Bayi mengalami perkembangan paling pantas pada tahun pertama dalam hidupnya. Sebagi ibu bapa, anda pasti teruja melihat tumbesaran dan perubahan drastic yang bayi anda tunjukkan.

Malah, pada usia bayi 2 bulan juga telah banyak perkara baru yang bayi anda belajar dan lakukan. Pada usia ini, bayi sudah mula mempunyai personality dan sudah tahu menunjukkan reaksi suka dan tidak suka kepada sesuatu perkara.

2 bulan

Imej via mamadinny

Untuk bayi yang berusia 2 bulan, inilah perubahan yang telah dialami oleh bayi anda dan milestone yang patut dicapai olehnya pada usia ini.

Perkembangan Fizikal

fizikal

Imej via zwitsal

1) Otot tengkuk dan kawalan kepala

Bayi yang berusia 2 bulan sudah mula mengawal badannya dan mengangkat kepala dengan stabil apabila anda meletakkannya dalam posisi meniarap atau semasa anda mendukungnya.

2) Koordinasi yang lebih baik

Koordinasi pergerakan bayi pada usia ini lebih baik berbanding sebulan yang pertama. Mereka sudah mampu melakukan aksi ‘push up’ semasa meniarap. Pergerakan kaki dan tangan mereka juga lebih lancar dan mantap.

3) Memusingkan badan

Bayi pada usia ini sudah pandai memusingkan badannya. Namun, mereka masih belum mampu untuk meniarap sepenuhnya.

4) Menenangkan diri

Pada ketika ini, bayi sudah mula mempunyai refleks menghisap yang lebih kuat. Itulah sebabnya mereka mula menghisap jarinya sebagai terapi diri iaitu satu cara untuk menenangkan dirinya sendiri.

5) Menggenggam

Bayi secara semulajadi memang kerap menggenggam tangannya. Pada usia 2 bulan, si kecil anda anda mula mengetahui bagaimana untuk melepaskan genggamannya dan mungkin juga belajar untuk melambai.

6) Mengeluarkan air liur

Anak anda juga akan mula mengeluarkan air liur. Tetapi ini bukan bermakna yang dia akan mula tumbuh gigi, kerana ia biasanya hanya terjadi pada usia 4 bulan.

Perkembangan Sensori

sensori

Imej via siraplimau

1) Penglihatan

Pada usia 2 bulan, bayi sudah boleh melihat dari jarak 60cm dari mukanya. Dia juga boleh membezakan antara warna dan mudah tertarik pada warna yang terang atau pada objek yang berbeza bentuk.

Walaupun dia mungkin mengalami sedikit kesukaran untuk membezakan tona warna yang hampir sama, seperti merah dan oren, tapi anda sudah boleh menunjukkan flash card, mainan, buku, atau gambar objek berwarna hitam putih atau kontra warna yang berbeza.

2) Pendengaran

Pada usia 2 bulan, si kecil sudah boleh membezakan antara suara yang sering didengarinya seperti suara ibu dan ayah. Dia kini sudah menjadi pendengar yang baik. Apabila mendengar sesuatu, terutamanya suara anda, dia akan memberikan respon dengan memalingkan wajahnya ke arah sumber bunyi. Malah, bayi juga akan lebih tenang bila dapat mendengar suara yang dia kenali.

Oleh sebab itu, anda boleh kerap berkomunikasi dengan bayi seawal usia 2 bulan. Semakin banyak anda bercakap atau menyanyi pada si kecil, semakin cepat dia belajar untuk mengenal suara anda.

Perkembangan Kognitif

senyum

Imej via theasianparent

1) Mengenal wajah

Oleh kerana penglihatannya semakin terang, bayi anda kini sudah boleh mengenal dan cam wajah orang di sekelilingnya. Dia juga boleh ingat wajah-wajah yang biasa dengannya seperti wajah ibu, ayah atau pengasuhnya. Anda sudah boleh bermain ‘peek-a-boo’ atau ‘baa-cak’ dengan bayi anda pada usia ini.

2) Senyum

Antara pencapaian terbesar bagi bayi berusia 2 bulan adalah senyuman. Bayi anda sudah mula memberikan senyumannya yang pertama. Anda juga boleh menggalakkannya tersenyum dengan membuat memek muka lucu kepada bayi anda.

3) Berasa bosan

Bayi anda pada usia ini juga akan mula menangis atau meragam apabila dia berasa bosan atau tidak mendapat perhatian dan sentuhan yang cukup. Jika anda perasan tentang hal ini, anda bolehlah penuhi keinginannya dengan bermain bersama bayi anda.

