Semua orang nak nampak cantik. Sebab itulah pelbagai medium kecantikan tak kiralah produk muka, alat-alat solekan dan pusat kecantikan semakin bertambah. Iklan di kaca televisyen mempromosikan produk kecantikan. Malahan, model-modelnya juga berkulit cantik.

Begitu juga dengan majalah dan media sosial seperti Instagram dan Facebook semuanya tentang kecantikan. Kalau dulu, wanita hanya mementingkan kulit muka yang cantik. Namun sekarang, trend terbaru pula melanda dunia lebih-lebih lagi di Korea. Trend kulit muka glowing.

Apa Maksud Kulit Glowing?

Kulit yang glowing bermaksud kulit yang berseri-seri secara semula jadi, sihat, flawless, mulus dan gebu. Jangan salah faham ye, kulit glowing tak semestinya merujuk wanita yang mempunyai kulit yang cerah saja.

Tak kiralah anda berkulit kuning langsat, hitam manis, sawo matang atau gelap sekalipun, jika anda mempunyai ciri-ciri yang disebutkan. Tahniah, anda memiliki kulit yang glowing.

Orang yang mempunyai kulit yang glowing nampak cantik walau dengan hanya solekan yang nipis. Malah, ada juga yang langsung tak bersolek. Terfikir dalam minda, macam mana cara mereka jaga kulit wajah.

Jadi, artikel ni akan berkongsi tentang 9 petua kulit muka glowing. Sebenarnya tak susah pun nak amalkan, yang penting konsisten dan berdisiplin. Kata orang, ‘beauty is pain’. Tak perlulah sampai nak buat pembedahan plastik, yang penting rajin.

Jom kita semak 9 tips yang boleh diamalkan untuk mendapatkan kulit muka yang glowing.

#1 Minum Air Secukupnya

Rasanya dalam semua artikel yang membincangkan kecantikan kulit akan menasihatkan para pembaca untuk meminum air secukupnya. Petua ni merupakan tips utama untuk dapatkan kulit muka yang lembap, sihat dan glowing.

Jangan lupa minum air kosong sebanyak lapan gelas setiap hari. Jumlah gelas bergantung pada jantina dan berat. Lebih baik minum air kosong ye. Bukan minuman manis yang sedang viral di sana sini.

Air dapat memberi nutrien yang boleh melembapkan kulit wajah. Wajah yang lembap akan membuatkan kulit nampak sihat dan awet muda.

#2 Penjagaan Muka Harian

Sebenarnya, penjagaan muka sangat penting untuk dapatkan kulit muka yang glowing. Kalau malas dan selalu skip rejim penjagaan, lupakan saja impian anda itu. Jangan lupa langkah-langkah berikut:

  1. Double cleanser
  2. Toner, esen dan serum
  3. Pelembap dan krim sunblock
  4. Krim mata
  5. Masker
  6. Krim siang atau malam

Setiap produk-produk ni mempunyai fungsinya yang tersendiri. Jika rajin dan berdisiplin, tak mustahil kulit anda akan berseri bak artis Korea.

#3 Pakai Masker Semula Jadi

Terdapat pelbagai jenis masker di pasaran. Cakap saja nak apa semua ada. Jenis wash off, peel off dan sheet mask juga ada. Jika anda berkulit kering, jangan sesekali menggunakan mask peel off. Ia akan menarik minyak dan kelembapan yang ada pada permukaan kulit. Akhirnya, kulit anda menjadi lebih kering.

Selain yang terdapat di pasaran. Apa kata seminggu atau dua minggu sekali, anda buat sendiri masker di rumah menggunakan bahan-bahan semula jadi. Nak tahu cara buatnya, boleh dibaca di laman web Bidadari.my.

Selain lebih selamat tanpa bahan kimia, kos penyediaan juga sangat rendah. Yang penting jaga kebersihan semasa menyediakan bahan-bahan tersebut. Patuhi saranan masa yang diarahkan. Mana tahu rezeki anda dapat kulit muka yang semakin glowing.

#3 Teknik Solekan

Terdapat pelbagai jenis teknik solekan yang boleh anda cuba. Malahan, terdapat bedak asak yang dikhaskan untuk memberi kesan glowing pada kulit. Namun, yang paling penting, anda janganlah sentiasa mengharapkan bantuan solekan untuk nampak glowing ya.

Solekan yang tebal dan tak ditanggalkan dengan betul akan merosakkan kulit muka. Liang pori akan tersumbat dan masalah kulit seperti jerawat pula yang akan timbul. Teknik solekan glowing boleh dibuat jika anda nak menghadiri majlis perkahwinan, makan malam dan sebagainya.

