Nyanyian sangat sinonim dalam kehidupan seharian kita semua termasuk kanak-kanak dan juga bayi.

Masing-masing pasti mempunyai minat yang tersendiri tidak kira sama ada ianya adalah alunan zikir, lagu nasyid, lagu kanak-kanak, lagu rakyat dan sebagainya.

Tahukah anda, dengan menjadikan nyanyian sebagai rutin harian bersama si kecil, ia sebenarnya memberi pelbagai manfaat buat mereka?

Ikuti perkongsian Puan Masturah A. Latib yang merupakan seorang guru atau lebih dikenali sebagai Teacher Mas, melalui laman Facebook peribadinya tentang 7 manfaat menyanyi untuk anak kecil ini.

1. MEMBERI KETENANGAN

Apabila bayi berada dalam keresahan dan tidak tenteram, nyanyian ibu bapa dapat menjadi salah satu sumber ketenangan bagi mereka.

Psychology Today melaporkan bahawa sejak usia 25 minggu dalam kandungan, bayi mempunyai kelebihan untuk mengingati getar suara dan irama dari persekitarannya, lebih-lebih lagi jika nyanyian tersebut didengari daripada individu terdekat dan sering diulang-ulang.

Mindanya yang sedang pesat berkembang amat mudah untuk mengenali lagu tersebut dan seterusnya memberi bayi rasa ‘familiar’ dengan lagu tersebut. Secara tidak langsung, ianya dapat memberi ketenangan dan keselesaan kepada bayi dan anak kecil.

Foto Kredit : jan-magazine.nl

2. MENGERATKAN HUBUNGAN

Menyanyi merupakan salah satu medium untuk mengukuhkan hubungan (bonding) antara bayi dan individu di sekelilingnya.

Menariknya, kajian yang dilaporkan oleh The Times mendapati bahawa dengan menyanyi kepada bayi, wanita dapat mengurangkan risiko ‘postpartum depression’ atau tekanan emosi yang dialami.

Ibu dan ayah juga boleh memberi galakan buat si abang atau kakak untuk berkomunikasi dengan bayi yang baru lahir dengan cara menyanyi. Ini kerana, lebih kerap kita menyanyi untuknya, lebih mudah untuk bayi mengingati suara dan mengenali kita.

Sekaligus, ianya dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga.

Foto Kredit : whattoexpect.com

3. MELATIH KEMAHIRAN MENDENGAR

Melalui nyanyian, ibu dan ayah dapat melatih kemahiran si kecil untuk mendengar dengan baik. Nyanyian merupakan salah satu kaedah terbaik bagi mengasah kebolehan bayi dan anak kecil untuk mendengar bunyi serta perkataan yang berbeza, dalam lirik lagu yang didengarinya.

Melalui perkataan yang didengari melalui nyanyian juga, bayi dan anak kecil dapat belajar memahami emosi yang digambarkan melalui mimik muka kita semasa menyanyi.

Dengan terbinanya kemahiran mendengar yang baik, lama-kelamaan bayi dapat memberi tindak balas yang baik apabila kita berbicara dengannya. Kelak, anak kecil ini akan dapat menggunakan perkataan yang dipelajari melalui nyanyian tersebut dalam perbualan seharian.

Foto Kredit : theodysseyonline.com

4. MEMBIASAKAN ANAK DENGAN RUTIN

Seperti yang dijelaskan dalam sebuah artikel oleh National Association for the Education of Young Children, apabila kita menerapkan nyanyian tertentu dalam setiap aktiviti yang dilakukan – seperti bangun pagi, mandi atau tidur, semakin lama minda bayi akan semakin terlatih untuk melakukan sesuatu perkara dengan tertib dan mengikut rutin.

Sebagai contoh, apabila kita menyanyikan lagu Didi & Friends kepada anak semasa bermain dan alunan zikir semasa mendodoikan mereka tidur, mereka akan terbiasa dengan nyanyian ini dan dapat mengenal pasti jenis nyanyian tertentu bagi melambangkan aktiviti tertentu.

Cara ini dapat memudahkan ibu dan ayah untuk menarik perhatian si kecil untuk mengajak mereka melakukan aktiviti berkenaan. Kelak, bayi dan anak kecil akan terlatih untuk mengikuti aktiviti harian tersebut secara semulajadi.

Foto Kredit : vladtime.ru

5. MEMBERI PENDEDAHAN BAHASA

Dengan irama yang menarik, bahasa akan menjadi lebih indah melalui lagu. Selain berbual dengan si kecil, menyanyi juga memberi kesan positif kepada otak mereka untuk menerima serta mempelajari bahasa asing dengan mudah dan lancar, pada usia 3 tahun pertama mereka.

