Semasa zaman saya kecil-kecil, di rumah nenek ada pokok jambu batu yang agak rendang. Dan perkara yang paling kami cucu-cucu suka lakukan semasa kecil, ialah memanjat pohon jambu batu tersebut.

Memori Dari Pengalaman Sensori

Imej via danfador

Tahukah anda? Apabila kanak-kanak dibenarkan untuk eksplorasi persekitarannya, kanak-kanak akan menggunakan hampir kesemua TUJUH deria yang ada pada tubuhnya?

Dan apabila beberapa sensori berintegrasi bersama, memori yang lebih kukuh akan terhasil?

Apa yang boleh saya ingat pada pohon jambu batu di rumah nenek?

  • Bau pada daun jambu batu.
  • Rasa kasar pada batang pokok yang saya sentuh.
  • Batang pokok yang berbuai-buai bila saya memaut padanya.
  • Perasaan bangga dan gembira bila saya dapat memanjat seperti sepupu-sepupu yang lain.

Perkara ini juga dapat dilihat semasa kita sedang belajar. Menulis nota,sambil mendengar adalah lebih baik dari sekadar membaca sahaja.

 

Bergayut pada Pokok :Kebaikannya Pada Perkembangan Kanak-Kanak

1. Menguatkan Core Muscles

Semasa kanak-kanak bergayut, bahagian otot utama tubuh akan terstimulasi. Ini akan membantu kanak-kanak mempunyai asas kekuatan tubuh yang lebih baik.

‘Core muscles’ adalah amat penting dalam memastikan kanak-kanak boleh duduk lebih lama di kerusi, dan memberikan fokus yang lebih baik semasa belajar.

 

2. Termasuk Dalam Jenis Permainan Eksploratori

Permainan yang bersifat eksplorasi akan membantu kanak-kanak untuk mempunyai kemahiran survival yang lebih tinggi.

Kanak-kanak harus belajar berapa banyak kekuatan otot yang harus digunakan untuk memanjat dengan selamat, kanak-kanak akan tahu bagaimana untuk selesaikan masalah jika mereka hadapi kesukaran semasa memanjat pokok dan pelbagai deria tubuh akan digunakan secara berintegrasi ketika permainan ekploratori sedang berlaku.

 

3. Meningkatkan Keupayaan Fokus Dan Perhatian

Untuk membolehkan aktiviti memanjat dan bergayut pada pokok dapat dijalankan dengan baik, kanak-kanak perlu belajar untuk fokus pada pergerakannya. Kanak-kanak juga perlu fokus pada bahagian pokok yang mana yang harus dipautnya.

Ini merupakan latihan yang baik dan menyeronokkan untuk membantu kanak-kanak lebih fokus di dalam kelas.

“Movements crate learning” -“Pergerakan menghasilkan pembelajaran”

 

4. Menguatkan Otot-otot Tangan

Bergayut juga akan mengaktifkan otot-otot penting pada bahagian atas tubuh termasuk pada bahagian tangan. Input sensori proprioseptif yang diperolehi oleh sendi-sendi tangan akan membantu kanak-kanak mempunyai kesedaran tubuh yang lebih baik.

Perkara ini akan membantu menyediakan tubuh kanak-kanak untuk belajar perkara-perkara yang memerlukan kemahiran motor halus yang baik seperti:

  • membutang baju
  • mengikat tali kasut
  • mewarna
  • menggunting
  • menulis

5. Stimulasi Pelbagai Sensori Secara Natural

Memanjat dan bergayut pada pokok juga akan memberikan input sensori yang pelbagai kepada kanak-kanak. Bau daun, batang pokok, tekstur dahan pokok, tekstur tanah, bunyi desiran angin pada daun pokok, panorama visual di luar rumah, kesemua ini akan membantu meningkatkan daya fikiran kanak-kanak.

Semoga bermanfaat

Penulis: Siti 'Aisyah Rozalli

Merupa seorang Occupational Therapist. Bertanggungjawab melakukan penilaian perkembangan bagi mengenal pasti jika anak anda ada kelewatan dalam kefungsian hariannya. Rajin berkongsi tentang perkembangan awal kanak-kanak. Boleh dihubungi Facebooknya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.