Tiroid merupakan salah satu dari penyakit yang biasa dikalangan masyarakat Malaysia. Bagi yang tidak tahu, tiroid adalah kelenjer berbentuk rama-rama yang terletak di bahagian hadapan leher dan berfungsi bagi menghasilkan hormon tiroid. Hormon tersebut pula bertanggungjawab untuk mengawal metabolisme badan seperti tumbesaran dan mengawal protein serta lemak dalam badan. Bagi penghidap penyakit tiroid, apakah pantang larang penyakit tiroid yang perlu anda tahu untuk elak kesan yang lebih parah?

Artikel pada kali ini akan berkongsi kepada ada mengenai pantang larang penyakit tiroid khususnya dalam pengambilan makanan setiap hari.

Apa itu hipertiroidisme & hipotiroidisme?

Hipertiroidisme dan hipotiroidisme adalah dua masalah yang sering terkait dengan perubahan pada gangguan hormon tiroid. Hipertiroidisme merupakan keadaan di mana kelenjar tiroid terlebih aktif dengan menghasilkan hormon tiroid yang berlebihan. Sedangkan hipotiroidisme merupakan keadaan di mana kelenjar tiroid kurang aktif dengan menghasilkan hormon tiroid yang rendah.

Kedua-dua masalah perubahan hormon tiroid ini boleh membawa kepada kesan negatif kepada fungsi jantung seseorang. Hal ini disebabkan oleh jantung terpaksa bekerja kuat untuk meningkatkan daya pengecutan otot dan kadar denyutan jantung.

Untuk mengelak dari berlaku sesuatu yang lebih buruk pada masalah tiroid anda, pantang larang penyakit tiroid wajib diambil peduli.

1. Makanan yang mengandungi soya

Sejak dulu kala lagi, makanan yang berasaskan soya sudah menjadi seteru kepada pesakit tiroid disebabkan adanya bahan yang dikenali sebagai isoflavones. Makanan yang dimaksudkan dalam kategori ini adalah tempe, edamame, tofu, dan miso.

Sesetengah kajian mendapati bahawa terlalu banyak soya dalam badan pesakit tiroid boleh mendatangkan hipotiroidisme. Walaupun begitu, kajian menerusi Laporan Saintifik pada bulan March 2019, menyatakan sebaliknya.

Sungguhpun begitu, kajian lain mendapati soya ini berpotensi untuk mengurangkan kesan maksima ubat tiroid yang dimakan. Oleh yang demikian, disarankan kepada pesakit yang mahu mengambil makanan berasaskam soya untuk membuat konsultasi terlebih dahulu kepada doktor anda.

2. Sayuran seperti brokoli dan kubis

Sayur jenis cruciferous seperti brokoli dan kobis bunga yang tinggi kandungan nutrisi serta serat ini boleh menganggu penghasilan hormon tiroid khususnya kepada pesakit yang memang rendah kandungan iodinnya. Sayur mungkin pilihan No.1 bagi orang normal tetapi tidak bagi pesakit tiroid.

Ini telah dibuktikan sendiri dari kajian Mayo Clinic. Disarankan untuk pesakit yang mahu ambil sayur ini sebagai diet makan pastikan masak ia terlebih dahulu dan hadkan juga pengambilannya kepada 5 auns sahaja sehari.

3. Makanan dari gluten

Pantang larang pesakit tiroid khususnya yang berhadapan dengan masalah hipotiroidisme, dinasihatkan juga agar elak dari mengambil makanan dari gluten. Makanan proses yang dimaksudkan ini adalah seperti spageti, roti, gandum, tepung gadum, barli, dan bijirin.

Ini kerana gluten dikatakan akan menyebabkan usus kecil mengalami keradangan dan seterusnya mengehadkan keberkesanan ubat tiroid. Menurut sebuah artikel yang dimuatkan dalam jurnal Endocrine Connections, hipotiroidisme dan penyakit seliak (CD) selalunya berlaku sekali.

Apa yang pasti, langkah lebih selamat adalah dengan mengurangkan terus pengambilan gluten untuk kesan mendadak yang kita tidak pernah jangka.

