pengurusan masa

Wanita zaman kini berperanan lebih dari superwoman. Menguruskan keluarga, mengatur rumah, bekerja, semuanya harus dilakukan dalam satu masa! Disini saya tertarik untuk berkongsi artikel hasil tulisan Prof. Dr. Rozieta Shaary berkenaan pengurusan masa demi mengimbangkan keluarga dan kerjaya.

Artikel ini sebenarnya merupakan sambungan dari artikel yang telah dikongsi tempoh hari. Prof Dr. Rozieta, yang sering menggelarkan diri beliau ‘ibu’ merupakan seorang pakar dalam bidang Neuro and Behavioural Sciences.

Diharap, kita semua dapat menjadikannya sebagai panduan dalam menjadi muslimah, ibu dan wanita yang lebih baik. InshaAllah manfaat yang diperoleh kita semua hasil dari perkongsian ilmu beliau menjadi tiket untuknya di syurga kelak.

Rahsia Dalam Menguruskan Masa Dengan Baik

Rahsia di dalam menguruskan masa dengan baik ialah membanyakkan aktiviti di Bahagian ii dan bukan di Bahagian i sahaja. Ini adalah kerana bila anda lebih menumpukan di Bahagian ii, maka anda akan kurang Bahagian i kerana semuanya telah terurus sebelum ia menjadi urgent dan important. Rahsianya ialah untuk melakukan perkara itu sebelum ianya menjadi urgent.

Bila kita meluangkan masa untuk mendidik, bergaul bersama anak-anak dan menjalinkan pertalian rapat dengan anak, maka sebenarnya kita akan banyak memudahkan kerja kita bila anak sudah boleh melakukan kerja dan menolong.

Semasa Ibu melahirkan anak yang pertama, Ibu berada di England. Emak dan ayah jauh di Malaysia. Nasib baik ramai mereka yang lebih bijak menguruskan rumah tangga datang menziarahi Ibu. Seorang itu yang berbangsa Inggeris dan dia mengatakan hampir sama seperti yang dikatakan oleh Puan Sal.

Katanya, “Rozieta bila kita ada anak ini, kita perlu tumpukan lebih kepada mendidik anak. Debu di atas rak-rak buku atau meja-meja itu akan tetap datang dari sehari ke sehari. Bila anda sudah lap, ia akan datang lagi. Namun, anak akan membesar begitu cepat, umur dia dua bulan tidak akan datang kembali.

Oleh itu boleh lap debu, namun jangan menjadikan kekemasan rumah pada setiap masa itu prioriti berbanding dengan mendidik anak. Namun, kalau boleh dua-dua tanpa menjejaskan diri kamu, tidaklah mengapa. Jika kamu ada pembantu…”

Banyak masalah berkaitan dengan anak-anak timbul kerana ibu bapa kurang memberi masa untuk membina pertalian dan kematangan anak-anak. Anak yang suatu masa ini kecil, akan menjadi orang yang mampu berdikari atau tidak bergantung kepada cara kita mendidik mereka.

Memahami akan perkara ini, maka ini adalah diantara perkara yang Ibu lakukan semasa 4 orang pertama anak-anak Ibu membesar. Semasa itu, suami Ibu sangat sibuk dengan kerjayanya sehingga dia tidak sempat membantu banyak dalam urusan keluarga. Ibu share akan perkara yang besar-besar sahaja. Iaitu perkara yang mengambil masa yang banyak.

pengurusan masa

1. Memasak

Memasak untuk makan semasa adalah Bahagian iii – maksudnya urgent tapi tak important. Oleh itu, Ibu telah masak pada weekend yang Ibu free. Ibu akan masak lauk bergulai dalam tiga 3 jenis dan simpan elok-elok di dalam peti.

Maka setiap hari, Ibu hanya tambah telur atau masakan ringan yang boleh dibuat dalam kurang dari 10 minit. Tapi sebab sudah ada 3 gulai yang boleh disilih berganti, maka setiap hari macam makan masakan berbeza.

Semasa anak sudah berumur 4 -5 tahun, Ibu sudah ajar mereka susun pinggan dan basuh pinggan, masukkan kerusi. Kutip sampah dan lap meja contohnya. Bila mereka mencecah 8 tahun, salah seorang anak Ibu itu sudah pandai memasak telur goreng. Bila sesak tidak sempat masak, dialah yang menolong. Sayur, Ibu akan lebihkan sayur segar seperti timun, tomato dan salad yang tidak perlu dimasak.

2. Melipat Baju

Dengan anak 4 orang masa itu dan sedang membesar pula tu, kain baju memanglah banyak. Suami memang tidak sempat menolong. Tapi dia memberi idea untuk memberi setiap anak satu raga.

