Persediaan untuk menyambut kelahiran baru pasti ibu bapa akan membeli barangan untuk si kecil seperti baju, lampin, botol susu, puting, bantal dan lain-lain lagi. Satu barang yang perlu ada dan wajib ada adalah botol susu. Jika tiada botol susu, bagaimana mahu memberi susu kepada bayi jika ibu tidak dapat memberikan susu badan.
Ada yang mengatakan bahawa jika anak suka menggonggong botol susu atau puting, ia boleh mengakibatkan masalah kepada anak tersebut. Apakah masalah-masalah itu?
Mari kami kongsikan info sebenar mengenai 2 Masalah jika anak suka menggonggong botol susu atau puting. Info ini dikongsikan oleh Puan Aishah Kassim. Puan Aishah pakar dalam membantu kanak-kanak yang lambat bercakap dan dapat membantu kanak-kanak untuk mengatasi masalah lambat bercakap.
Kajian menunjukkan kanak-kanak yang setiap masa dengan botol susu / puting mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat masalah jangkitan pada telinga. Seperti yang kita tahu, mendengar adalah sangat penting untuk membolehkan kanak-kanak bercakap dengan baik. Sekiranya terdapat gangguan pada pendengaran kanak-kanak, sudah semestinya, perkembangan bahasa juga akan terganggu
Proses bercakap perlu dipelajari. Ia melibatkan banyak aspek. Tapi secara asasnya untuk bercakap kanak-kanak perlu memahami bahasa terlebih dahulu yang mana proses ini berlaku di otak hasil dari apa yang mereka dengar dan lihat. Seterusnya untuk menyebut pula mereka perlukan struktur dan fungsi yang baik bagi organ pertuturan. Sekiranya salah satu terganggu semasa proses berlaku, akan wujudlah gangguan pada pembelajaran untuk kanak-kanak bercakap
Jika kita lihat pada kedua masalah tersebut, memang ada faktor penyumbang yang membawa kepada masalah kelewatan bahasa & pertuturan. Masalah jangkitan pada telinga boleh menyebabkan kanak-kanak mendapat masalah pendengaran yang mana ia akan memberi kesan kepada pembelajaran bahasa mereka. Jika mereka tidak mendengar dengan baik, bagaimana mereka boleh memahami perkataan dan menyebut dengan baik kerana asas untuk belajar bercakap adalah faham dan tiru sebutan orang dewasa terlebih dahulu.
Seterusnya adalah masalah pada struktur mulut, rahang dan gigi juga boleh memberi kesan pada sebutan kanak-kanak yang mana ianya boleh membawa kepada masalah pelat. Untuk bercakap dan menyebut bunyi, setiap organ pertuturan perlu diletakkan pada kedudukan yang betul. Kedudukan yang salah akan menyebabkan bunyi yang salah juga dihasilkan. Untuk menghasilkan bunyi yang betul, kanak-kanak perlu berlatih menggunakannya secara berterusan semasa usia 6 bulan lagi.
Walaupun ada kajian-kajian yang dilakukan, tetapi tiada keputusan yang mengatakan dan mengaitkan secara terus bahawa tabiat menggonggong botol susu dan putting secara berterusan boleh menyebabkan kanak-kanak lambat bercakap. Terapis Pertuturan menyarankan supaya kanak-kanak berhenti atau mengurangkan penggunaan botol dan puting pada usia 18 bulan ke usia 2 tahun kerana pada usia ini pembelajaran bahasa dan perkembangan struktur mulut berkembang dengan sangat pesat. Pada usia 18 bulan kanak-kanak sudah boleh diajar menggunakan cawan ataupun straw untuk minum.
*Tidak salah jika anak suka menggonggong botol susu atau puting tetapi lebih baik jika dapat dikurangkan. Jika susu sudah habis, ajar mereka untuk letak tepi botol tersebut dan jangan galakkan mereka untuk terus menggonggong botol susu kosong. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.
Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Baca artikel asal di sini.