4. Makanan yang berlemak

Masyarakat Melayu memang tidak lari dengan makanan berlemak khususnya yang bergoreng. Sedar atau tidak makanan tinggi lemak seperti ini dapat mengganggu penyerapan ubat penggantian hormon tiroid.

Mentega, marjerin, dan lemak daging haiwan adalah antara makanan berlemak yang sangat tidak sihat dan mendatangkan pelbagai jenis penyakit. Setiap kali anda makan, tubuh hanya dapat 0 nutrisi dan tinggi kalori.

5. Makanan yang bergula

Apa sahaja makanan yang bergula tentu ia menjadi pilihan ramai kerana lebihan gula boleh menyebabkan seseorang itu mudah ketagih untuk mengambil gula dalam kuantiti yang banyak. Pesakit hipotiroidisme mempunyai kadar kebolehan metabolisma yang sangat rendah.

Apabila makanan bergula diambil tanpa had, badan tidak mampu untuk memproses gula tersebut lagi dengan cepat. Kesannya, ia membawa kepada kegemukan dan risiko penyakit diabetes.

6. Makanan sejuk beku dan proses

Makanan segera atau sejuk beku mempunyai kandungan sodium yang sangat tinggi di mana bagi pesakit hipotiroidisme menjauhi makanan yang ada sodium adalah kemestian. Terlalu banyak sodium akan membawa risiko tekanan darah tinggi dan sakit jantung.

Menurut Persatuan Jantung Amerika, orang yang mempunyai risiko peningkatan tekanan darah tinggi harus mengehadkan pengambilan natrium mereka kepada 1,500 miligram sehari.

7. Makanan yang tinggi serat

Mendapat serat yang cukup dalam makanan seharian memang baik untuk tubuh badan, tetapi apabila berlebihan ia akan menyukarkan perawatan pesakit hipotiroidisme. Cadangan yang dikeluarkan oleh Daily Guidelines for Americans berkata, orang yang berumur 50 tahun ke atas hanya perlu mengambil 25 hingga 38 grams serat setiap hari.

Kandungan serat yang tinggi pada sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang, dan bijiran akan menganggu penyerapan hormon tiroid.

8. Minuman berkafein

Sebut sahaja tentang minuman berkafein pasti dalam otak kita sudah terdetik air kopi di waktu pagi. Mengikut kajian dalam jurnal Tiroid, kafein telah didapati menghalang penyerapan penggantian hormon tiroid.

Orang yang mengambil ubat tiroid dan dalam masa yang sama minum kopi setiap pagi sebenarnya mempunyai tahap tiroid yang tidak terkawal lagi. Namun jika tidak mampu ubah tabiat sebagai pencinta kopi, jarakkanlah pengambilannya sekurang-kurangnya 30 minit.

9. Minuman beralkohol

Alkohol mendatangkan malapetaka kepada kedua-dua masalah hormon tiroid yang diulas tadi. Hal ini kerana, alkohol didapati boleh memberi kesan toksik pada kelenjar tiroid dan menekan keupayaan badan untuk menggunakan hormon tiroid.

Diharapkan artikel mengenai pantang larang penyakit tiroid ini dapat memberikan anda khususnya penghidap masalah tiroid di luar sana sedikit informasi yang bermanfaat untuk penjagaan diri jangka masa panjang. Ingat kesihatan itu perkara utama dalam hidup kita, dan jauh lebih bernilai dari emas dan wang ringgit. Kesihatan yang sihat tidak boleh dijual beli dengan sesuatu yang lain.

Selain dari artikel berkenaan dengan pantang larang penyakit tiroid ini, anda juga boleh baca artikel kesihatan kami yang lain dan menarik seperti:

Rujukan:

  1. Impact of Flavonoids On Thyroid Function (2011). De Souza Dos Santos. Food and Chemical Toxicology
  2. 9 Foods to Avoid if You’re Diagnosed With Hypothyroidism. Every Health
  3. Hah, Pesakit Tiroid Tak Boleh Makan Sayur? Ini 3 Lagi Makanan Dilarang Ambil! Hello Doktor
  4.  Hyperthyroidism (Overactive thyroid) (2012). Mayo Clinic

Penulis: hannani

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.