Menurut kajian yang dilaporkan oleh Frontiers Academy, apabila anak mencecah usia 8 hingga 12 tahun, kebolehan semulajadi mereka ini akan semakin berkurang.

Di Malaysia, kita cukup bertuah kerana terdapat banyak bahasa yang boleh didedahkan kepada anak-anak seperti bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, bahasa Cina, bahasa Tamil, dan bahasa Arab.

Oleh itu, jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk menyanyi bersama bayi dan anak kecil, dalam usaha memberi pendedahan pelbagai bahasa buat mereka sejak awal usia.

Foto Kredit : reasonwhy.es

6. MENGGALAKKAN PERTUTURAN

Dalam setiap bait-bait lirik yang dinyanyikan, sama ada melalui lagu moden mahu pun lagu rakyat, bayi dan anak kecil pasti dapat menangkap dan mengingati perkataan yang kerap disebut melalui nyanyian itu.

Apabila kita menyanyi sambil memandang tepat ke mata si kecil, mereka akan berasa lebih yakin untuk turut sama menyebut perkataan-perkataan yang didengari, sekaligus menggalakkan mereka untuk bertutur.

Melalui nyanyian, ianya dapat memperluas perbendaharaan kata si kecil dan seterusnya akan digunakan untuk bertutur serta membina ayat apabila tiba masanya kelak.

Foto Kredit : theconversation.com

7. BELAJAR SAMBIL MENYANYI

Bagi anak yang aktif, mungkin agak sukar untuk menarik perhatian mereka supaya belajar serta menumpukan perhatian melalui aktiviti membaca dan duduk setempat. Maka, ibu dan ayah boleh menggunakan pendekatan nyanyian beserta gaya agar mereka dapat belajar pelbagai perkara sambil bergerak aktif dalam nyanyian.

Sebagai contoh, ibu dan ayah boleh menyanyikan lagu mudah seperti lagu Anggota Badan beserta dengan pergerakan mengikut lirik lagu tersebut.

Memandangkan anak kecil berkebolehan dan gemar meniru gaya melalui apa yang dilihat di persekitaran mereka, secara tidak langsung, anak kecil dapat mempelajari perkataan-perkataan baru dengan cara yang lebih menarik, iaitu meniru gaya tersebut sambil menyanyi. Anak kecil juga turut belajar cara mengawal anggota badan mereka melalui aktiviti menyanyi sambil menari ini.

Terdapat banyak pilihan lagu yang ‘catchy’ di internet yang boleh dinyanyikan dan dimainkan. Namun, ibu dan ayah wajib memantau dan tidak ‘lepas tangan’ dengan membiarkan anak menyanyi menghadap gajet semata-mata. Bagi memastikan proses pembelajaran berlaku dengan berkesan, ibu dan ayah perlu menyanyi serta sama-sama aktif menari dengan anak.

Foto Kredit : redbookmag.com

JOM NYANYI SAMA-SAMA!

Sangat banyak manfaat yang diperolehi melalui aktiviti menyanyi untuk bayi dan bersama anak kecil ini, bukan?

Memandangkan terdapat banyak perkara dapat disampaikan dengan berkesan melalui kaedah nyanyian, tidak dapat dinafikan lagi bahawa aktiviti menyanyi merupakan medium pembelajaran yang baik buat kanak-kanak.

Ianya bukan sahaja sesuai untuk dilaksanakan di sekolah, malah sangat berguna untuk mempersiap anak kecil sebelum mereka menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Ini kerana,

Oleh itu, jadikan aktiviti menyanyi untuk bayi dan menyanyi bersama anak kecil sebagai rutin seharian yang sangat menyeronokkan buat mereka.

Jom ibu ayah, kita nyanyi sama-sama dan cipta memori indah bersama anak-anak melalui nyanyian!

 

(Kredit kepada Puan Nik Eliani Nik Nawi iaitu penulis buku bersama Bacalah Anakku dan Read Easy untuk perkongsian beliau kepada Puan Masturah A. Latib tentang manfaat menyanyi bersama anak ini).

 

*Sumber asal perkongsian ini adalah daripada Puan Masturah A. Latib melalui laman Facebook peribadinya dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.

Penulis: Eyza Faizah

Graduan dalam bidang psikologi di salah sebuah universiti tempatan. Berpengalaman dalam bidang pengurusan dan professional serta pengacaraan majlis. Kini bergelar 'work at home mom' (WAHM) - berkhidmat untuk keluarga dan menulis artikel online. Beliau boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.