Wanita dan kecantikan memang tak dapat dipisahkan. Kecantikan memang menjadi perhatian sesiapa saja. Tak hairanlah model di dalam kaca televisyen dipaparkan seorang yang cantik, putih dan kurus. Tujuannya untuk melariskan produk.

Malahan, jika ditanya kepada sesetengah lelaki tentang wanita pilihan hati. Jawapan yang diberikan biarlah seorang wanita yang ada rupa, putih gebu, kurus dan bergaya. Jadi, tak hairanlah para wanita begitu bersusah-payah menjaga kecantikan kerana standard kecantikan yang telah ditetapkan sedemikian rupa.

Tak kiralah wanita yang sudah berkahwin atau pun anak dara, masing-masing berlumba-lumba untuk menjaga kecantikan. Tujuannya untuk lebih berkeyakinan di depan semua orang termasuklah suami, pasangan dan juga masyarakat.

Makna kecantikan itu bukanlah yang terpamer secara fizikal sahaja tetapi yang lebih penting keperibadian hati. Namun, perkara itu bukanlah hal yang penting kerana tak dipandang orang katanya. Kulit mesti putih, bibir persis delima, kulit licin bak kaca dan langsing seperti model.

Dalam artikel kali ni, penulis akan membincangkan topik yang cukup panas sejak beberapa tahun kebelakangan ini iaitu produk krim timbang kilo. Ramai wanita yang mungkin tak sedar bahaya produk timbang kilo. Mereka masih menggunakannya secara meluas.

Ada yang mungkin dah maklum melalui penyebaran maklumat di laman sosial dan amaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Namun, yang menjadi masalah utama ialah produk timbang kilo masih banyak di pasaran.

Orang kata tiada permintaan, tiadalah penawaran kan? Lepas satu jenama, keluar pula jenama yang lain. Jika menepati piawaian KKM dan selamat digunakan, tidak menjadi masalah.

Putih Itu Cantik

Ideologi yang diagungkan oleh masyarakat dunia terutamanya masyarakat Asia ialah berkulit putih itu cantik. Wanita yang berkulit putih nampak menarik, lebih berkeyakinan dan menjadi perhatian.

Disebabkan inilah keluar pelbagai jenis produk timbang kilo yang memudaratkan kulit dan kesihatan. Buka sahaja laman Facebook dan Instagram, terbentang pelbagai jenis jenama yang boleh dibeli dengan mudah.

Malahan, tokoh-tokoh jamu dan kedai-kedai kecil juga menjualnya secara terbuka. Semuanya mempromosikan kulit yang putih itu cantik. Jika dilahirkan berkulit gelap, hitam manis atau sawo matang, nampaknya nasib kurang menyebelahi anda.

Jadi, cara mudah ialah pakai produk timbang kilo yang boleh nampak kesannya seawal seminggu selepas pemakaian. Lihat saja tagline yang digunakan.

Yang disenaraikan ini merupakan tagline iklan produk kecantikan yang anda boleh lihat di Internet. Kulit putih, gebu dan berseri seperti artis Korea menjadi role model untuk wanita yang obses untuk kelihatan cantik.

Apa Itu Produk Timbang Kilo?

Apakah yang dimaksudkan dengan produk timbang kilo? Kenapa ianya berbahaya? Produk timbang kilo kebiasaannya ialah produk penjagaan kulit wajah dan tubuh. Kesan pemakaiannya membuat para pengguna tak berfikir panjang untuk membelinya terus-menerus.

Krim timbang kilo dibeli secara pukal mengikut timbangan berat krim oleh pengasas produk terbabit. Produk ini dihasilkan oleh sebuah kilang yang sama (untuk produk yang lain juga) dan dikenali sebagai Original Equipment Manufacturer (OEM).

Biasanya kilang OEM ini terletak di Thailand, Malaysia, Vietnam dan sebagainya. Pihak kilang akan membuat pembungkusan mengikut cita rasa pengasas. Oleh itu, jika anda ada wang yang banyak, anda boleh jadi pengasas produk kecantikan. Semudah itu!

Disebabkan itulah terdapat pelbagai produk kecantikan di pasaran mempunyai pembungkusan yang menarik dan berwarna-warni. Hakikatnya, semua krim malam dan krim siang produk A dan produk B sama saja. Warna krim, kotak dan jenama saja yang lain.

Kilang ini juga menghasilkan produk yang lain seperti serbuk minuman dan makanan, makanan kesihatan dan sebagainya. Kesemua produk ini dihasilkan dalam kuantiti yang banyak bagi membolehkan para peniaga menjualnya mengikut ketetapan mereka.

Kenapa produk timbang kilo tiba-tiba menjadi pilihan para pengasas yang kononnya membuat kajian bertahun-tahun? Sebab utamanya ialah kerana harga pukalnya murah dan boleh dijual secara berasingan dengan meletakkan jenama masing-masing.

