Dewasa ini masalah sosial dan keruntuhan akhlak di kalangan pelajar sekolah dan remaja berada pada tahap yang membimbangkan. Saban hari ada sahaja berita negatif yang dipaparkan di dalam berita seperti tangkap khalwat, rogol, buang anak, basikal lajak, dan sebagainya. Hari ini kami akan mengupas isu ini dengan memberikan fokus kepada punca dan jalan penyelesaian untuk masalah sosial yang semakin teruk ini.
Tidak dinafikan pada zaman serba moden dan canggih ini kebanyakan ibu bapa adalah berkerjaya. Malah kedua ibu bapa biasanya terlalu sibuk dengan kerjaya dan mengejar cita-cita sehingga terlupa bahawa di rumah ada anak yang dahagakan kasih sayang dan mendambakan perhatian serta belaian. Jangan salah faham, ibu bapa melakukan ini semua demi masa depan anak-anak juga. Namun kesannya anak-anak rasa terabai dan kekurangan kasih sayang lalu memilih untuk meluangkan lebih banyak masa bersama kawan sebaya.
Apabila terlalu banyak masa diluangkan bersama rakan sebaya, secara automatik anak kita akan mudah terpengaruh dengan unsur negatif. Oleh itu jalan penyelesaian bagi masalah sosial di kalangan pelajar sekolah ialah dengan cara ibu bapa meluangkan lebih banyak masa untuk bersama keluarga. Pandai-pandailah kita membahagikan masa di antara keluarga dan kerjaya.
Punca kedua masalah sosial semakin menular di kalangan pelajar sekolah ialah kebebasan tanpa batasan yang diberikan oleh ibu bapa. Apabila ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya, secara tak langsung anak-anak perlu menjaga diri sendiri dan diberikan kebebasan untuk melakukan apa sahaja tanpa pemerhatian orang dewasa. Anak remaja masih hijau, tidak mampu untuk memilih yang mana baik yang mana buruk. Malah naluri ingin tahu mereka membuatkan mereka mudah terjebak dengan perkara baru yang belum tentu baik untuk dirinya.
Sebagai penyelesaian ibu bapa wajib meletakkan batasa kepada kebebasa yang diberikan kepada anak-anak. Sebagai contoh, jangan benarkan anak keluar rumah sehingga lewat malam. Pantau dengan siapa anak kita berkawan. Hadkan aktiviti di luar rumah, dan sebagainya.
Hari ini kebanyakan anak remaja mempunyai telefon pintar atau gadjet dengan data internet tanpa sempadan. Dengan apa yang disediakan di depan mata anak-anak mempunyai peluang untuk terdedah kepada masalah sosial. Sebagai contoh, anak-anak akan mempunyai access untuk melayari laman web lucah untuk melihat gambar atau menontot video yang tidak sepatutnya. Malah anda kita mempunyai access untuk menyertai forum yang membincangkan perkara yang tidak sepatutnya.
Telefon pintar dengan data internet juga membolehkan anak kita berhubung dengan orang yang tidak dikenali melalui laman soial facebook, instagram, wechat, malah aplikasi seperti whatsapp, wechat dan sebagainya juga merupakan sarang untuk anak-anak kita terdedah kepada masalah sosial yang boleh menghancurkan hidup.
Oleh itu, ibu bapa perlu memantau telefon pintar yang diberikan kepada anak-nak. Kawal dan hadkan penggunaannya. Anak adalah tanggung jawab dan amanah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Jangan dipandang ringan.
Satu lagi punca kebejatan masalah sosial di kalangan remaja dewasa ini adalah kerana kurangnya didikan agama di kalangan anak-anak. Dengan kesibukan ibu bapa dalam mengejar kerjaya kemungkinan kita tiada masa untuk memberikan didikan agama kepada anak-anak. Kebanyakan ibu bapa bergantung harap kepada sekolah untuk mendidik anak-anak tentang ilmu agama sedangkan ia sebenarnya adalah tanggung jawab kita sendiri.
Tanpa didikan agama anak kita takkan tahu apa yang halal apa yang haram. Mereka tidak akan tahu tentang adanya batasan di dalam perhubungan di antara seorang lelaki dan perempuan. Tanpa ajaran agama anak kita takkan tahu tentang hukum penyalah gunaan dadah dan sebagainya. Oleh itu adalah sangat penting untuk kita memberikan didikan agama sebagai enteng diri anak daripada melakukan maksiat. Jangan serahkan 100% tanggung jawab memberikan didikan agama kepada guru di sekolah sahaja.
Ada pepatah yang berbunyi lebih kurag begini, jangan sibuk menjaga tepi kain orang lain hingga tak sedar kain sendiri koyak-rabak. Tak dinafikan bahawa ada benarnya, di mana kita jangan terlalu sibuk dengan aib orang lain sehingga tak sedar yang sebenarnya lebih banyak keburukan dalam diri sendiri. Mungkin kerana pepatah ini ramai yang memilih untuk tidak menendahkan perihal anak-anak remaja di sekeliling atas alasan itu bukan anak kita.
Itulah sebabnya kenapa masyarakat tidak menegur perbuatan anak yang melampaui batas seperti melakukan perkara sumbang di khalayak ramai. Untuk mengatasi masalah ini, tiba masanya untuk kita mengubah mentaliti. Ambil tahu dan ambil kisah tentang ana-anak di sekeliling kita. Sama-sama kita menjaga dan menegur dengan niat untuk kebaikan bersama. Apabila kita sama-sama menjaga anak sesama sendiri, insya Allah masalah sosial di kalangan pelajar sekolah dapat diatasi dengan segera.
Itulah dia perkongsian kami tentang punca dan jalan penyelesaian masalah sosial di kalangan pelajar sekolah di negara kita. Semoga bermanfaat buat anda. Semoga anak-anak kita sentiasa berada dibawah lindungannya dan terpelihara dari perkara yang buruk.
Jika anda sukakan perkongsian kami pada hari ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang cara didik anak perempuan tips bercakap dengan anak remaja, dan panduan apabila anak remaja bercinta.