Bayangkan orang-orang yang kita sayangi seperti ayah, ibu, atuk dan nenek atau sesiapa saja, tiba-tiba tak kenal kita. Tak kenal siapa diri mereka. Mereka seolah-olah seperti kanak-kanak kecil yang berada dalam dunia sendiri.

Tindak-tanduk seperti kanak-kanak berusia 4 atau 5 tahun. Mereka bukan lagi insan yang kita pernah kenal dulu. Ada yang lebih teruk tak mampu menguruskan diri sendiri, tak tahu pakai baju, lupa makan, lupa wajah anak-anak dan lupa semuanya.

Mereka seolah-olah menganggap kita seperti orang asing. Sesuatu yang amat menyedihkan bukan? Apakah yang terjadi kepada mereka sebenarnya? Mengapakah insan-insan yang mengajar kita dari kecil, kini kembali kepada alam kanak-kanak?

Ini disebabkan oleh penyakit nyanyuk atau dikenali sebagai dementia. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), nyanyuk ialah sindrom kemerosotan fungsi otak disebabkan oleh kerosakan otak secara berperingkat.

Orang yang menghidapi penyakit nyanyuk mempunyai masalah dalam keupayaan kemahiran berfikir dan menganalisa. Ini menyebabkan aktiviti kehidupan seharian mereka terganggu.

Perbezaan Nyanyuk dan Alzheimer

Kita sering merujuk istilah nyanyuk kepada orang-orang tua yang mempunyai masalah ingatan yang serius. Namun, ada juga yang beranggapan nyanyuk dan alzheimer ialah penyakit yang sama.

Sebenarnya, alzheimer sering disalah tafsir sebagai nyanyuk. Alzheimer ialah sejenis penyakit yang paling banyak menjadi penyebab kepada masalah nyanyuk. Jadi, yang paling tepat dikatakan bahawa seseorang itu boleh menjadi nyanyuk disebabkan oleh alzheimer.

Azheimer ialah penyakit penuaan pada sel-sel otak yang berlaku secara perlahan dan berterusan. Itulah sebabnya penyakit ni menyumbang hampir 60 hingga 70 peratus kepada masalah nyanyuk.

Manakala, nyanyuk juga boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai penyakit yang lain seperti parkinson, vascular dementia, lewy body dementia dan sifilis.

Punca Nyanyuk

Untuk mencegah masalah ni berlaku pada kita ketika usia lanjut, kita perlulah mencari puncanya terlebih dulu. Kemudian, barulah langkah pencegahan boleh diambil lebih awal lagi.

Antara punca masalah nyanyuk ialah:

#1 Kadar gula yang tinggi dalam darah

Apabila paras gula dalam darah terlalu tinggi, memori manusia boleh terganggu. Jika mempunyai keluarga yang ada sejarah penyakit diabetes, kawallah pengambilan gula dalam pemakanan harian.

#2 Berdengkur

Apabila tidur berdengkur, saluran nafas akan terganggu dan menyekat aliran oksigen untuk sampai ke sel-sel otak. Perlu dingatkan bahawa, berdengkur bukan saja mengganggu kualiti tidur tetapi juga akan memberi kesan jangka panjang. Salah satu sebab masalah dengkur ialah berat badan berlebihan.

#3 Kurang rehat

Kita memerlukan rehat yang secukupnya untuk kesihatan otak dan tubuh badan. Otak yang sihat dapat merakam dan menyimpan memori yang baru. Oleh itu, cara terbaik untuk berehat ialah dengan mendapatkan tidur yang mencukupi.

#4 Pengambilan ubat-ubatan

Orang yang mempunyai banyak masalah kesihatan seperti diabetes, darah tinggi, sakit jantung, masalah buah pinggang dan sebagainya terpaksa mengambil ubat yang banyak. Kesannya akan meningkatkan risiko nyanyuk.

#5 Stres

Orang yang mengalami stres dan kemurungan berpotensi mengalami gangguan pada sel-sel otak. Jika tak mampu dikawal, ia akan merosakkan daya ingatan.

