Selalunya kita dengar buluh dibuat untuk masakan seperti lemang atau nasi buluh. Tetapi ini lain ceritanya. Memang agak menarik untuk dikongsi tentang lampin dibuat daripada buluh ini.

Baru-baru ini, Earth & Me, jenama baharu produk bayi lestari tempatan telah memperkenalkan lampin bayi pakai buang biodegradasi pertama di Malaysia. Dilancarkan bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia, lampin tersebut dihasilkan dengan menggunakan sumber bahan lestari iaitu buluh. Betul, anda tidak salah dengar, ianya dari buluh.

Lampin Buluh Pertama Di Malaysia

Inovasi Earth & Me ini merupakan satu usaha dalam menangani impak penggunaan lampin pakai buang konvensional yang menjadi salah satu penyumbang terbesar sisa plastik di seluruh dunia. Memenuhi kawasan tapak pelupusan sampah dalam jumlah yang amat besar, lampin konvensional dianggarkan mengambil masa lebih 500 tahun untuk terurai berbanding lampin buluh Earth & Me yang akan terurai lebih 60 peratus dalam masa 75 hari sahaja.

Menurut Earth & Me, buluh yang menjadi bahan utama lampin biodegradasi ini diperoleh secara selamat dan beretika daripada hutan buluh terpilih di China. Ia dikatakan telah dipilih dengan teliti, selain bebas daripada racun perosak atau racun herba. Dengan ciri-ciri seperti cepat tumbuh, tidak memerlukan air yang banyak serta penjagaan yang lebih senang, buluh menjadi bahan alternatif lestari berbanding sumber tumbuhan lain.

Apa Manfaat Lampin Buluh Ini?

Kenapa ya nak buat dari buluh? Memanfaatkan ciri lut udara buluh, lampin Earth & Me menyerap lebih banyak cecair daripada gentian kapas, memberikan keselesaan untuk penggunaan sepanjang hari dan semalaman. Dengan ciri lampin yang lembut dan hipoalergenik, gentian buluh yang digunakan mampu menghilangkan lembapan, mengurangkan kerengsaan pada kulit dan juga ruam.

Mengambil kira kesesuaian buat bayi dan kulit sensitif mereka, lampin buluh ini juga tidak mengandungi bahan berbahaya, klorin, pewarna, pencerah atau pewangi tiruan, serta menghalau bau secara semula jadi.

Ada Pelbagai Saiz

Risau tiada saiz yang sesuai dengan anak-anak? Jangan risau mak-mak Malaysia. Lampin buluh terbiodegradasi Earth & Me tersedia dalam pelbagai saiz, dari S hingga XL. Lampin ini juga memenuhi keperluan bayi baru lahir tanpa mengira berat atau jenis tubuh badan, meliputi berat dari 2.5kg hingga 20kg. Jenama itu juga kini dalam perancangan untuk menghasilkan variasi seluar latihan, bagi memberikan pilihan tambahan untuk bayi yang sedang membesar.

Selain lampin bayi, Earth & Me turut menawarkan tisu pembersih semula jadi yang mesra bayi. Tisu pembersih ini dihasilkan bebas daripada pewangi tiruan, bahan kimia atau alkohol, dan menampilkan pilihan ekstrak berasaskan tumbuhan — termasuk daun lidah buaya, pegaga, dan limau gedang. Selain itu, tisu Earth & Me dicipta lebih tebal dan lebih lebar berbanding tisu lain di pasaran, dengan tekstur sarang lebah untuk pembersihan yang lebih mudah dan berkesan.

Penulis: Aya Izzuan

Seorang yang gemar pada ilmu yang bermanfaat. semoga perkongsian yang dibuat dapat memberikan ganjaran di akhirat kelak.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.