Perkembangan Pertuturan dan Bahasa

bercakap

Imej via siraplimau

1) Bahasa bayi

Walaupun cara komunikasi utama bayi anda pada umur ini adalah menangis, anda juga akan mula mendengar beberapa bunyi lain pada fasa ini. Oleh sebab itu, penting untuk anda selalu bercakap dengannya, walaupun bayi anda masih belum boleh memberi respon yang baik atau membalas percakapan anda.

Jika anda kurang pasti apa yang mahu diperkatakan kepada bayi berusia 2 bulan, ikuti tips ini:

  • Bercakap dengan bayi dalam tempoh yang lama, supaya anda dapat mengajarnya bagaimana untuk mendengar dan membalas. Sekalipun, dia hanya mengangguk, tersenyum, dan mengeluarkan bunyi bayi.
  • Bercakap dengan perlahan dan jelas, supaya bayi dapat melihat pergerakan mulut dan lidah anda.
  • Tiru perkataan yang bayi anda katakan, walaupun ia hanyalah bunyi seperti ‘ba ba’ atau ‘na na’.
  • Walaupun anda tidak faham bahasa bayi, buat-buat faham dan berikan respon kepadanya.
  • Bayi juga berkomunikasi menggunakan pergerakan tubuh, jadi tiru aksinya seperti menepuk tangan dan melambai.
  • Tiru ekspresi muka dan senyum apabila dia senyum sebagai galakan komunikasi.

2) Isyarat bayi

Walaupun bayi anda belum boleh bercakap dan berkomunikasi dengan baik untuk menyatakan perasaannya sama ada suka atau tidak suka, namun, sebagai ibu ayah anda boleh belajar dan cuba memahami isyarat yang diberikan oleh si kecil anda.

Isyarat positif:

  • Melihat wajah anda
  • Pergerakan lancar tangan dan kaki
  • Mengangkat tangan ke arah anda
  • Memandang atau memalingkan muka ke arah anda
  • Tersenyum
  • Mengeluarkan bunyi
  • Ekspresi muka yang gembira

Isyarat negatif:

  • Memalingkan muka dan mata ke arah lain
  • Menangis
  • Meragam
  • Batuk
  • Mengangkat belakang badan
  • Menggeliat
  • Berkerut
  • Menguap

 

Corak Tidur

tidur

Imej via popmama

Bayi berusia 2 bulan memerlukan tidur selama 15 ke 16 jam sehari dan selalunya bangun untuk minum susu setiap tiga jam. Namun begitu, bagi bayi yang minum susu ibu sepnuhnya, penyusuan adalah mengikut kehendak bayi (breastfeeding on demands). Tidak ada pola penyusuan yang tetap untuk bayi anda.

Pada usia ini, waktu tidur bayi anda mungkin masih tidak menentu. Mungkin mereka akan berjaga sepanjang malam dan tidur sepanjang siang. Bagi ibu bapa yang bernasib baik, bersyukurlah jika bayi anda tiada masalah untuk tidur pada siang dan malam hari.

Isyarat tidur:

  • Berkerut
  • Membuat bunyi mengeluh
  • Merengek
  • Menguap
  • Menggosok mata
  • Pergerakan anggota badan yang tersentak-sentak, diikuti dengan pergerakan yang perlahan
  • Menggosok telinga
  • Menggaru kepala
  • Mahu didukung
  • Mahu diberi susu

Jika anda perasan beberapa tanda keletihan atau isyarat tidur seperti di atas, maka anda perlu memenuhi keperluannya dan membantunya untuk tenang sebelum dia penat, meragam dan mula menangis. Penting untuk meletakkan bayi anda tidur dalam keadaan menelentang (bukan meniarap) untuk mengurangkan risiko sindrom kematian bayi secara tiba-tiba (SIDS).

Anda juga perlu mengalihkan semua objek lembut dari katil bayi anda, seperti bantal, selimut dan anak patung. Ini adalah kerana semua objek ini berisiko menelangkup muka bayi anda dan menyebabkannya lemas ketika tidur.

Normalkah Perkembangan Bayi Anda?

Anda perlu ingat bahawa kemampuan setiap bayi adalah berbeza dan tersendiri. Mereka akan mencapai peringkat-peringkat tersebut mengikut jadual yang tersendiri.  Jangan risau andai perkara-perkara yang kami nyatakan di atas masih lagi belum dicapai oleh bayi anda. Teruskan merangsang perkembangannya. Jika anda ada sebarang pertanyaan berkaitan perkembangan bayi anda, jangan segan untuk merujuk doktor yang berhampiran.

Rujukan:

Artikel Menarik Lain

Bagaimana dengan artikel berkenaan Perkembangan Bayi 2 Bulan yang dikongsikan? Anda dapat manfaat?

Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu:

Penulis: Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.