Jika mereka masih menjual ikan-ikan atau makanan lain yang sudah rosak, jangan teragak-agak buat laporan. Lebih baik beli dari peniaga yang boleh dipercayai. Kalau ada penjual yang menjual ikan segar yang baru ditangkap, tu lebih baik.

9. Elakkan Ikan Sejuk Beku

Ada sesetengah ikan yang dijual secara sejuk beku. Harganya juga agak mahal kerana ikan yang dijual biasanya jenis yang berkualiti seperti ikan merah, salmon, kerapu dan jenahak. Namun begitu, elakkan membeli ikan sejuk beku.

Ikan sejuk beku mempunyai rasa yang lebih tawar, tekstur isi yang keras dan kurang enak berbanding ikan segar. Ini disebabkan ikan sejuk beku telah ditangkap lama dan dimasukkan ke dalam bungkusan vakum. Ada yang telah dimasak terlebih dulu, ada yang diletakkan bahan pengawet.

Kesimpulan

Inilah 9 tips yang boleh diamalkan ketika membeli ikan di pasar atau di mana-mana. Jangan ambil mudah perkara seperti ni. Kualiti makanan perlu dijaga untuk penyerapan nutrien dengan maksimum.

Seperti yang kita tahu, ikan amat kaya dengan sumber protein dan lemak. Jangan disebabkan sikap kita yang memandang enteng soal kesegaran, yang kita beli untuk anak-anak ikan yang dah kurang khasiatnya.

Jangan lupa kongsikan artikel ni dengan suami tercinta dan rakan-rakan. Jadilah pengguna yang bijak demi kesihatan diri dan keluarga. Semoga bermanfaat.

Rujukan

https://www.latimes.com/food/dailydish/la-dd-test-kitchen-video-tip-how-to-choose-fresh-fish-20140618-story.html (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.