Bayi yang berumur dibawah satu tahun adalah sangat mudah untuk jatuh sakit. Sebagai ibu bapa pastinya anda akan sentiasa memerhatikan segalanya pada diri bayi anda termasuk perihal nasjisnya. Anda akan mengira berapa kali bayi anda membuang air besar dalam satu hari, malah warna najisnya juga akan anda perhatikan selain tekstur dan bau. Ia adalah sesuatu yang normal bagi ibu bapa.

Anda pastinya akan berasa risau apabila tiba-tiba sahaja najis bayi anda bertukar menjadi warna hijau. Macam-macam perkara akan bermain di fikiran anda. Adakah bayi anda sakit? Adakah bayi anda tersalah makan? Ada sesuatu yang tak kena dengan perut atau sistem pencernaan bayi anda? Istimewa untuk ibu bapa pritahin, hari ini kami akan kongsikan info tentang najis bayi warna hijau. Apakah puncanya dan apa yang anda perlu buat segera.

Apakah warna najis bayi yang normal?

Yang sebenarnya warna najis bayi akan berubah dari masa ke semasa bergantung kepada umur dan pemakanannya. Sebagai contoh, semasa baru dilahirkan, najis pertama yang keluar dari badan bayi anda akan berwarna hitam. Najis hutam ini dipanggil sebagai mekonium. Biasanya pihak hospital akan memastikan bayi anda membuang air besar yang pertama sebelum membenarkan anda dan bayi pulang ke rumah.

Untuk beberapa hari yang pertama bayi anda akan mengeluarkan najis yang berwarna hitam dan tidak berbau. Kemudian najis bayi anda akan mula menjadi kehijauan dan mula mempunyai bau kerana bayi anda sudah minum susu. Kebiasaannya najis bayi yang minum susu ibu mempunyai bau yang kurang menusuk berbanding bayi yang minum susu formula. Lagi banyak bayi anda menyusu lagi cepat najisnya berubah warna daripada hitam menjadi hijau.

Lama-kelamaan najis yang hijau tadi akan bertukar menjadi coklat dan kekuningan. Anda juga akan perasan bahawa najis bayi anda juga akan berbau kuat. Untuk bayi pada peringkat usia 2 bulan dan ke atas, najis yang normal akan berwarna kuning atau coklat bergantung kepada pemakanannya. Jika tiba-tiba najis bayi anda bertukar menjadi hijau, anda perlu mengetahui apakah puncanya agar anda boleh mengambil langkah yang perlu.

Apakah punca najis bayi tiba-tiba menjadi warna hijau dan apa yang ibu bapa perlu lakukan dengan segera?

Dari segi perubatan moden, terdapat berapa perkara yang boleh menjadi punca kenapa najis bayi menjadi hijau. Malah kebanyakan puncanya ada di hadapan mata kita namun kita tidak perasan. Di antara punca yang selalu berlaku ialah:

Bayi tidak mendapat susu yang secukupnya

Bayi yang berumur dibawah 6 bulan cuma boleh diberikan susu ibu atau susu formula sahaja. Anda tidak sepatutnya memberikan air kosong atau makanan lembut kerana ususnya belum matang untuk memproses makanan selain susu. Oleh itu, jika bayi anda tidak menyusu dengan secukupnya, ia akan menyebabkan bayi anda tidak mendapat nutrien yang secukupnya untuk membesar.

Akibatnya usus bayi anda akan menyerap hampir 100% daripada susu yang masuk ke dalam perut bayi anda lalu tiada apa yang tinggal untuk keluar sebagai najis. Itulah sebabnya najis bayi anda menjadi warna hijau seperti hari-hari pertama bayi anda dilahirkan. Oleh itu, jika bayi anda mempunyai najis berwarna hijau kerana tidak mendapat susu yang secukupnya, selepas ini pastikan bayi anda menyusu sehingga kenyang dan tidak lagi mengalami keadaan kurang menyusu.

najis bayi warna hijau
Sumber: Cafemom

Masalah pada susu ibu, tidak seimbang di antara susu awal ( foremilk ) dan susu akhir ( hindmilk )

Tahukah anda bahawa Allah menciptakan susu ibu dengan sangat unik. Apabila bayi anda menyusu, susu awal yang keluar ialah susu foremilk iaitu susu untuk menghilangkan dahaga bayi anda. Kemudian ia akan menjadi susu hindmilk yang fungsinya untuk membekalkan semua nutrien dan khasiat yang diperlukan oleh bayi anda dan mengenyangkan bayi anda.

Susu awal adalah cair dan kaya dengan laktosa sementara susu akhir lebih pekat dan kaya dengan lemak. Sekiranya susu anda adalah tidak seimbang dan mempunyai susu awal yang banyak berbanding yang sepatutnya, bayi anda akan mengalami keadaan berikut:

  • Kembung
  • Tanda-tanda kolik seperti menangis dan meragam yang akan menjadi semakin teruk pada waktu malam
  • Sering kentut
  • Najis bayi warna hijau
  • Najis lebih cair daripada biasa

Jika anda mengepam susu dan perasan bahawa susu anda agak cair daripada sepatutnya, anda boleh pergi ke klinik dan minta nasihat dari pakar laktasi yang ada di sana. Anda akan diberikan penerangan yang baik dan akan tahu langkah yang perlu dilakukan. Selain itu anda juga boleh memastikan bayi anda minum susu dari kedua-dua belah payudara setiap kali menyusu agar bayi anda mendapat susu awal dan susu akhir yang secukupnya.

Pengambilan jamu

Pengambilan jamu oleh ibu yang menyusukan bayinya juga boleh menjadi punca najis bayi bertukar menjadi hijau. Ini kerana jamu adalah bersifat panas. Di antara kesan pengambilan jamu kepada bayi ialah:

  • Sakit perut. Bayi anda akan meragam
  • Kerap membuang air besar
  • Najis cair
  • Najis berbau busuk daripada biasa
  • Najis berwarna hijau

Jika najis bayi anda menjadi hijau selepas anda mula makan jamu, sila berhenti daripada mengambil jamu itu dengan segera. Tunggu bayi anda lebih besar atau berhenti menyusukan bayi jika anda masih ingin makan jamu yang sama.Itulah dia info tentang bayi najis bayi warna hijau yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda menyukai artikel ini, anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang cara menegur ibu bapa dan cara mengajar anak membaca dengan cepat

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.