Ada di kalangan kita yang memandang remeh dengan sengatan haiwan berbisa atau tertusuk paku. Secara umumnya, ada yang beranggapan bahawa sengatan haiwan seperti kala jengking, lipan dan ikan sebagai kecederaan yang mudah dirawat dan tidak memerlukan perhatian segera.
Hakikatnya, selain daripada kesan kesakitan ia juga boleh berakhir dengan kecacatan. Sengatan haiwan berbisa boleh menyebabkan kematian akibat kejutan anafilaksis.
Kaki yang tertusuk paku karat amat berbahaya terutama sekali kepada pesakit yang menghidap kencing manis. Mereka tidak mengambil kisah dan hanya sapu minyak gamat begitu sahaja dan tidak pergi terus berjumpa dengan doktor. Oleh sebab kedegilan pesakit, luka paku tersebut boleh merebak ke seluruh kaki dan mengakibatkan sel-sel di kaki rosak. Maka, kaki mereka terpaksa dipotong kerana telah rosak.
Mari kami kongsikan info sebenar mengenai perkara yang tidak patut dibuat jika disengat haiwan berbisa atau tertusuk paku yang ditulis oleh Dr. Suhazeli Abdullah. Beliau merupakan seorang doktor pakar keluarga di klinik yang beroperasi di Dungun, Terengganu.
1) Jangan bakar kaki dengan minyak masak. Dah lah sakit digigit dan bisa merayap, kaki pulak terbakar. Doktor terpaksa rawat dua penyakit pula.
2) Jangan sedut luka gigitan. Kan double kojol sebab sedut bisa binatang.
3) Jangan kejar binatang tu semata-mata nak dapatkan ekornya. Siapa pula kata ekor bintang sebagai antidot (ubat lawan bisa)? Jangan mengarut dalam bab berubat saat cemas begini.
4) Jangan sapu losyen yang entah tak tahu asalnya, samada ramuan herba atau minyak hitam kereta. Ia akan menambahkan sumber jangkitan kuman. Lagi sukar untuk dirawat. Begitu juga ramuan lain seperti rincihan bawang campur gula, ianya tidak sedikitpun membantu luka tersebut. Bawang dan gula untuk makanan, bukannya untuk terkena tusukan paku!
5) Jangan ikat kaki atau tangan yang kena gigit. Jika tak kena cara, kaki anda akan gangren (hitam) sebab tiada saluran darah mengalir. Apa yang perlu, balut dengan kain bersih serta beri tekanan lembut di kawasan luka. Kaedah itu boleh mengurangkan perdarahan.
*Jika kita disengat haiwan berbisa atau tertusuk paku, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan segera.
Perkara ini tidak patut dilambat-lambatkan kerana ia boleh membawa kemudaratan kepada diri. Jangan kita memandai-mandai ubat sendiri luka tersebut tanpa berjumpa dengan doktor. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.
Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Baca artikel asal di sini.