Disebabkan itulah ia menjadi pilihan para selebriti, artis dan juga golongan instafamous yang mempunyai peminat tersendiri. Ada yang sanggup menipu pengguna dengan mengatakan produk tersebut dibuat selepas kajian makmal dan diformulasikan oleh pakar kecantikan.

Hakikatnya, kebanyakkan ‘pengasas’ ini tak mempunyai latar belakang pendidikan tentang produk kecantikan dalam bidang medik. Disebabkan mereka terkenal, para peminat yakin untuk membeli produk-produk timbang kilo ini.

Bahaya Produk Timbang Kilo

Menurut ahli farmasi dan influncer, Siti Hawa Mohd Nor, produk timbang kilo mengandungi bahan terlarang sama ada ia produk original atau pun palsu. Bahan kimia berlebihan di dalamnya boleh merosakkan kulit wajah, saraf dan buah pinggang.

Kandungan merkuri, hidrokuinon dan tretinoin yang tinggi boleh memberi kesan yang pantas dan mencantikkan kulit muka. Hasilnya kulit akan kelihatan putih gebu, licin tanpa jerawat dan jeragat serta nampak berseri-seri. Namun, tahukah anda kesannya tak lama?

Kandungan merkuri di dalam produk tersebut menghalang penghasilan melanin yang berfungsi untuk menghasilkan warna kulit. Tubuh badan setiap individu mempunyai tindak balas yang berbeza terhadap produk tersebut. Ia juga bergantung kepada tempoh penggunaan.

Ada yang mendapat kesan yang teruk pada wajah. Ada yang sederhana saja dan ada pengguna yang tiada sebarang masalah. Namun, jika tiada sebarang kesan pada wajah, mungkin ia memberi kesan pada buah pinggang dan merosakkan saraf.

Banyak laporan yang menunjukkan pengguna mengalami alahan yang teruk pada kulit wajah. Kulit wajah menjadi nipis, bernanah, kulit menjadi biru kehitaman, berjerawat dan berjeragat teruk. Yang lebih teruk boleh mengakibatkan kanser kulit.

Cara Kenal Pasti Produk Timbang Kilo

 Ingin ditekankan, bukan semua set penjagaan kecantikan tempatan merupakan produk timbang kilo. Hanya sebahagian saja yang perlu dijauhi. Masih banyak produk yang bagus di luar sana.

Jika anda risau akan tertipu dengan produk timbang kilo, di bawah ini disenaraikan beberapa ciri-cirinya berdasarkan pandangan Khairul Yoi. Beliau lantang mengutuk pengasas dan produk timbang kilo di media sosial. Antaranya ialah:

  1. Di kedai jamu atau kedai biasa ada menjual set kecantikan yang berwarna-warni dilengkapi krim malam, krim siang dan sabun.
  2. Pengasas produk tersebut tak mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang kimia atau medik.
  3. Produk tersebut hanya dijual di pasar malam, online, toko jamu dan kedai biasa saja.
  4. Pastikan ada alamat kilang dan kandungan bahan. Biasanya tak ada dinyatakan.
  5. Jika ada KKM, tak semestinya selamat. Periksa betul-betul.
  6. Kebanyakan testimoni para pengguna hanyalah direka-reka dan banyak dibuat suntingan pada gambar.
  7. Bau produk timbang kilo terlalu wangi untuk menghilangkan bau merkuri.
  8. Tekstur krimnya melekit dan berkilat. Jika dibiarkan lama-lama, bekas krim akan menjadi hitam. Itu tandanya ada merkuri.
  9. Tiada istilah ‘healing process’ (proses pemulihan) jika ada pengguna yang mendapat kesan sampingan seperti kulit muka pedih dan berjerawat atau mengelupas.
  10. Apabila menggunakan produk timbang kilo, kulit wajah menjadi putih dan bersih dalam masa yang pantas. Namun, jika dihentikan penggunaan, muka menjadi teruk.
  11. Overclaim bahawa produk mereka memberi kesan sepantas 2 hari. Produk yang baik tak akan memberi kesan perubahan secara drastik.

Diharapkan dengan perbincangan isu produk timbang kilo ni, para pembaca akan lebih berhati-hati dalam. Mencantikkan diri tu tak salah, namun janganlah sampai membahayakan kesihatan.

Masih banyak produk yang berkualiti, terjamin dan selamat di pasaran. Jadilah pengguna yang bijak dan boikot produk timbang kilo. Jangan berlumba-lumba nak cantikkan diri sehingga menggadai nyawa. Moga bermanfaat.

Jemput juga baca tips cara penjagaan muka dan cara penjagaan muka artis korea

Rujukan

  • ‘Kosmetik timbang kilo’: Dengarlah nasihat ahli farmasi ini. https://www.malaysiakini.com/news/500491. (link)
  • Kenali Ciri-Ciri Krim Timbang Kilo. https://www.facebook.com/search/posts/?q=ciri%20ciri%20produk%20timbang%20kilo%20khairul%20yoi&epa=SEARCH_BOX(link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.