Terserempak dengan seorang sahabat sewaktu zaman pondok dahulu.Sempat berbual beberapa hal sambil bergelak ketawa suka duka bersama dahulu.
“Berapa orang dah sekarang? Dah penuh belum kuota enta?”
Soalan yang cliché kalau berjumpa sahabat – sahabat pondok.
Sang faqir menjawab, “penuh dah.”
Sahabat tadi dengan rasa kagum sambil menepuk bahu sang faqir, “kemah enta. Duk mana semuanya?”
“Duk serumah je, senang nak urus. Kalau keluar ada program atau kuliah bawa semua sekali, tapi selalunya yang no.2 ana tinggal di rumah, jaga anak-anak. Ana bawa yang no 1, no.3, no 4.”
Jawab sang faqir ringkas.
“Kemah sungguh, tak kisah ke semua duk serumah? Ilmu apa enta pakai? Berapa orang anak enta sekarang semuanya? “
Soal sahabat sambil ketawa.
“Ok saja, masing-masing boleh kerjasama. Anak dengan isteri No 1, ramai, yang isteri no.2 nak masuk 4 orang, yang no.3 ramai, yang no.4 pun ramai.”
Jawab sang faqir.
” Ini kira dashyat dah ni, kalah Babo, enta memang kemah sungguh, perturunlah sikit kat ana, nak rasa juga.”
Sahabat tadi me minta diperturunkan ilmu takluk sejagat ini.
“Ish, enta boleh juga, adalah tu nanti.”
Jawab sang faqir.
Sahabat sambil ketawa kecil, berkata, “Mana enta tahu? Enta dah kira falak untuk ana ke?”
“Tidaklah, semua orang akan hadap dan wajib hadap semua nie syeikh, tuntutan tu” Jawab sang faqir.
“Betul tu, memang kena poligami, ramaikan umat, enta kena jadi contoh. Macam mana enta boleh kenal dengan zaujah – zaujah enta tu? Boleh duk serumah pula tu.”
Sahabat tadi membalas.
Sang faqir sudah merasakan, perlu nyatakan hal sebenar, kerana sahabat tadi merasakan benar sang faqir mempunyai lebih dari seorang isteri.
“Enta kenal ke siapa zaujah-zaujah ana tu?” Sang faqir menyoal.
Sahabat membalas, “Enta tanya ana macam enta kahwin dengan artis pula, manalah ana kenal.”
Sang faqir sambil ketawa kecil, “enta kenal, kenal sangat-sangat. ”
Sahabat tadi terpinga-pinga. “Siapa syeikh? Ana kenal? Kenal sangat sangat? Pelik nie.”
Sambil ketawa kecil,” Hasanan, zaujah pertama ana, Ilmu. Zaujah kedua ana, Ibu kepada anak-anak ana. Zaujah ketiga, Perubatan Islam. Zaujah keempat, Dakwah. (Sambil ketawa kecil dan menepuk bahu sahabat).
Yang no 2 mungkin enta tak kenal, tapi yang no 1, no 3, no 4 tu, tak mungkin enta tak kenal, betul tak.”
“Aduh, terkena ana hari ni, enta ni main-main sungguh.”
Sahabat turut ketawa. Waktu maghrib hampir menjelang, kami berpisah sementara.
***************************************************
Ramai kaum lelaki merasakan kuota mereka masih kosong, sebenarnya jika diperhalusi sebenar-benarnya, kuota tersebut sudah pun penuh.
Begitulah juga sang faqir, jika orang atau sahabat mengajukan kepada sang faqir bahawa, masih bujang 3, sebenarnya kuota tersebut sudah dipenuhi, secara sedar atau tidak.
Dek kerana itu, kita ada membaca kisah – kisah ulama terdahulu, ada yang sehingga tidak berkahwin kerana sibuk dengan ilmu dan dakwah, antaranya adalah Syeikhul Islam Al Faqih Az Zahid Syeikh Yahya Ibn Shoraf Ibn Hassan Ibn Husain An Nawawi Ad Dimasyqi atau lebih kita kenali sebagai Imam An Nawawi RahimahUllah.
Bagi sang faqir, kuota pada sang faqir sudah penuh.
Isteri pertama sang faqir adalah ‘Ilmu’, isteri kedua adalah zaujatil habibah Fadillah Nur, Isteri ketiga adalah ‘Perubatan Islam’ dan isteri keempat adalah ‘Dakwah’.
Maka, kepada yang masih merasakan kuotanya masih ada (kepada yang sudah berkahwin), isikanlah kuota yang masih dirasakan kosong itu dengan sesuatu yang boleh memberatkan timbangan kebajikan di Al Mizan kelak.
Wassalam.