Kehamilan adalah antara tempoh yang mencabar bagi setiap wanita. Selain dari terpaksa mempersiapkan diri untuk menghadapi tempoh bersalin, ibu mengandung juga terpaksa berdepan dengan macam-macam ketidakselesaan. Letih, perubahan hormon, perubahan sifat fizikal, mood yang berubah dan macam-macam lagi. Maka tidak hairanlah sekiranya pahala wanita hamil sama seperti pahala orang yang berjihad.
Sebaik sahaja sudah masuk dalam trimester kedua kehamilan, anda sepatutnya menambahkan usaha dalam mengambil diet yang sihat dan seimbang. Semakin kandungan membesar, anda akan mendapati bahawa anda sudah tidak mempunyai masa untuk menyediakan makanan di rumah yang menyihatkan.
Akibat terlalu letih dan alahan, anda akan kerap memilih untuk makan di luar. Ketahuilah, makanan di luar tidak dapat diketahui nutriennya dan penjagaan tahap kebersihannya masih diragui. Oleh itu, cuba usahakan untuk memilih makan yang sihat dan mudah di rumah.
Kebanyakan wanita hamil terlalu risau akan pertambahan berat badan mereka. Mereka khuatir, mereka tidak akan dapat mencapai berat badan asal seperti sebelum hamil. Ketahuilah, diet untuk mengurangkan berat badan atau untuk menghalang dari pertambahan berat badan semasa hamil bukan sahaja memudaratkan anda, malah kandungan anda.
Menjaga pemakanan yang sihat adalah teramat penting! Jangan terlalu memikirkan penampilan anda atau terlalu risaukan pertambahan berat badan anda. Biarlah semuanya berlaku secara normal. Belilah pakaian yang selesa dan longgar, serta fokus dalam memberikan yang terbaik untuk bayi dalam kandungan anda.
Yakinlah, berat badan anda akan kembali normal selepas bayi anda dilahirkan, asalkan anda mengekalkan gaya pemakanan yang sihat. Ingatlah, ramai yang mahu melalui pengalaman mengandung seperti anda, tetapi masih belum dikurniakan rezeki oleh Allah.
Kajian mendapati bahawa, kebanyakan wanita mengandung akan mengidam sekurang-kurangnya satu jenis makanan dan hampir semua antara mereka akan mengalami “food aversion” iaitu tidak suka akan sesetengah makanan, sedangkan sebelum hamil beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan makanan tersebut.
Hormon mungkin memberikan peranan yang besar akan situasi ini, tetapi boleh jadi, mengidam makanan atau benci pada makanan mungkin merupakan antara cara bagi badan wanita memberi signal bahawa ia memerlukan nutrien tertentu atau untuk menghindar makanan tertentu yang mungkin memberi mudarat.
Walaupun teori ini masih tidak disahkan lagi kebenarannya, tetapi diharapkan wanita hamil mengidam makanan yang berkhasiat berbanding makanan ringan. Sekiranya anda mengalami “food aversion” pada makanan seperti kopi, ais krim, keropok dan minuman bergas, ia mungkin baik untuk anda.
Tetapi sekiranya “food aversion” anda adalah pada sayuran berdaun hijau atau susu, ia mungkin memberi masalah kerana makanan tersebut mengandungi nutrien yang penting untuk tumbesaran bayi yang sihat.
Kebanyakan wanita di Malaysia adalah wanita yang bekerjaya. Sekalipun anda adalah suri rumah sepenuh masa, melayan kerenah anak-anak dan menguruskan rumah tangga sudah cukup meletihkan – lebih-lebih lagi sekiranya anda mengandung.
Sekiranya anda tidak bermaya dan tidak mempunyai tenaga untuk memasak, cuba tips ini. Masak dalam portion yang banyak seminggu sekali, dan asingkan setiap makanan mengikut bilangan hari. Kemudian, sejuk bekukan makanan tersebut. Jadi apabila mahu makan, anda hanya perlu panaskan makanan yang ada.
Selain dari dapat mengelak dari makan diluar yang tidak kita ketahui khasiat dan kebersihannya, anda juga dapat mengekalkan pengambilan makanan yang sihat untuk kandungan anda.
Anda kini sudah pun melebihi fasa separuh perjalanan tempoh kehamilah. Lebih baik sekiranya anda menilai semula diet anda. Adakah anda mengambil secara kasar 60 gram atau dua hidangan protein setiap hari?
Adakah anda mengambil mengambil 9 atau lebih hidangan karbohidrat serta 7 atau lebih hidangan buahan dan sayuran terutamanya sayuran berdaun hijau? Adakah anda mengambil vitamin prenatal setiap hari? Adakah anda mengurangkan makanan berlemak, bergula dan bergaram tinggi?
Walau apa pun, tempoh kehamilan anda hanyalah merupakan satu permulaan dalam mementingkan pemilihan makanan yang berkhasiat tinggi. Tidak lama lagi, anda pula akan bertanggungjawab dalam memilih makanan terbaik untuk anak anda. Pemilihan makanan yang berkhasiat dan menyihatkan semuanya bermula dengan anda.
Tahukah anda pada 2004, pihak berwajib USA mengeluarkan garis panduan berkenaan jumlah pengambilan ikan yang disyorkan. Mereka memberi amaran pada wanita yang hamil atau sedang merancang untuk hamil serta wanita yang sedang menyusukan anak untuk mengelakkan dari memakan ikan yang besar (seperti ikan todak, jerung, makerel) yang diketahui mempunyai kandungan merkuri yang tinggi.
Mereka juga mensyorkan untuk menghadkan pengambilan makanan laut kepada 12 ouns seminggu atau lebih kurang dua portion hidangan seminggu. Cadangan pemakanan ini juga merangkumi makanan laut yang dikategorikan sebagai rendah merkuri seperti udang, salmon, ikan keli dan tuna dalam tin.
Selain dari muntah-muntah dan loya yang sering dialami kaum ibu, kadang kala semasa tempoh kehamilan, anda juga boleh menghidapi gastroenteritis atau flu perut. Secara umumnya, ia berpunca dari jangkitan virus dan bukan sebenarnya sejenis flu. Jangan risau! Kebiasaannya, kaum ibu akan mengalami penyakit ini dalam jangka masa yang pendek sahaja iaitu lebih kurang 24 jam hingga 3 hari.
Paling penting, sekiranya anda mengalami gastroenteritis, anda perlu banyakkan minum air suam. Sup dan teh panas juga baik untuk mengurangkannya. Berjumpalah doktor dan minta nasihat darinya.
Beliau akan memeriksa sama ada anda tidak mengalami dehidrasi untuk memberi vitamin yang bersesuaian. Jangan risau sekiranya anda tidak begitu berselera untuk makanan selama dua tiga hari. Ia tidak akan memudaratkan kandungan anda.
Semoga bermanfaat. Wassalam :)
Kredit gambar: Loressette1