#6 Usia melebihi 65 tahun

Seseorang individu yang berumur melebihi 65 tahun, sukar untuk menyerap vitamin B12 daripada makanan. Kekurangan vitamin ni pada kadar yang serius boleh menyebabkan penyakit alzheimer dan kesannya membawa kepada masalah nyanyuk.

#7 Penurunan metabolisme

Apabila hormon tiroid yang mengawal metabolisme badan dirembes secara berlebihan atau terlalu kurang, ia akan mengganggu sel-sel otak. Kesannya nanti ialah kemasukan maklumat ke dalam otak akan menjadi perlahan.

Simptom Nyanyuk

Untuk mengenal pasti masalah nyanyuk, terdapat beberapa simptom yang boleh diperhatikan, iaitu:

  1. Kemerosotan daya fikiran seperti mudah lupa, kemerosotan berfikir, menganalisa dan pemahaman maklumat.
  2. Perubahan personaliti iaitu menjadi seperti orang asing, bersifat kanak-kanak dan ganjil.
  3. Keliru dengan orang sekeliling, masa, tempat dan persekitaran.
  4. Sukar bertutur dan tidak tahu menggunakan perkataan yang sesuai.
  5. Mood sering berubah-ubah.
  6. Mengulang-ulang perbuatan yang sama.
  7. Hilang fokus dan keliru.
  8. Lebih suka menyendiri dan mengelakkan diri untuk menyertai aktiviti berkumpulan.
  9. Tidak tahu menguruskan diri dan pekerjaan seharian seperti sebelum ni.

Cara Rawatan Masalah Nyanyuk

Bukannya senang untuk menguruskan orang-orang yang nyanyuk kerana kita perlu berhadapan dengan orang yang lebih tua. Banyak perkara yang perlu diambil tahu untuk menjaga mereka.

Berikut ialah beberapa cara yang disarankan untuk berkomunikasi dengan orang-orang tua yang mempunyai masalah nyanyuk. Antaranya ialah:

  1. Berinteraksi dengan sabar, penuh kasih sayang dan ikhlas.
  2. Gunakan ekspresi wajah, nada suara dan sentuhan fizikal yang positif untuk berkomunikasi.
  3. Dapatkan perhatian mereka ketika berinteraksi misalnya dengan memanggil nama atau panggilan hormat, menundukkan badan, menyentuh tangan dan sebagainya.
  4. Gunakan interaksi dengan ayat yang mudah, jelas dan ringkas.
  5. Sentiasa mengajak mereka untuk melakukan aktiviti bersama-sama.
  6. Sentiasa berbual-bual mengingatkan memori indah dan berjenaka.

Walaupun penyakit nyanyuk ni tiada rawatan yang khusus, kita boleh mencegahnya dari awal lagi. Risiko penyakit nyanyuk boleh dikurangkan dengan:

  1. Mengamalkan gaya hidup yang aktif seperti bersenam, beriadah dan aktiviti fizikal yang lain.
  2. Berhenti merokok.
  3. Jauhkan diri daripada minuman beralkohol.
  4. Menjaga pemakanan dengan mementingkan makanan seimbang dan berkhasiat.
  5. Mengawal dan merawat masalah kesihatan seperti sakit jantung, diabetes dan darah tinggi.
  6. Dapatkan rehat yang mencukupi dengan mementingkan tidur yang berkualiti.
  7. Elakkan stres dalam kehidupan dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

Diharapkan perkongsian penulis tentang penyakit nyanyuk dari aspek punca, simptom dan rawatan dapat membantu menambahkan maklumat pembaca. Sebenarnya, menjaga ibu bapa yang mempunyai masalah ni bukannya mudah. Namun, jika tidak kita yang menjaga, siapa lagi.

Berikan perhatian, kasih sayang, sering berinteraksi dan memantau aktiviti harian mereka. Walaupun masalah ni tak dapat dipulihkan, namun sedikit sebanyak hubungan yang harmoni akan terjalin.

Jangan sesekali membiarkan mereka menguruskan kehidupan seharian tanpa perhatian kita. Ia bukan saja berbahaya kepada diri pesakit tetapi juga orang di sekeliling. Sayangilah mereka seperti mana mereka menyayangi kita sejak kecil lagi.

Jemput juga baca artikel punca biji kolestrol dan punca cagu 

Rujukan

 

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.