Semasa itu usia mereka dalam 6- 8 tahun. Semasa itu sidai kain, memanglah perlu buat sendiri, namun angkat kain, mereka sudah boleh lakukan. Malah salah seorang anak Ibu itu sudah mula menyidai kain dengan baik pada usia sekecil 6 tahun lagi.

Bila kain sudah diangkat, sama-sama mereka mengasingkan pakaian yang telah diangkat ke dalam raga-raga yang telah diberi. Jadi, yang telah pandai melipat akan lipatlah sekadarnya. Yang belum tahu itu, baju-baju mereka ada di dalam raga dan mereka boleh ambil sendiri jika masa itu Ibu tidak sempat melipatnya. Lama-lama mereka pandai melipat sendiri.

3. Kemas Mainan – Kemas Rumah

Ini telah Ibu didik sejak mereka boleh merangkak lagi. Simpan toys sama-sama dan bersaing siapa lagi cepat kemas. Anak-anak sekecil 2-3 tahun sudah boleh diajak bersama mengemas rumah sebagai aktiviti bersama yang menyeronokkan.

Adakan perlawanan dan lepas rumah dan kemas, sama-sama rasa seronok. Sebab mereka mengemaskan rumah sendiri, mereka pun tidak suka menyemakkan rumah. Sambil kita mengemas rumah bersama mereka, sambil mereka bermain dengan kita sambil kita menyemai nilai mulia yang menjadi dasar kukuh sikap positif.

Ini dipanggil LEVERAGING YOUR TIME. Sambil menyelam minum air Walaupun anak masih sekecil 1 tahun. Dukung dia, cakap pada dia, toys ni kita letak kat sini… nanti bila adik dan boleh berjalan, boleh buat sendiri…mama sayang adik…adik rajin…adik budak yang suka tolong mama.. apa yang sebenar anda sedang buat sekarang?

Anda sedang mendidik anak mengenai sikap 5S. Anda sedang memprogramkan anak menjadi pengemas, suka tolong anda, memilih untuk menjadi anak yang baik. See, sambil menyelam minum air!

Selalunya bila kita tidak sedar, apa yang kita lakukan – masa mengemas itulah kita mengomel marahkan rumah semak etc. Jadi secara tidak langsung TANPA niat kita memprogramkan anak-anak kita menjadi pemalas, degil, menyusahkan kita dan segala yang sewaktu dengannya.

Mendidik Anak-AnakK

Sebagai ibu bapa, bahagian yang kita perlu tumpukan di rumah ialah ii iaitu MENDIDIK ANAK-ANAK. Kerana bila anak-anak ini terdidik dengan nilai dan prinsip hidup yang positif, banyak masa yang akan ada bersama kita. Kalau tidak penatlah kita melawan api, “fighting the fire” kata orang Inggeris.

Katakan anda perlu memasak tapi anda tahu memasak ini most of the time masuk Kategori iii. Tapi adakalanya ia adalah Kategori ii – contohnya, menyediakan masakan untuk disimpan untuk minggu itu.

Sedangkan anda pada masa itu perlu mengisikan masa anak dengan perkara yang membinanya. Anda boleh ajak dia masak bersama, sambil menerangkan apa yang sedang dimasak. Kenapa anda campur itu dan ini. Anak yang masih kecil boleh di letakan sekejap dalam play pan di tempan yang dia nampak anda.

Atau jika anak sudah lebih besar, maka anda bagi dia tugas mencari kangkung ke atau seperti itu. Sambil itu anda bercerita mengenai fotosintesis ke…macam-macam boleh anda bercerita kepada anak. Ini menjadi pembelajaran yang tidak formal, NAMUN amat penting kerana anda menyediakan anak untuk minat nak tahu dan minat belajar!

Guna Subconscious Anak

Semasa anak-anak Ibu masih kecil, Ibu banyak mencipta nasyid-nasyid untuk menyemaikan nilai-nilai dan prinsip-prinsip hidup yang positif. Oleh itu semasa Ibu sibuk melakukan tugasan yang urgent dan important. Ibu pasang nasyid yang Ibu telah record itu dan anak-anak Ibu akan mendengarnya seolah-olah Ibu berada bersama mereka.

Anda boleh rekod suara anda membaca buku untuk mereka. Suara anda membaca surah-surah pendek. Memanglah kita boleh beli sahaja di kedai. Namun, kalau suara anda anak lagi suka. Kalau salah seorang daripada anda selalu sibuk dan tiada banyak masa bersama anak-anak, ini adalah cara yang sangat baik untuk membina rasa kasih anak-anak kepada kita.

Tambah lagi sekarang ini, teknologi lebih canggih. Smartphone pun dah boleh buat movie. Buatlah movie anda bercerita dan sebagainya. Jika anda mulakan sejak anak 0 tahun, cerita di TV tu akan menjadi kedua penting bagi mereka.

