Obesiti atau kegemukan bukan suatu perkara baru di Malaysia. Malah, Malaysia menjadi negara tertinggi di Asia dalam masalah obesiti atau kegemukan dengan 23.7% penduduknya mengalami obesiti. Rakyat Malaysia juga sedar dengan keadaan ini dan menganggap puncanya adalah daripada pemakanan. Adakah benar tanggapan ini? Dan bagaimanakah untuk mengatasinya?

obesiti
Sumber: Mithalimoms

Punca

Sebenarnya, faktor berlakunya kegemukan bukan sahaja kerana pemakanan tetapi turut melibatkan beberapa perkara yang lain. Menurut portalwww.myhealth.gov.my, berikut merupakan faktor berlakunya kegemukan atau obesiti;

  • Umur

Berat badan akan meningkat sesuai mengikut peningkatan usia kerana berlakunya penurunan  kadar metabolisma. Jadi, jangan terkejut dengan penambahan berat badan anda walaupun tabiat pemakanan anda berubah. Anda mungkin memang suka makan tapi kadar metabolisma juga memainkan peranan besar dalam hal ini.

  • Gender

Kita biasa melihat obesiti lebih kerap berlaku di kalangan wanita. Ini kerana kadar metabolisma wanita lebih rendah berbanding lelaki. Lebih-lebih lagi jika wanita tersebut mencapai menopause. Ia akan meningkatkan lagi peluang untuk wanita menghadapi obese.

  • Faktor Keturunan

Sekiranya anda menghadapi masalah obesiti, anda mungkin mahu melihat masalah kegemukan di dalam keluarga anda.

  • Aktiviti Fizikal

Tidak menjaga pemakanan merupakan satu punca berlakunya obesiti. Ini ditambah pula dengan kurangnya melakukan aktiviti fizikal. Aktiviti fizikal mampu menyeimbangkan tabiat pemakanan anda. Tapi jika anda tidak menjaga pemakanan dan melakukan aktiviti fizikal, maka peluang anda untuk mengalami obesiti adalah lebih tinggi.

  • Faktor Psikologi

Ramai orang suka makan semasa emosi mereka tidak stabil atau berada dalam keadaan tertekan.

  • Penyakit

Bergantung kepada jenis penyakit, obesiti juga boleh mengenai mereka yang mempunyai penyakit seperti kemurungan, hypothyroidism, dan apa-apa penyakit pada bahagian otak yang memberi kesan kepada tabiat pemakanan mereka.

  • Ubat-ubatan

Anda mungkin makan sesuatu jenis ubat untuk memulihkan penyakit anda. Tapi ubat-ubatan ini boleh memberi kesan sampingan juga kepada anda. Contohnya steroid dan ubat merawat kemurungan. Ubat-ubat ini boleh menyebabkan obesiti kepada pesakit yang memakannya.

obesiti
Sumber: Kosmo

Simptom

Kesan obesiti bukan sahaja dilihat pada perubahan fizikal, ia juga memberi kesan kepada masalah-masalah kesihatan yang lain. Obesiti hadir dengan tanda-tanda yang amat mengganggu urusan harian dalam kehidupan seseorang. Tanda-tandanya ialah:

  • Sesak nafas.
  • Berpeluh dengan banyak.
  • Berdengkur.
  • Tidak mampu menghadapi aktiviti fizikal yang dijalankan secara tiba-tiba.
  • Berasa sangat letih setiap hari.
  • Sakit pada bahagian belakang dan sendi.
  • Keyakinan diri yang rendah.
  • Berasa terpinggir.

Semua tanda-tanda ini bukan sahaja berhenti di sini. Ia seterusnya membawa kepada pelbagai jenis penyakit merbahaya seperti tekanan darah tinggi dan tahap kolestrol yang tinggi yang boleh menutup arteri. Apabila berlakunya dua perkara ini, anda boleh terkena serangan sakit jantung dan strok yang mana kedua-duanya boleh membawa maut.

