Mencari info makanan diet atkins? Jom lihat artikel ini untuk info lengkap. Diet Atkin mendapat namanya daripada pengasas cara diet ini iaitu Dr Robert Atkin yang menekankan pengurangan pengambilan sumber karbohidrat dalam diet seharian.

Trend diet ini mula mendapat tempat di seluruh dunia kerana dikatakan mampu menurunkan berat badan pada masa yang agak singkat tanpa perlu melakukan aktiviti fizikal yang intensif atau tahan berlapar.

Mula popular di Amerika Syarikat pada awal tahun 2000, diet Atkins semakin menjadi pilihan ramai bagi mengatasi masalah obesiti atau berat badan berlebihan. Namun, keberkesanan diet sebegini sudah sering dibincangkan sejak 60 tahun yang lalu lagi. Malah, menurut rekod sejarah. amalan diet sebegini sudah dicatatkan pada tahun 1860 lagi apabila seorang lelaki bernama William Banting mendakwa kehilangan 21 kg tanpa rasa kelaparan dengan hanya mengamalkan diet rendah karbohidrat.

Keberkesanan Diet Atkins

Oleh itu para pengkaji dari Institut Penyelidikan Bassett, New York pada tahun 2003 telah mengulas mengenai keberkesanan amalan diet Atkins ini. Mereka mendapati bahawa diet yang rendah karbohidrat (low carbohydrate, LC) menunjukkan manfaat kesihatan secara metabolik dalam kalangan mereka yang obes.

Kepekaan insulin untuk mengawal paras gula dalam darah didapati semakin bertambah. Selain itu, kandungan elektrolit dan air dalam tubuh dilaporkan menjadi semakin seimbang yang seterusnya menjadikan tubuh badan semakin langsing dengan melancarakan aliran darah dan lemak.

Kajian lepas juga melaporkan penemuan yang agak mengejutkan apabila diet rendah karbohidrat ini berupaya untuk mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Kepekatan trigliserida atau komponen berlemak didapati berkurangan. Profil kolesterol baik juga didapati bertambah baik.

Namun, pemerhatian terhadap tekanan darah dan kandungan lipid darah tidak menunjukkan perubahan yang ketara atau signifikan jika dibandingkan antara diet Atkins dengan cara pemakanan yang lain.

Diet Atkins

Imej via Bidadari

Ramai mula mengikuti dan mengamalkan diet Atkins ini kerana pilihan makanannya yang tidak begitu ‘menyeksakan’ bagi mereka yang sedang berdiet. Diet Atkins hanya menyarankan pengambilan makanan seperti berikut:

  • Kurang 20 g sumber karbohidrat dalam masa sehari (5-10% kalori harian daripada karbohidrat)
  • Majoriti makanan ialah salad hijau dan sayuran lain yang tidak berkanji
  • Pengambilan makanan kaya protein dan lemak tanpa had

Makanan Diet Atkins

Imej via Bidadari

Diet Atkins mencadangkan pengurangan berat badan tanpa mengambil peduli pengiraan kalori; hanya mematuhi diet yang kurang karbohidrat dalam pemakanan seharian. Hal ini disebabkan, pengurangan pengambilan sumber karbohidrat secara tidak langsung akan mengurangkan kemasukan kalori ke dalam tubuh untuk memudahkan proses penurunan berat badan.

Berikut merupakan antara cadangan makanan untuk diet Atkins yang boleh diamalkan bagi mereka yang ingin cuba menurunkan berat badan dengan cara ini:

  • Daging: lembu, kambing, ayam, bacon dan sebagainya
  • Makanan laut dan ikan: salmon, sardin, udang, ketam dan binatang bercengkerang
  • Sayuran rendah karbohidrat/kanji: kale, bayam, brokoli, asparagus
  • Produk tenusu penuh: keju, mentega, krim, yoghurt penuh lemak
  • Kekacang: kacang badam, macademia, walnut, kuaci dan sebaginya
  • Minyak sihat: minyak zaitun, minyak kelapa, minyak avokado
  • Minuman: air kosong, kopi hitam, teh hijau

