Pernah dengar tentang Cardiopulmonary Resuscitation atau lebih kenal dengan CPR. CPR selalu dilakukan kepada orang dewasa yang lemas di laut atau kawasan yang penuh air sehinggakan jantung terhenti seketika. Oleh itu, CPR ini adalah perkara asas yang perlu diketahui oleh semua orang bagi menyelamatkan nyawa seorang individu.
Tapi bagaimana dengan bayi ? CPR bagi bayi dikenali sebagai Heimlich Maneuver. Jika bayi anda tercekik makanan atau susu, anda boleh melakukan Heimlich Maneuver sementara menunggu ambulans datang. Ia dapat menyelamatkan nyawa bayi anda.
Tetapi bagaimanakah cara yang betul untuk melakukan Heimlich Maneuver?
Mari kami kongsikan kepada anda info sebenar mengenai langkah yang betul lakukan Heimlich Maneuver kepada bayi bawah 1 tahun. Info ini dikongsikan oleh Dr. Kamarul Ariffin. Beliau merupakan seorang pegawai perubatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Beliau juga antara barisan doktor di sebalik Medikal Mythbusters Malaysia. Mari kita baca info yang dikongsikan oleh Dr Kamarul.
Jika anak tercekik hingga nafas tersekat, cuba untuk kekal tenang, dan mulakan Heimlich maneuver untuk bayi bawah 1 tahun.
Tiarapkan di atas lengan(forearm). Jika tangan tidak kuat untuk tampung berat anak, topang guna paha. Pastikan kepala anak lebih rendah dari punggung. Tepuk belakang anak di antara tulang belikat sebanyak 5 kali. Jika objek yang tersekat tidak keluar, terus ke langkah kedua.
Pusingkan anak, terlentangkan di atas lengan. Kekalkan posisi kepala lebih rendah dari punggung. Gunakan 2-3 jari, tekanan di tulang dada(sternum) sedalam satu inci. Tekan sebanyak 5 kali. Jika objek yang tersekat tidak keluar, ulang semula langkah pertama.
Dalam masa yang sama cuba hubungi 999 untuk dapatkan bantuan perubatan, atau bawa ke hospital secepat mungkin. Teruskan percubaan sementara belum mendapat bantuan profesional. Setiap saat dan tindakan amat berharga.
*Berikut 2 langkah yang betul bagi melakukan Heimlich Maneuver kepada bayi berumur bawah 1 tahun. Untuk melakukan Heimlich Maneuver ini, anda perlukan latihan amali seperti lakukan kepada anak patung. Tujuannya bagi memberi keyakinan kepada diri untuk melakukannya jika berlaku perkara tersebut. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.
Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Baca artikel asal di sini.