Kanser serviks adalah antara kanser popular yang dikaitkan dengan wanita selain kanser payudara. Tahukah anda sebenarnya ada beberapa salah faham antara perkara sebenar dan mitos tentang kanser serviks ini. Jom kita lihat

#1 MITOS:

Saya tak perlu menjalani ujian saringan kerana saya tidak mengalami sebarang simptom.

FAKTA:

Ujian saringan dilakukan untuk mengetahui sama ada terdapat perkara tidak normal yang sedang berlaku di dalam badan orang yang tidak mengalami sebarang simptom. Apabila terdapat simptom, maka ujian diagnostik dilakukan untuk mengetahui punca gejala tersebut. Sel serviks yang tidak normal tidak akan menunjukkan simptom pada peringkat awal, akan tetapi sel tersebut boleh dikesan semasa ujian saringan.

#2 MITOS:

Kanser serviks hanya menyerang wanita berumur.

Imej via Bidadari

FAKTA:

Umum mengetahui bahawa kanser serviks boleh menyerang mana-mana wanita yang berumur di antara 15 sehingga 44 tahun.

#3 MITOS:

Anda perlu menjalani ujian Pap Smear setiap tahun.

FAKTA:

Sekiranya keputusan ujian Pap dan ujian HPV anda kedua-duanya normal, maka anda tidak perlu menjalani ujian Pap setiap tahun. Terdapat beberapa garis panduan kanser serviks untuk wanita yang pernah menjalani ujian Pap dan ujian HPV dengan keputusan normal:

  • Berumur 21-29 tahun: Ujian pap setiap 3 tahun.
  • Berumur 30-64 tahun: Ujian pap dan ujian HPV setiap 5 tahun.
  • Berumur 65 tahun ke atas: Rujuk doktor anda samada anda perlu menjalani ujian atau tidak.

#4 MITOS:

Punca kanser serviks tidak diketahui.

FAKTA:

Majoriti kes kanser serviks adalah disebabkan oleh virus HPV yang merupakan sejenis penyakit jangkitan kelamin.

#5 MITOS:

HPV bukanlah penyakit biasa, dan hanya menjangkiti individu yang mempunyai banyak pasangan, jadi saya tidak perlu bimbang tentang vaksin HPV atau menjalani ujian Pap.

FAKTA:

Jangkitan virus HPV sebenarnya sangat meluas, dan ia menjangkiti kira-kira 80% lelaki dan wanita.

#6 MITOS:

Sekiranya anda menghidap HPV, anda juga akan menghidap kanser serviks.

Imej via Bidadari

FAKTA:

Terdapat lebih daripada 100 jenis virus HPV, ada jenis yang membawa risiko tinggi untuk mendapat kanser serviks, dan ada yang tidak. Secara amnya, sistem ketahanan badan kita mampu membasmi virus itu sendiri dalam masa 2 tahun. Hanya dalam beberapa kes tertentu virus ini tidak dapat dibersihkan oleh badan kita lalu menyebabkan perubahan sel yang tidak normal pada serviks yang tidak dapat anda lihat atau rasakan.

#7 MITOS:

Kanser serviks adalah penyakit keturunan.

FAKTA:

Kanser serviks bukanlah penyakit yang berjangkit secara keturunan, sama juga seperti kanser payudara dan kanser ovari. Ia sebenarnya disebabkan oleh jangkitan virus HPV. Untuk menyelamatkan anak anda dari jangkitan, pastikan mereka mendapat vaksin HPV. Sekiranya anda sudah terlalu tua untuk mendapatkan vaksin HPV, pastikan anda menjalani ujian HPV dan ujian Pap secara berkala.

#8 MITOS:

Kanser serviks boleh membawa maut.

FAKTA:

Kanser serviks dapat diubati sepenuhnya sekiranya dikesan dan dirawat pada peringkat awal dengan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

#9 MITOS:

Kanser serviks adalah sejenis penyakit berjangkit.

FAKTA:

Jangkitan virus HPV sangat mudah merebak melalui hubungan seks. Namun begitu, sel-sel barah itu sendiri tidak dapat disebarkan kepada orang lain.

Kesimpulan

Semoga salah faham mitos tentang kanser serviks terjawab sudah. Jemput juga baca artikel lain seperti makanan anti kanser , makanan punca kanser dan punca payudara bengkak

Penulis: Dr Idayu Ruslan

Dr Idayu Ruslan

Ikuti juga perkongsian daripada Dr. Idayu Ruslan, seorang doktor pakar sakit puan dari Pantai Hospital Ayer Keroh tentang tips-tips penjagaan kesihatan wanita.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.