Makanan yang Perlu Dielak oleh Diet Atkins

Berikut merupakan senarai makanan yang perlu dielakkan sekiranya anda sedang mengamalkan diet Atkins:

  • Kandungan gula tinggi: minuman ringan, minuman berkarbonat, jus buah, kek, gula-gula, manisan, kuih-muih, ais krim
  • Bijirin: gandum, barli, nasi, oat
  • Minyak sayuran: minyak kelapa sawit, minyak kanola, minyak kacang soya
  • Makanan mengandungi lemak trans (biasanya dilabelkan dalam senarai ramuan dan ada dikenali sebagai produk terhidrogen)
  • Sayuran tinggi kanji: turnip, lobak merah
  • Kanji: kentang, keledek, sengkuang
  • Legume: kacang tanah, lentil, kacang kuda

Bagaimana Diet Atkins Menurunkan Berat Badan Menurut Sains?

Arne Astrup dan rakan penyelidik yang lain di Pusat Penyelidikan Nutrisi Manusia, Copenhagen, Denmark pada tahun 2004 ada menghuraikan mengenai mekanisme penurunan berat badan menerusi amalan diet Atkins.

Apabila badan kita mendapat sekatan atau kekurangan sumber bekalan karbohidrat melalui diet makanan, glikogen daripada karbohidrat yang tersimpan sebelum ini akan menjadi berkurangan bersama air dalam tubuh. Hal ini boleh menjadikan penurunan berat badan adalah disebabkan kehilangan cecair berbanding kehilangan lemak. Masyarakat kita menggelarkan fenomenan ini sebagai ‘gemuk air’ yang menunjukkan trend penurunan berat badan apabila kandungan air berkurangan dalam tubuh.

Seterusnya, pengurangan glikogen juga akan menghasilkan proses asidosis ketotik iaitu proses yang sama berlaku semasa anda sedang berpuasa. Kehilangan tenaga adalah melalui air kencing yang disertai oleh penyingkiran keton dari dalam tubuh. Edaran keton dalam tubuh ini menyumbang kepada tindakan rasa melawan selera makan yang menyerupai kelaparan anoreksia.

Selain itu, kehilangan berat badan menerusi diet Atkins boleh dikaitkan dengan penggunaan tenaga yang bertambah tanpa kemasukan bekalan tenaga pengganti daripada sumber karbohidrat yang biasanya akan hadir dalam diet normal.

Di samping itu, kejayaan diet rendah karbohidrat sebegini yang mampu menurunkan berat badan adalah disebabkan pilihan makanan yang terhad. Halangan untuk menikmati hidangan lain disebabkan cara diet Atkins ini akan menyekat selera dan pengambilan makanan, seterusnya membantu berat badan berkurang.

Kesan Sampingan Diet Atkins

Antara kesan sampingan yang sering dialami mereka yang mengamalkan diet Atkins ialah sembelit dan pening kepala. Hal ini boleh diterangkan dengan kurangnya pengambilan buah dan sayuran tertentu, bijirin dan sumber karbohidrat yang tinggi serat. Antara pemerhatian kesan sampingan lain yang dialami ialah:

  • Kekejangan otot
  • Cirit birit
  • Lemah tubuh badan
  • Masalah ruam

Kesimpulan

Diet Atkins boleh menjadi salah satu alternatif bagi mereka yang sedang berusaha untuk menurunkan berat badan. Namun, khidmat nasihat pakar perubatan bertauliah perlulah diteladani supaya tidak memudaratkan kesihatan tubuh kita lebih-lebih lagi untuk jangka masa yang panjang.

Artikel meanrik lain:

Rujukan

  • Astrup, A., Larsen, T. M., & Harper, A. (2004). Atkins and other low-carbohydrate diets: hoax or an effective tool for weight loss?. The Lancet364(9437), 897-899. (link)
  • Healthline
  • Miller, B. V., Bertino, J. S., Reed, R. G., Burrington, C. M., Davidson, L. K., Green, A., … & Nafziger, A. N. (2003). An evaluation of the atkins’ diet. Metabolic syndrome and related disorders1(4), 299-309. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.