Pasti anda semua nak tahu petua untuk dapatkan muka berseri. Wajah yang berseri-seri pastinya menggambarkan kehidupan yang positif dan bahagia. Nak tahu apa petuanya? Jom baca.

Untuk dapatkan muka yang berseri terdapat beberapa perkara yang kita perlu lakukan. Antaranya ialah amalan ibadat, pemakanan, rutin wajah dan gaya hidup.

Muka yang berseri bukan bermaksud wajah yang bersih tanpa cela semata-mata. Ketenangan mental dan jiwa juga boleh tergambar pada wajah. Orang yang sentiasa ada masalah, hati tidak tenteram akan terpamer pada wajah mereka.

Manakala, orang yang bersyukur, gembira dan sentiasa positif pula sebaliknya. Wajah mereka akan sentiasa sejuk mata memandang dan selesa didampingi. Anda tergolong yang mana satu?

Dalam artikel ini, penulis akan mengupas topik tentang petua muka berseri yang boleh dicuba. Diharapkan ia dapat dijadikan panduan untuk para pembaca yang disayangi.

1. Amalan Ibadat

Imej via Bidadari

Bagi orang Islam, kita wajib mentaati syariat yang telah ditetapkan. Antaranya ialah solat 5 waktu, berpuasa berpuasa, membayar zakat dan sebagainya. Malahan, kita digalakkan melakukan perkara-perkara yang disukai Allah seperti membaca al-Quran, bersedekah dan banyak lagi.

Orang yang rajin membaca al-Quran akan mendapat rahmat-Nya. Begitu juga mengisi masa dengan bacaan zikir memuji Allah dan Rasulullah. Kita juga digalakkan untuk berwuduk sebelum tidur.

Apabila kita taat pada suruhan Allah dan menjauhi segala larangan-Nya, tentunya kita akan mendapat keberkatan-Nya. Secara tidak langsung, kehidupan kita juga akan lebih tenang dan bahagia.

Orang yang sering melupakan Allah mudah terjerumus ke jalan yang salah. Apabila selalu melupakan nikmat yang diberikan, kita akan menjadi orang yang tidak bersyukur. Wajah juga akan nampak keruh dan sentiasa tidak ceria.

2. Corak Pemakanan

Imej via Bidadari

Aspek pemakanan juga amat penting untuk mendapatkan wajah yang berseri. Apabila kita makan makanan yang berkhasiat dan seimbang, segala nutrien yang terserap akan memberi manfaat kepada tubuh badan.

Lebihkan sayur-sayuran dalam diet harian. Pastikan anda mengambil sayur yang mencukupi ketika bersarapan, makan tengah hari dan makan malam. Sayur-sayuran yang baik ialah sawi, bayam, brokoli, tomato, bendi dan sebagainya.

Lebih baik sayur-sayuran dimasak dengan cara ringkas tanpa menggunakan terlalu banyak minyak. Cara yang paling baik ialah dimakan mentah atau dicelur saja.

Jangan lupa makan buah-buahan yang kaya dengan mineral dan vitamin. Kurangkan makanan berkanji, tinggi karbohidrat dan lemak. Cara masak yang paling baik ialah merebus, memanggang dan mengukus.

Akhir sekali, jangan lupa minum air secukupnya setiap hari. Pastikan anda minum air sekurang-kurangnya 8 gelas setiap hari bergantung pada berat dan jantina. Terapkan pengambilan makanan seimbang mengikut piramid makanan kepada anak-anak.

3. Rutin Wajah

Setiap wanita ada cara tersendiri melakukan rutin wajah. Ada yang menggunakan cara moden. Ada pula yang suka menggabungkan cara moden dengan tradisional. Walau apa saja cara yang dilakukan, pastikan tekniknya betul.

Apabila kita mengambil berat soal penjagaan wajah, masalah kulit muka dapat dikurangkan. Pastinya kita hendak tampil yakin dan menawan di khalayak ramai. Kulit wajah yang cantik dan berseri dapat meningkatkan keyakinan kita itu.

