Sebagai seorang ibu, pastinya anda mengambil berat tentang perkembangan bayi anda. Tak kurang juga, anda akan mula membandingkan kemajuan bayi anda berbanding bayi lain yang sebaya dengannya. Kenapa anak orang tu dah berjalan tapi anak saya masih merangkak? Kenapa anak dia dah petah bercakap tapi anak saya sebut mama pun belum pandai?

Anak lambat bercakap adalah di antara isu paling sensitif bagi seorang ibu. Lagi melukakan kalau orang sekeliling mula memperkatakan tentang tentang anak anda yang lambat bercakap. Ketahuilah bahawa tahap perkembangan setiap anak adalah berbeza, namun jika anda mula berasa risau, tak salah kalau anda amalkan petua anak lambat bercakap yang akan kami kongsikan sebentar lagi.

Sumber: Motherask

Petua Ustaz Harun Din

Ini adalah petua anak cepat bercakap yang dikongsikan oleh Ustaz Harun Din. Petua ini telah membantu ramai kanak-kanak untuk cepat bercakap. Caranya juga sangat mudah untuk diamalkan. Caranya ialah:

  • Ambil dua sudu madu asli.
  • Masukkan madu tadi ke dalam bekas bertutup.
  • Letakkan madu tadi di hadapan anda dengan keadaan penutup terbuka.
  • Bacakan surah Al-Fatihah satu kali.
  • Bacakan surah An-Nisa ayat 164 sekali.
  • Ambil sedikit madu tadi dan sapukan ke bawah lidah anak anda setiap pagi.
  • Simpan madu yang telah dibacakan tadi, dan gunakan sedikit demi sedikit.
  • Ulang dengan konsisten setiap hari sebagai salah satu ikhtiar untuk memudahkan anak anda cepat bercakap.
  • Dengan izin Allah, anak anda akan cepat bercakap.

Selalu ajak anak bersembang

Satu lagi cara yang paling berkesan untuk membantu anak yang lambat bercakap ialah dengan selalu mengajak anak bersembang. Ini adalah kunci utama agar anak anda cepat bercakap. Ramai ibu bapa zaman moden yang mengambil jalan mudah dengan memberikan anak tablet dan mainan dengan niat agar anak duduk diam, tidak mengganggu urusan, dan tidak meragam.

Namun tabiat tersebut adalah di antara punca kenapa anak lambat bercakap. Untuk cepat bercakap, anda perlu selalu berkomunikasi dengan anak. Ajak anak anda bersembang. Anak anda perlukan hubungan dengan manusia untuk berkembang dengan sempurna dan mengikut fasa yang sepatutnya.

Elakkan daripada menggunakan terlalu banyak bahasa di rumah

Ini adalah salah satu punca anak lambat bercakap yang ramai orang terlepas pandang. Bayangkan keadaan berikut, seorang anak kecil yang dikelilingi oleh keluarga besar. Ibunya bertutur dalam bahasa melayu. Ayahnya bertutur dalam bahasa inggeris. Datang datuk dan nenek, bercakap dalam bahasa melayu loghat kelantan. Datang pula datuk nenek belah ayah, bercakap bahasa melayu dengan pelat kerana mereka berbangsa cina dan lebih selesa bertutur dalam bahasa mandarin.

Anak kecil ini membesar dengan pelbagai jenis bahasa dan tidak tahu bahasa mana satu yang menjadi bahasa ibundanya. Keadaan ini akan menjadikan anak tersebut keliru, dan memilih untuk tidak bercakap walau pun memahami kesemua bahasa yang digunakan di rumah. Oleh itu, nasihat kami ialah hadkan kepada maksimum 2 bahasa untuk digunakan di rumah.

Jika anda inginkan anak yang fasih berbahasa melayu dan inggeris, gunakan kedua bahasa tersebut semasa berinteraksi dengan anak. Pesan juga kepada ahli keluarga anda supaya cuma menggunakan dua bahasa tersebut semasa bercakap dengan anak anda untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini.

Gunakan ayat berbentuk soalan kepada anak

Apabila berkomunikasi dengan anak, gunakan ayat yang diakhiri dengan soalan kepada anak anda bagi menggalakkan anak anda bercakap. Di antara contoh ayat yang boleh anda gunakan ialah:

  • Wanginya anak ibu. Aina dah mandi ke belum?
  • Anak ibu nampak macam mengantuk. Aina nak tidur atau nak main lagi?
  • Nak tak kalau ibu bawa Aina keluar berjalan? Aina nak pergi mana hari ni?

Bandingkan dengan ayat berikut:

  • Wanginya anak ibu, mesti dah mandi.
  • Anak ibu nampak macam mengantuk, jom tidur.
  • Jom kita berjalan ke klcc.

Ada perbezaan besar di antara contoh ayat yang kami nyatakan tadi bukan? Kumpulan pertama diakhiri dengan soalan yang akan membuatkan anak anda teruja untuk memberikan respons manakala kumpulan kedua akan mematikan perbualan di antara anda dan anak. Amalkan untuk bertanya soalan.

Bercakap dengan perlahan-lahan

Apabila anda berinteraksi dengan sikecil, pastikan anda bercakap dengan perlahan supaya anak anda dapat menangkap dan mengikut apa yang anda sebut. Jika anda kerap bercakap dengan terlalu laju, anak anda akan menjadi keliru. Tidak dapat menangkap perkataan yang anda sebut dan tidak dapat meniru semula perkataan tadi.

Betulkan anak dengan lembut

Ada juga anak yang memilih untuk tidak bercakap kerana sering dimarahi apabila tidak bercakap dengan betul, contohnya pelat. Jika anda selalu memarahi anak yang tidak bercakap dengan betul, lama-kelamaan anak anda akan memilih untuk diam agar tidak dimarahi. Ini adalah salah satu cara untuk anak anda melindungi diri sendiri.

Oleh itu, betulkan anak anda dengan cara yang lembut dan penuh kasih sayang. Pastikan anak anda faham bahawa melakukan kesalahan seperti bercakap pelat bukanlah satu kesalahan yang besar dan perlu dimarahi berulang- kali. Secara tak langsung, ini juga akan meningkatkan tahap keyakinan diri anak anda. Apabila tahap keyakinan anak anda tinggi, anak anda akan cepat bercakap.

Sumber: Sitters

Itulah dia info tentang petua anak lambat bercakap yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang hadiah hari jadi anak perempuan dan tanggungjawab anak kepada ibu bapa

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.