Peewit! Kedengaran seorang lelaki menegur seorang wanita. Ini biasa, tersangat biasa kerana lelaki memang sangat suka memandang sesuatu yang cantik. Pandangan mata lelaki ini tajam dan jika tidak dibendung boleh mendatangkan masalah pada dirinya sendiri.

pandangan mata lelaki
image via : Medical News Today

Jika dipandang sudut positif, pastinya si wanita ini agak beruntung kerana berjaya menarik minat lelaki tersebut. Tetapi! Bagaimana jika yang menarik perhatian itu adalah pada pakaian yang kadang menjolok mata. Oh tidak! Jangan biarkan ini berlaku lagi. 

Pandangan Mata Lelaki, Dari Mata Turun Ke Hati

Mata dan renungan adalah bahagian paling penuh perasaan pada tubuh seorang lelaki dan seperti yang kita tahu, mata dan hati saling berkait rapat malah hati ialah raja dalam kerajaan diri. Manakala mata umpama utusan yang bertugas sebagai penyampai maklumat yang sangat dipercayai oleh raja. Jika maklumat disampaikan baik, maka baiklah hati.

Pandangan pula akan menentukan perasaan dan keadaan hati. Dari mata turun ke hati, dari hati lahirnya lisan dan tindakan. Jadi perlunya menjaga mata supaya tidak dirosakkan oleh virus dosa.

Maksudnya ialah jaga pandangan mata dari melihat perkara-perkara yang tak elok. Benda-benda yang akan menaikkan syahwat kaum lelaki/wanita iaitu perkara-perkara yang mendekati zina dan seumpamanya.

Jagalah Mata Kerana Ia Boleh Merosakkan Kebersihan Hati

Seseorang lelaki yang punya akhlak tinggi serta tebal iman tidak akan sewenang – wenangnya memandang seorang wanita dan begitu juga sebaliknya. Mereka juga tidak mudah memanjakan mata mereka dengan melihat aurat orang lain yang diharamkan atau perkara yang boleh menyebabkan mereka lalai. Pandanglah perkara-perkara di depan kita sekadar yang perlu sahaja.

Dalam perjalanan apabila terserempak gadis cantik melirik manja, cepat-cepatlah memalingkan pandangan kita. Kena ingat, pandangan mata yang pertama boleh untuk kita tetapi pandangan selanjutnya tidak digalakkan untuk diteruskan.

Takut bila melihat, macam-macam yang akan difikirkan. Mungkin perkara ini sangat sukar dilakukan. Menundukkan pandangan dalam jaga pandangan mata ditengah ramai orang bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dilakukan.

pandangan mata lelaki
image via : Baitul Jannah

Ya, lelaki dan perempuan masing-masing kena jaga pandangan mata TAPI di sini kita tidak mahu bercerita tentang pandangan mata perempuan tetapi kita hendak bercerita tentang pandangan mata lelaki. Macam mana lelaki perlu lakukan dalam menjaga pandangan mata mereka.

10 Sebab Mengapa Lelaki Perlu Jaga Pandangan Mata

Jom baca 10 sebab kenapa lelaki perlu jaga pandangan mata ini. Semoga dengan adanya perkongsian ini dapatlah membantu dalam memberi sedikit sebanyak info dan ilmu yang mereka yang memerlukan.

1 – Bila jaga pandangan mata maka ia akan turut menguatkan hati

2 – Bila jaga pandangan mata, nafsu syahwat semakin boleh dijaga

3 – Bila jaga pandangan mata maka si lelaki ini dapat menangkis anak panah berapi syaitan yang sangat beracun hingga boleh mengakibatkan kemusnahan moral manusia itu.

4 – Jaga pandangan mata lelaki dapat menguatkan akal dan menambahkan kecerdasan. Boleh berfikir baik buruk yakan akan berlaku atas setiap tindakan.

5 – Jaga pandangan mata dari lihat perkara yang boleh membawa fikiran ke arah keburukan bagi mengelakkan daripada maksiat

6 – Menjaga pandangan mata pada golongan lelaki ini boleh melahirkan hati yang lebih mantap dan bersih.

7. Lelaki perlu juga jaga pandangan mata ini kerana ia dapat membebaskan hati dan minda dari berangan-angan tinggi dalam mencapai perkara yang dilihatnya itu. Jika perkara baik tidak mengapa, takut nanti sebaliknya.

8. Jaga pandangan mata juga dapat mengurangkan sikap lalai dikalangan kaum lelaki dari buat perkara yang tidak berfaedah.

9. Sebagai lelaki, dengan jaganya pandangan mata ini mereka boleh mendapat aura keteguhan hati dan keberanian di dalam diri.

10. Menjaga pandangan mata lelaki ini boleh menunjukkan bahawa seseorang itu patuh pada perintah Allah SWT.

Pandangan Mata Lelaki Sangat Bahaya Jika Tidak Dikawal

Islam mempunyai kaedah  ‘mencegah lebih baik dari berubat’.  Justeru dalam merawat penyakit zina ini, Islam menganjurkan ummatnya lelaki dan wanita supaya menundukkan pandangan.  Menundukkan pandangan bukan bererti menundukkan kepala sehingga berjalan terlanggar tiang!

Allah perintahkan kaum lelaki dahulu supaya menjaga pandangan.  Kemudian barulah diperintahkan kaum wanita supaya memelihara pandangan mereka serta menutup aurat.  Ia membuktikan bahawa lelaki sebenarnya mampu mengawal pandangan mereka walaupun terdapat wanita yang tidak menutup aurat di hadapannya. 

pandangan mata lelaki
image via : Eye Care 2020

Allah tidak membebankan hambaNya dengan perkara yang tidak mampu dilakukan. Selebihnya bergantung pada hati kita sendiri, mahu atau tidak.  

Jika kita membiarkan mata kita memandang seenaknya hawa nafsu, hmm pasti kita akan mula berangan – angan dan hati kita tidak akan lepas dari bayang-bayangnya.

Mungkin perkara ini sangat sukar dilakukan namun tidak dinafikan juga untuk menundukkan pandangan ditengah kehidupan masyarakat yang semakin bebas bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Baca juga kenapa masih ada lelaki lambat kahwin.

Mata Adalah Anugerah Allah Yang Perlu Kita Guna Dengan Cara Baik

Semuanya bermula daripada satu pandangan yang boleh berakhir dengan desakan untuk ingin melihatnya lagi, lagi dan lagi. Hal beginilah yang boleh membuatkan seseorang itu ketagih! Ini jugalah yang berlaku di kalangan anak remaja kita.

Betapa sedihnya melihat anak remaja lelaki sudah mula pandai melihat video yang tidak sepatutnya walau usia baru saja setahun jagung. Kesudahannya? Bermulalah bermacam tragedi seperti rogol dan sebagainya. Allahuakbar, semoga Allah jauhkan ujian yang seperti ini.

Jagalah mata dan pandangan. Kerana mata adalah sesuatu yang suci. Allah berikan nikmat mata untuk melihat akan kebesarannya bukannya untuk menatap perkara yang boleh membawa ke arah neraka. Semoga mata yang kita pelihara ini akan dapat menikmati anugerah yang paling besar diakhirat kelak iaitu menatap wajah Allah SWT!

Sumber :

1 – Baitul Jannah

2 – Syurga Itu Indah

Penulis: Siti Awadah

Minat menulis untuk pelbagai topik seperti kesihatan, keibubapaan, perhubungan, kecantikkan, makanan, travel, Islamik dan sebagainya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.