Tahu tak bagi anak ibu dialah wanita tercantik dan ayah dialah lelaki terhebat dan terhensem. Sebab, anak-anak kecil bukan melihat fizikal, tetapi melaihat tenaga kasih di dalam diri ibu dan bapa mereka.

Jadi lepas ni, setiap kali hendak melakukan sesuatu, fikirkan apa yang boleh aku buat bersama perkara ini untuk memenuhi tuntutan tanggungjawab di Bahagian ii – kalau dalam keluarga – membina kasih-sayang seisi keluarga dan mendidik anak-anak dengan berjaya.

Kalau di dalam kerjaya, apa yang sangat penting ialah anda perlu memastikan kompetensi anda terhadap kerja adalah pada tahap excellent dan bukan sekadar good. Kerana banyak masa boleh dijimat jika anda tingkatkan kompetensi anda.

pengurusan masa

Kerjaya

When you get your family right, you will get your career right.

Dikesempatan ini, Ibu ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasangan suami isteri yang bekerjasama di dalam memenuhi tugasan anda di rumah dan sudah tentunya membantu menyenangkan tanggung-jawab dalam kerjaya.

Bagi yang belum, bermulalah sekarang. Usah dipersoalkan tanggungjawab siapa. Yang lebih penting adalah tanggungjawab itu perlu dilaksanakan dan jika masa itu dilepaskan ianya akan menjadi masalah yang memamah kebahagiaan keluarga.

Ibu ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para suami yang STEP-UP dan mengambil tanggungjawab memimpin keluarga. Suami yang faham bahawa bila dia memimpin maksudnya dia perlu menunjuk contoh yang baik. Maksudnya, di dalam perhubungan suami-isteri, dialah yang lebih banyak memudahkan urusan pasangannya dan bukan sekadar menyuruh dan mengarah.

Itu kepimpinan lapuk dan tidak mengikut sunnah. Bila dia kembali kepada sunnah, lantaran itu menyebabkan pasangannya menghormati dan berasa lapang hati di atas kepimpinannya.

Suami seperti ini mengikut sunnah Nabi dan pesanan terakhir Nabi s.a.w pada Khutbah Nabi SAW bersabda, maksudnya:

“Orang-orang yang terbaik dari kamu sekalian ialah mereka yang lebih baik dari kamu di dalam mempergauli keluarganya, dan saya adalah yang terbaik dari kamu sekalian dalam mempergauli keluargaku”.

Dengan contoh baik yang anda tunjukkan, InsyaAllah kita membawa sunnah Nabi s.a.w ini ke hadapan di dalam kefahaman masyarakat terhadap cara suami memimpin isteri dan anak-anak.

Dan dapat membelakangi budaya salah yang telah melanda dunia ini yang menyebabkan bertambah ramai lelaki hilang hormat di mata wanita kerana kegagalan mereka menjadi pemimpin yang MEMIMPIN tapi menjadi pemimpin yang MEMUSNAHKAN!

Dengan kepimpinan yang baik di dalam keluarga, masalah tidak cukup masa ini boleh diatasi dengan baik dan bijak. Malah bila bekerjasama, kita akan mendapati masa itu banyak terlapang, MY TIME and OUR TIME dapat diwujudkan dengan mudah.

Urgent Dan Important

Sayang para ibu muda semua, jika terlalu banyak perkara yang anda lakukan dalam satu minggu ialah dari Bahagian – i – iaitu urgent dan important. Maksudnya anda kurang merancang kerja. Oleh itu anda selalu tercungap cungap menyudahkan kerja. Memang sakit jantung dibuatnya dan anda jadi semakin tenggelam dalam kesibukan hidup.

Ibu sarankan dengan penuh faham akan situasi anda, malam ni sebelum anda tidur, cari masa untuk melihat apakah yang boleh anda plan di dalam semua tugasan anda yang menimbun itu. Namun, jika anda terlalu sibuk kerana tiada siapa yang menolong.

Apa yang Ibu boleh lakukan ialah berdoa kepada Allah, agar anda beroleh kekuatan dan kebijaksanaan dalam menguruskan semua tugas anda dengan sempurna.

Jika anak sudah lebih 6 tahun, janganlah semua benda anda perlu lakukan. Anak pada usia ini sudah boleh menolong.

Perhatian: Artikel yang dikongsi di blog adalah hasil gabungan dari beberapa artikel yang beliau kongsikan. Sekiranya anda berhasrat untuk membaca artikel lengkap, bolehlah melawat page facebook beliau.

Kredit artikel: Prof Dr Rozieta Shaary

Kredit gambar: Michelle McCormack, Michelle Maples, Osvaldo Eaf

Penulis: Ummu Hatim

Ummu Hatim adalah salah seorang penulis tetap di Bidadari.My. Penulisannya banyak mengenai keibubapaan dan tips kesihatan. Menulis untuk mendidik diri sendiri disamping berkongsi ilmu pembacaan yang ada.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.