Mereka yang mengalami obesiti juga lebih terdedah kepada risiko penyakit diabetes. Diabetes membuatkan anda berasa sangat haus, kerap pergi ke tandas, dan letih yang keterlaluan.

Masalah yang timbul akibat diabetes ini tidak berhenti di situ sahaja. Mereka yang mengalami obesiti juga cenderung dihampiri penyakit kanser, asma, masalah buah pinggang yang kronik, dementia, gout, osteoartritis, sakit belakang dan kematian pada usia muda.

Cara Mengatasi

Obesiti boleh dikawal atau diatasi dengan mengubah gaya hidup. Ia memang sukar pada peringkat awal dan memerlukan komitmen yang tinggi. Namun, sudah ada ramai yang berjaya yang boleh anda contohi. Mereka ini berjayamengatasi masalah obesiti mereka dan seterusnya kembali sihat hanya dengan berbekalkan keinginan yang tinggi untuk menjalani hidup yang lebih baik.

Berikut adalah pilihan-pilihan yang ada untuk mereka yang mengalami masalah obesiti:

  • Bersenam

Mengurangkan berat badan adalah amat penting dalam mengembalikan kesihatan. Oleh itu, senaman memainkan peranan penting di samping pemakanan yang seimbang. Bagi sesetengah orang, memulakan senaman memang menyukarkan. Dengan masalah obesiti dan senaman bukan kebiasaan, ia sememangnya kurang memberi motivasi.

Jangan risau. Sebenarnya anda boleh bersenam dengan memecahkan waktu senaman kepada beberapa bahagian dalam sehari. Cuba lakukan sekurang-kurangnya 15 minit untuk sekali senaman. Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Mulakan dengan apa yang anda mampu dan tingkatkan usaha sedikit-demi sedikit. Cuba sasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 45 sehingga 60 minit aktiviti fizikal dalam masa seminggu.

Anda boleh memilih apa jua aktiviti fizikal yang anda suka dan pastikan anda terus melakukannya. Antara senaman yang anda boleh lakukan ialah berjogging, berenang, berjalan laju, dan aktiviti senaman seperti di gim atau sukan lain yang anda suka.

Jika anda ragu-ragu hendak memilih senaman yang sesuai atau ada keraguan kepada isu kesihatan yang lain, cuba dapatkan nasihat daripada doktor anda. Mereka akan mencadangkan senaman atau aktiviti fizikal lain yang lebih sesuai dengan keperluan anda.

Apabila anda sudah mula bersenam, cuba jadikan ini kebiasaan. Ini adalah permulaan terbaik untuk meningkatkan gaya hidup anda. Anda pasti akan teruja dengan tubuh yang lebih langsing, sihat dan anda boleh melakukan urusan dengan lebih mudah tanpa tekanan.

obesiti
Sumber: Everydayhealth
  • Diet

Kurangkan makan dan minum dengan hanya memilih untuk mengambil makanan yang lebih sihat. Pertama sekali, anda mesti mengurangkan makanan seperti makanan segera, makanan diproses dan makanan atau minuman bergula. Bagaimana hendak makanan yang sihat?

Myhealth.gov.my telah berkongsi pengurusan pemakanan yang baik untuk mereka yang menghadapi masalah obesiti.Pesakit diminta untuk mengurangkan pengambilan hasil bijirin, ubi-ubian, ikan, ayam, daging dan kekacang. Mereka juga digesa untuk mengurangkan pengambilan kalori dengan beberapa langkah berikut;

  1. Menggunakan sedikit minyak dan lemak semasa memasak.
  2. Mengurangkan penggunaan gula seperti gula pasir, gula perang, madu, dan gula yang tersembunyi dalam makanan dan minuman.
  3. Meningkatkan pengambilan serat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, dan hasil bijirin seperti oat. Makanan jenis ini menyebabkan anda berasa kenyang dalam jangka masa panjang.
  4. Minum air kosong pada jumlah yang banyak jika makanan makanan berserat tinggi.

