Zaman sekarang ini mudah saja suami memberi label NUSYUZ pada seorang. Sebelum panggil begitu, sepatutnya suami kena tahu dulu apakah maksud nusyuz seorang isteri ini sebenarnya. Awas! Jangan mudah memanggil si isteri ini dengan perkataan nusyuz jika diri suami itu sendiri masih ada banyak salah dan silap.
“Awak isteri yang nusyuz!” Hancur rasa hati jika perkataan ini keluar dari mulut si suami. Sebelum menggunakan perkataan ini, kena tahu dulu apakah nusyuz ini sebenarnya supaya tidak mudah-mudah menuturkan kata pada isteri.
Untuk si isteri juga, wajib ambil tahu apakah nusyuz ini sebenarnya. Bagi seorang isteri, mentaati suami adalah perkara wajib dan boleh dianggap sebagai nusyuz sekiranya tidak bijak menjalankan tanggungjawab terhadap suami. Bagi memudahkan, di sini akan diterangkan serba sedikit tentang nusyuz untuk bacaan kita bersama.
Nusyuz bermaksud derhaka dab menerusi Kamus Dewan Edisi ke-4 pula, nusyuz adalah keingkaran isteri dalam mentaati perintah (yang diharuskan Allah SWT) dari suaminya.
Manakala daripada sudut istilah syarak pula, nusyuz ini berlaku kepada wanita. Nusyuz bermaksud seorang isteri yang ingkar kepada suaminya atau mengingkari ketaatannya terhadap suami dalam apa jua cara selagi mana diharuskan dalam Islam.
Nusyuz bukan sahaja boleh berlaku kepada wanita (isteri) tetapi nusyuz juga boleh berlaku kepada lelaki (suami). Tetapi kebiasaannya lelaki tidak di panggil nusyuz tetapi lelaki digelar lelaki dayus. Nusyuz merujuk kepada wanita yang tidak taat dan tidak setia pada suami manakala suami nusyuz menurut Islam merujuk kepada si suami yang telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap keluarga. Hukum perbuatan Nusyuz yang dilakukan oleh seorang isteri adalah haram dan ia merupakan salah satu daripada dosa besar.
Antara bentuk-bentuk nusyuz seorang isteri adalah :
Isteri perlu meminta keizinan suami untuk keluar daripada rumah. Tetapi, ianya di kecualikan bagi sesuatu keadaan seperti isteri keluar berjumpa qadi/hakim untuk menuntut haknya daripada suami. Atau isteri keluar mencari nafkah sekiranya suami tidak mampu menafkahkannya. Perlu meminta fatwa daripada mufti sekiranya suami itu bukan seorang faqih dalam bidang agama.
Isteri perlu meminta izin suami untuk keluar rumah walaupun hendak menziarahi ibu bapanya atau ingin melihat jenazah ibu bapa atau anak sekiranya mereka tidak tinggal serumah.
Nota : faqih bermaksud seorang yang mengetahui aturan dan tuntutan syariat Islam.
Ketahui wahai isteri, sekiranya suami berhajat untuk bersama tetapi mereka enggan melayan hajat suaminya tanpa keuzuran seperti sakit dan menyebabkan suaminya marah, seorang isteri itu boleh menjadi nusyuz. Benar! Jika seorang isteri tanpa sebarang kesakitan atau keluar haid ketika suami berhajat dengannya, sangat berdosa isteri tersebut jika menolak kehendak sang suami.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ، فَأَبَتْ أَنْ تَجِيءَ، لَعَنَتْهَا المَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ
Maksudnya: “Jika seorang memanggil isteri ke tempat tidur tetapi dia tidak datang kepadanya lalu suami itu tidur dalam keadaan marah terhadapnya maka para malaikat melaknat wanita itu sehingga Subuh.” (Riwayat al-Bukhari)
Isteri haruslah tinggal di rumah yang disediakan oleh suaminya selepas sah di ijabkabulkan. Dan isteri WAJIB tinggal di dalamnya melainkan tempat tinggal itu tidak sesuai untuk didiami dari sudut syara’.
Sebagai seorang suami yang juga seorang pemimpin dalam rumahtangga, apabila terdapat tanda-tanda nusyuz pada seorang wanita yang bergelar isteri seperti mereka bersikap kurang sopan (meninggi suara) dan bermasam muka, atau pun seorang isteri mengeluarkan kata-kata kasar kepada suaminya. Maka, terdapat beberapa cara yang boleh di ikuti bagi mengatasi nusyuz isteri.
Antaranya tindakan yang boleh suami lakukan apabila isteri itu nusyuz adalah:-
1) Suami SUNAT menasihati Isteri berdasarkan kitab Allah SWT serta mengingatkan tanggungjawab yang diwajibkan Allah SWT ke atasnya.
2) Suami juga perlu menasihati isteri tentang kemurkaan Allah SWT serta balasannya sekiranya mereka ingkar akan suruhan suami
3) Dan sekiranya masih tidak berubah, suami hendaklah mengasingkan dan meninggalkan isteri bersendirian di tempat tidur. Ianya berkesan bagi mendidik isteri agar lebih menghormati suami.
4) Sekiranya tidak berhasil, suami boleh memukul isteri dengan pukulan yang ringan dan tidak mencederakan dengan niat untuk memberi pengajaran kepada mereka ke arah yang lebih baik.
5) Jika perselisihan masih tidak mampu di selesaikan maka hendaklah dibawa kepada hakim. Hakim hendaklah melantik orang tengah yang beragama Islam dan adil. Dan orang tengah itu hendaklah berusaha sedaya upaya mendamaikan suami isteri tersebut.
6) Langkah terakhir tidak lain dan tidak bukan adalah talak. Nusyuz ertinya isteri enggan mentaati perintah atau permintaan suami yang sah maka seseorang isteri itu boleh diceraikan oleh suaminya dengan talaq rajie jika benar-benar dirasakan yang rumahtangga itu sudah tidak dapat diselamatkan lagi.
Jika sebelum ini anda tertanya-tanya, bilakah seseorang isteri nusyuz kepada suaminya? Dan adakah suami juga boleh nusyuz terhadap isterinya? Maka diharapkan anda telah beroleh jawapan melalui artikel ini. Ingat juga yang nusyuz ini tidak hanya berlaku apabila isteri enggan taat pada perintah suami malah ia juga boleh berlaku pada suami apabila tidak menjalankan tangggungjawabnya pada si isteri.
Baca juga 10 panggilan manja suami isteri dalam bahasa Arab, ibu ayah kena peluk anak setiap hari kerana kesannya sangat hebat dan hukum baca Quran tanpa wudhu boleh ke tak boleh.