#4 Rawatan Wajah

Jika ada masalah jerawat, bintik hitam dan putih, jangan sesekali memicitnya. Ia akan memburukkan lagi keadaan kerana bakteria daripada kawasan yang bermasalah akan tersebar ke tempat yang lain.

Malahan, cara memicit yang salah dan kasar akan menyebabkan permukaan kulit menjadi luka. Ia akan meninggalkan parut yang mengambil masa nak hilang. Malahan, liang pori-pori juga akan bertambah besar.

Dapatkan bantuan pakar kulit untuk merawat kulit anda. Ikut nasihat yang diberikan dan jangan lupa memakai ubat yang diberikan. Jika masalah asas sudah selesai, kini anda boleh fokus pada penjagaan rutin.

#5 Tidur Yang Mencukupi

tidur yang cukup

Imej via Bidadari

Jangan lupa dapatkan tidur yang mencukupi dan berkualiti iaitu sekurang-kurangnya lapan jam setiap hari. Ketika tidur bukan saja anda berehat, malah kulit anda juga. Oleh itu, jangan lupa masuk tidur seawal 10.00 malam.

Jika tidur anda cukup, tiada masalah wajah sembap, bawah mata hitam, kulit tak bermaya dan sebagainya. Selain air, tidur juga umpama nutrisi penting untuk kulit. Ni tips yang paling mudah kan? Siapa yang tak suka tidur. Tapi jangan pula berlebih-lebihan.

#6 Pakai Produk Pencerah Wajah

Bila sentuh tentang produk pencerah wajah, bukan penulis bias bahawa kecantikan hanya milik wanita yang berkulit cerah. Maksudnya di sini, jika anda ada masalah tompok-tompok hitam, tona kulit tak sekata, parut jerawat dan kesan sunburn, produk pencerah dapat membantu.

Kesan-kesan tersebut perlulah dihilangkan terlebih dahulu jika anda idamkan kulit yang glowing. Namun berhati-hati ketika membeli produk pencerah. Pastikan ianya bebas merkuri dan hidrokuinon. Yang paling penting mengikut spesifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia.

#7 Kerap Berwuduk

Bagi yang beragama Islam, kita diwajibkan berwuduk sebelum solat. Malahan, jika sedang dalam keadaan marah atau tertekan, kita juga digalakkan untuk berwuduk. Berwuduk dan mensucikan diri daripada kekotoran dan najis.

Jika kita mandi saja dua kali sehari tak mencukupi. Kekotoran tetap akan ada di sekeliling kita. Malah, bukannya mudah kita hendak membersihkan jika berada di tempat kerja, dalam perjalanan dan sebagainya.

Berwuduk saja cara yang paling ringan dan mudah dilakukan. Malahan, orang yang selalu berada dalam keadaan berwuduk dimuliakan oleh Allah. Air yang disapukan ke wajah bukan saja dapat membersihkan muka tetapi juga memberi kelembapan dan kesegaran.

#8 Amalkan Gaya Hidup Sihat

Jika nak kulit wajah yang cantik, amalkan gaya hidup yang aktif. Jangan malas bergerak. Jika tiada masa nak bersenam, rajinkan diri berjalan ke tempat parkir kereta, berjalan di sekeliling rumah dan sebagainya.

Malahan, jaga pemakanan agar tubuh sihat. Kulit yang cantik terhasil juga daripada tubuh yang sihat. Jika asyik sakit, pelbagai kesan sampingan akan ada yang boleh menjejaskan kulit wajah.

#9 Jauhi Rokok

Jika dulu, tabiat merokok dan minum arak lebih sinonim dengan kaum lelaki. Nampaknya pada zaman milenium ni, tabiat buruk ni sudah menjadi trend biasa bagi sebilangan golongan wanita.

Kajian terbaru yang dijalankan oleh para saintis membuktikan bahawa tabiat merokok bukan saja akan memberi kedutan pada wajah malahan mengakibatkan jerawat yang kronik. Dikatakan parut yang terdapat pada perokok lebih teruk berbanding orang biasa.

Jadi, nak kulit yang cantik dan glowing, buang tabiat ni jauh-jauh. Selain merosakkan kulit, kesihatan juga akan terjejas.

Diharapkan para pembaca mendapat manfaat daripada artikel ini. Jom sama-sama dapatkan kulit yang glowing dan mulus. Jangan lupa kongsikan artikel ni dengan ahli keluarga dan rakan sepejabat. Nak kongsikan dengan rakan media sosial pun dialu-alukan. Selamat mencuba!

Jemput juga baca artikel tentang tips penjagaan muka diy masker muka dan cara penjagaan muka

Rujukan

  • Saintis Bongkar Keburukan Merokok Terhadap Kulit. https://www.mynewshub.tv/terkini/saintis-bongkar-keburukan-merokok-terhadap-kulit/ (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.