Pastinya anda akan berasa susah hati sebaik sahaja doktor mengesahkan bahawa bayi anda mengalami pneumonia atau pun jangkitan kuman pada paru-paru. Masakan anda tidak risau, paru-paru adalah organ pernafasan yang sangat penting bagi bayi anda. Kami faham.

Namun, anda boleh cuba untuk tenangkan fikiran dan baca info tentang penyakit pneumonia iaitu jangkitan kuman pada paru-paru bayi yang akan kami kongsikan di sini.

Apabila anda mempunyai info tepat tentang penyakit pneumonia yang menjangkiti bayi anda, pastinya anda akan berasa lebih relax dan mudah untuk menerima kenyataan. Apabila anda redha, pastinya anda dapat menjaga dan merawat bayi anda dengan cara yang terbaik. Perkara pertama yang perlu anda ketahui ialah apa yang dimaksudkan dengan pneumonia.

penyakit pneumonia
Sumber: Youtube

Apa itu pnuemonia?

Pneumonia ialah radang atau jangkitan yang berlaku kepada salah satu atau kedua-dua belah paru-paru bayi anda. Kebanyakan kes pneumonia berlaku disebabkan oleh serangan virus namun ada juga kes pneumonia yang berlaku disebabkan oleh jangkitan bakteria.

Jangkitan yang berlaku pada paru-paru bayi anda akan menyebabka saluran pernafasan ke paru-paru yang masih belum matang menjadi bengkak dan dalam masa yang sama akan menghasilkan lebih banyak cecair atau lendiran mukus.

Keadaan saluran pernafasan ke paru-paru yang membengkak dan ditambah lagi dengan kehadiran cecair atau lendiran mukus akan menyebabkan berlakunya sekatan pada saluran pernafasan bayi anda. Akibatnya bayi anda akan mengalami masalah kekurangan bekalan oksigen di dalam badan. Pneumonia boleh berlaku pada satu bahagian paru-paru malah ia juga boleh menjangkiti keseluruhan paru-paru bayi anda jika tidak dirawat dengan segera.

Lazimnya kes pneumonia biasa berlaku kepada seorang bayi selepas bayi tersebut mengalami jangkitan saluran pernafasan seperti selesema atau flu. Pneumonia mungkin kedengaran seperti sesuatu yang mengerikan namun ketahuilah bahawa kebanyakan bayi dan kanak-kanak yang mengalami pneumonia akan sembuh dengan cepat sekiranya mendapat rawatan dengan segera dan diberikan penjagaan yang baik.

Apakah punca pneumonia?

Ada banyak organisma yang boleh menjadi punca pneumonia seperti bakteria, virus, mikoplasma, fungus (chlamydia) dan mikobakteria. Bagi bayi yang baru lahir sehingga berumur 30 hari, kebiasaannya pneumonia yang berlaku adalah disebabkan oleh patogen iaitu kuman yang mungkin berada di dalam uterus dan bayi anda mendapat jangkitan ketika dilahirkan. Atau mungkin juga bayi anda mendapat jangkitan melalui sentuhan dari orang lain atau peralatan selepas dilahirkan.

Sementara bagi bayi yang lebih besar, punca pneumonia yang paling kerap berlaku ialah disebabkan oleh virus. Menurut data, 90 peratus kes pnuemonia pada bayi yang berumur 30 hari ke atas adalah disebabkan oleh jangkitan pada salur pernafasan bawah. Virus pernafasan sinsitia (RSV) adalah patogen yang paling biasa ditemui pada bayi dalam lingkungan umur berkenaan diikuti oleh virus influenza jenis 1, 2, 3, A atau B.

Jangkitan bakteria pada bayi yang berumur 30 hari ke atas sangat jarang berlaku. Jika ada sekali pun, biasanya ia disebabkan oleh Streptococcus pneumoniae, Haemophilus influenza jenis B atau Staphylococcus aureus.

penyakit pneumonia
Sumber: Orami

Apakah simptom atau tanda-tanda pnuemonia?

Bagi kebanyakan kes jangkitan kuman pada paru-paru bayi atau pneumonia, kebanyakannya akan memberikan simptom yang lebih kurang sama namun sedikit berbeza di antara bayi yang baru lahir dan bayi yang sudah besar. Di antara simptom yang boleh anda perhatikan ialah:

  • Untuk bayi baru lahir, kebiasaannya jangkitan pnuemonia tidak akan menyebabkan bayi mengalami batuk. Namun tanda lain yang boleh berlaku ialah pernafasan bayi menjadi cepat, mengalami tarik-tarik atau juga dikenali sebagai sawan tarik, pernafasan berbunyi kasar akibat peti suara menjadi rapat bagi meningkatkan tekanan di dalam saluran pernafasan atas dan membuka saluran pernafasan bawah , dan hiposekmia iaitu kekurangan oksigen dalam badan.
  • Manakala bagi bayi yang lebih besar pula, apabila mereka dijangkiti pnuemonia biasanya mereka jarang menunjukkan gejala bunyi nafas yang kasar. Sebaliknya pernafasan bayi anda akan menjadi cepat dan dalam masa yang sama akan mengalami masalah kekurangan oksigen dalam badan. Bayi anda juga akan mengalami batuk, hidung tersumbat, demam, kelihatan tidak selesa serta tidak keruan, dan hilang selera makan lalu menyebabkan bayi anda tidak mahu menyusu atau makan seperti biasa.

Apakah rawatan untuk pneumonia?

Sebaik sahaja disahkan mengalami pneumonia, bayi anda akan diperiksa untuk memastikan sama ada mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Berumur kurang daripada setahun
  • Tidak boleh makan ubat
  • Mengalami kekurangan air dalam badan ayau dehidrasi
  • Mengalami masalah pernafasan yang teruk

Jika bayi anda mempunyai kesemua keadan di atas, bayi anda akan dimasukkan ke dalam wad dengan segera untuk mendapatkan rawatan. Bayi anda akan diberikan antibiotik melalui suntikan ke dalam salur darah atau drip jika pneumonia yang berlaku disyaki disebabkan oleh jangkitan bakteria.

Jika bayi anda mengalami dehidrasi, air akan dimasukkan ke dalam tubuhnya melalui drip. Sekiranya pernafasan bayi anda sangat teruk, bantuan pernafasan akan diberikan bagi memastikan bayi anda mendapat oksigen yang secukupnya. Kekurangan oksigen pada bayi boleh menyebabkan komplikasi yang teruk seperti kerosakan organ malah boleh menyebabkan kematian.

Itulah dia info tentang penyakit pneumonia iaitu jangkitan paru-paru pada bayi yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda menyukai artikel ini, anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang anak tak nak makan influenza A dan nafas bayi berbunyi

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.