pesanan buat isteri

Umum sudah mengetahui, Khadijah r.a adalah wanita yang sangat kaya. Namun, kekayaan beliau tidak sedikit pun menjejaskan cintanya pada Allah dan Rasul iaitu suaminya sendiri.

Sehinggakan, ketika hendak menghembuskan nafas yang terakhir pun, tiada apa yang tinggal padanya melainkan baju yang bertampal. Syeikh Tariq Jamil r.a  meriwayatkan bahawa, bajunya terdapat tidak kurang daripada 200 tampalan.

Tetapi apabila Rasulullah menangis melihatnya kerana pengorbanannya yang tidak terkira, jawabnya, “Saya belum berkorban lagi, sekiranya boleh gunakanlah tulang-tulang saya untuk jihad dan perjuangan agama”.

Ketika itu Allah sampaikan salam padanya. Seluruh diri dan hartanya digunakan untuk menghidupkan Islam dan membantu perjuangan agama, tetapi masih manis mulutnya menyebabkan Allah sayang padanya.

Wahai kaum hawa bergelar isteri,

#1 Layanlah suami dengan baik

Tawanlah hati suamimu supaya mereka sentiasa gembira. Buatlah segalanya kerana Allah. Suamimu mungkin tidak faham kesusahan yang kamu hadapi, tetapi ketahuilah, Allah sedang menilai setiap daripada kesusahan kamu itu.

Setiap titisan peluh, tangisan, letih, kesakitan, semuanya telah dijanjikan ganjaran pahala yang amat besar. Maafkanlah kekurangan mereka, kerana dunia ini bukan tempat tinggal kita. Semuanya hanya sementara sahaja. Syurgalah tempat tinggal kita yang sebenarnya.

#2 Jagalah solat awal waktu

Walau apapun yang terjadi, kerana solat itu merupakan tiang pada agama. Siapkanlah suami dan anak lelakimu ke masjid menjelang azan berkumandang. Nescaya Allah akan sentiasa merahmati keluarga kamu.

pesanan buat isteri

#3 Jagalah aurat kerana Allah

Menjaga aurat bukan semata-mata kerana kita baik, tetapi kerana ia perintah Allah. Apalah makna cantik dan bergaya mengikut trend terkini, jika kita tiada walau sedikit ruang pun disisi Allah. Biarkanlah walau apa pun kata-kata dilemparkan orang lain, asalkan Allah menyayangi kita.

#4 Janganlah habiskan air mata untuk dunia

Janganlah menangis jika kehilangan barang kesayangan. Janganlah menangis menonton siri drama di tv. Tetapi gunakanlah air mata untuk redha Allah. Untuk umat Islam selamat dari bahana api neraka.

Tumpahkanlah air mata dan tangisan anda semasa bertahajud menghadap Allah di malam hari. Mengadulah pada-Nya, bukan pada manusia.

#5 Persiapkanlah anak-anakmu dalam perjuangan agama

Pesanlah pada mereka, “Wahai anakku, Islam ini lebih mahal dari nyawa kamu dan ibu kamu. Perjuangkanlah Islam ini. Korbankan perasaan kamu demi membawa manusia dekat dengan Allah”.

Mungkin anak itulah asbab dunia ini akan berubah. Mungkin kebaikan dan jutaan hidayah datang melalui mereka. Tidak mustahil mereka akan memegang panji Islam di dunia, dan di akhirat, dengan ribuan orang di belakang mereka.

Tak mengapalah dunia ini kita kurang sedikit. Syurga semakin dekat. Dunia ini sekejap sahaja.

#6 Didik anak-anakmu dengan iman dan sediakan mereka menjadi Daie

Ketahuilah, anak adalah harta yang paling berharga. Hidupkanlah rumah dengan amalan dakwah dan bacaan hadith.

Tidak tergambar nikmat yang dikecapi tatkala setiap hari rumahmu wujud suasana ilmu. Lebih nikmat dari segalanya. Terasa bagaikan dalam syurga, walaupun rumahmu sekadar pondok buruk dan tiada penghawa dingin atau kipas seperti rumah Rasul kita.

pesanan buat isteri

#7 Janganlah mengorbankan anakmu dengan memberi sepenuhnya dalam jagaan orang lain

Janganlah mengorbankan mereka semata-mata mahu mengejar cita-cita dunia. Ambillah masa, didiklah mereka dengan tanganmu sendiri. Sekiranya berpeluang, jadilah suri rumah sepenuh masa.

Wahai isteri solehah,

Kamulah harta yang paling bernilai. Seluruh dunia ini walau dihimpun sekalipun, pasti tidak boleh menggantikan tempat kamu. Untuk isteri seperti kamu, tiada ucapan melainkan pasti hanya redha Allah dan Syurga Firdaus tempat kamu.

Sekian, wassalam.

Kredit gambar: Mohd Sufri Mohamad Hamka, rightohijab, Alex Berger

Penulis: Ummu Hatim

Ummu Hatim adalah salah seorang penulis tetap di Bidadari.My. Penulisannya banyak mengenai keibubapaan dan tips kesihatan. Menulis untuk mendidik diri sendiri disamping berkongsi ilmu pembacaan yang ada.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.