Jika ingin menurunkan berat badan, pengambilan diet seharian ialah 1500kkal sehingga 1200 kkal. Berikut merupakan contoh menu yang dicadangkan oleh MyHealth. Anda juga dinasihatkan untuk mendapat nasihat Pegawai Pemakanan anda untuk menu yang sesuai dengan keperluan anda.

Contoh Menu 1200 kkal

Sarapan (7.00 – 7.30 pagi) 2 keping roti mil penuh + 1/4 sudu teh marjerin lembut + 2 hiris tomato + salad1 cawan susu rendah lemak
Makan Tengahari (12.30 – 1.00 tgh) 1 cawan nasi putih / 2 cawan bubur nasi1 mangkuk sederhana sup sayur1 keping ikan tenggiri kukus1 biji limau1 gelas air kosong
Minum Petang (3.30 – 4.00 ptg ) 3 keping biskut krim kraker1 gelas air kosong
Makan Malam ( 6.30 – 7.00 ptg ) 1 cawan nasi putih / 2 cawan bubur nasi1/2 cawan kailan tumis1 mangkuk sederhana tom yam ( 1 ketul peha ayam ) + 1/2 cawan ( bunga kobis + lobak merah+ seleri + tomato )1 potong tembikai.1 gelas air kosong

Contoh Menu 1500 kkal

Sarapan (7.00 – 7.30 pagi) 1 mangkuk sederhana mee hoon sup ( 1 cawan mee hoon ) + 1/2 cawan sawi + hirisan ayam1 cawan susu rendah lemak
Minum Pagi (10.00 – 10.30 pagi) 1 keping roti mil penuh1 gelas air kosong
Makan Tengahari (12.30 – 1.00 tgh ) 1 cawan nasi putih / 2 cawan bubur nasi1/2 cawan bayam tumis1/2 cawan salad1 keping ikan merah kari tanpa santan .1 potong betik1 gelas air kosong
Minum Petang (3.30 – 4.00 ptg ) 1 keping popia basah1 cawan susu rendah lemak
Makan Malam ( 6.30 – 7.00 ptg ) 1 keping capati1/2 cawan ( dhal + kacang panjang + kentang )1/2 cawan bendi tumis1 ketul peha ayam tandoori1 potong tembikai susu1 gelas air kosong
  • Ubat-ubatan

Terdapat ubat-ubatan bagi mengurangkan berat badan. Namun, ia masih perlu digandingkan dengan makanan yang seimbang dan aktiviti fizikal yang berterusan. Ubat-ubatan ini juga ada kesan sampingan terutama kepada ibu yang sedang mengandung. Oleh itu, sekiranya anda mahu mengambil ubat, sila dapatkan nasihat daripada doktor anda terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

  • Pembedahan

Pembedahan boleh dilakukan untuk mengurangkan berat badan. Walaupun begitu, ia tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Pembedahan akan dilakukan sekiranya pesakit mempunyai BMI (Body Mass Index) yang terlalu tinggi, tidak boleh mengurangkan berat badan walau dengan apa cara sekalipun, dan tidak boleh melakukan urusan harian.

obesiti
Sumber: Toodia

Obesiti adalah masalah kesihatan yang serius. Walaupun anda melihat ramai orang mengalami obesiti, itu tidak bermakna ia tidak merbahaya. Wujudkan rasa kasihan kepada diri sendiri yang terpaksa menanggung kesakitan dan rasa tidak selesa dalam urusan harian. Mulakan gaya hidup yang sihat pada hari ini dan bersedia untukmencapai impian anda.

Rujukan:

Penulis: Samsiah Ahmad

Merupakan salah seorang penulis di Bidadari.My. Berminat dengan ilmu kerohanian dan lukisan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.