Di bawah ini akan dihuraikan rutin wajah secara moden dan tradisional.

a. Moden

Rutin wajah secara moden bermaksud penggunaan produk wajah dan rawatan yang direka khas pada masa kini. Untuk mendapatkan kulit yang sihat, janganlah malas untuk melakukan rutin harian.

Antaranya ialah mencuci wajah secara double cleansing, memakai toner, esen, serum, krim sunblock dan pelembap. Jangan lupa juga memakai mask dan skrub wajah seminggu 1 atau 2 kali.

Sesekali, dapatkan rawatan kulit di pusat kecantikan. Biasanya di pusat kecantikan terdapat pakar kecantikan yang menggunakan peralatan canggih. Jika ada sebarang masalah kulit, anda boleh berbincang dengan mereka.

b. Tradisional

Bagi yang suka petua-petua tradisional boleh mencuba beberapa tips kecantikan yang dikatakan sangat berkesan.

  • Menghilangkan parut

Caranya ialah ambil sedikit lendiran atau gel daun aloe vera. Sapukan pada bahagian yang mempunyai parut dan bekas hitam. Sapu dengan kerap sehingga parut menjadi pudar.

  • Mengurangkan lingkaran hitam bawah mata

Apabila terlalu penat atau tidak cukup tidur, bawah mata akan nampak sembap dan gelap. Ia akan menjadikan wajah nampak lesu dan tidak berseri. Cara yang boleh dilakukan ialah ambil uncang teh yang telah digunakan, letakkan di bawah mata.

  • Menghilangkan jerawat dan bintik hitam

Masalah kulit muka seperti jerawat, bintik hitam dan putih sememangnya mengganggu penampilan. Masalah ini berlaku apabila kotoran di wajah seperti sebum, peluh dan debu tidak dibersihkan dengan betul.

Ini akan menyebabkan segala kotoran itu terperangkap di lubang pori-pori yang akhirnya menyebabkan keradangan. Keradangan itulah yang menyebabkan jerawat dan pelbagai masalah kulit.

Cara untuk mengatasi masalah ini ialah menggunakan skrub daripada oats dan sedikit yogurt. Selepas digosokkan pada wajah, bilas bersih-bersih. Kemudian, gunakan air mawar sebagai toner untuk menyegarkan wajah.

  • Melembapkan wajah

Kulit yang kering akan membuatkan wajah nampak kusam dan berumur. Cara berkesan bagi mengatasi masalah ini ialah ambil sedikit susu dan madu. Sapukan pada wajah sebagai masker seminggu sekali.

  • Menghilangkan garisan halus

Apabila meningkat usia, kulit wajah juga akan bertambah matang kerana kolagen pada kulit semakin berkurangan. Ini akan membuatkan garis-garis halus mula muncul di bahagian dahi, tepi mulut dan mata.

Cara untuk mengatasi masalah ini ialah dengan menggunakan masker putih telur yang dicampurkan dengan sedikit jus tomato. Cuba petua ini seminggu sekali.

4. Gaya Hidup

Gaya hidup yang sihat dan aktif memainkan peranan yang penting bagi kesihatan tubuh dan juga kulit. Jika kita konsisten bersenam, peredaran darah ke kulit menjadi lancar. Ini mengakibatkan oksigen dan nutrisi dapat diserap ke dalam tubuh dengan baik.

Selain itu, elakkan diri dengan persekitaran yang membawa aura negatif. Pilih kawan-kawan yang berkualiti. Jauhi stres dan kemurungan. Persekitaran yang sihat akan memberi kesan kepada mental kita.

Setakat ini saja perkongsian penulis tentang petua muka berseri yang boleh anda semua cuba. Jangan ingat, cukup kita menjaga kecantikan wajah saja untuk mendapat wajah yang berseri-seri. Pelbagai faktor lain yang dinyatakan di atas juga memainkan peranan.

Jangan lupa juga baca tentang petua kecantikan yang lain di kulit cantik semulajadi dan makanan yang baik untuk kulit di sini.

Rujukan

  • 5 Petua untuk Muka Sentiasa Berseri (Link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.