Jom kenali salah satu tokoh Islam iaitu kisah Uwais al-Qarni terkenal di langit tidak terkenal di bumi.

Siapakah Uwais al-Qarni?

Nama Uwais Al Qarni adalah Uwais bin ‘Amir bin Juz’in bin Malik al-Qarni al-Muradi al-Yamani. Manakala nama gelarannya adalah Abu ‘Amr. Beliau merupakan golongan tabi’in yang hidup pada zaman Nabi saw semasa beliau masuk Islam, namun tidak pernah berjumpa dengan Nabi saw sepanjang hayatnya.

Beliau tidak berpeluang menziarahi Nabi saw di Madinah kerana menjaga serta berkhidmat kepada ibu beliau yang sudah tua dan uzur (Hilyatul ‘Auliya 2/87).

uwais

Imej via detikmuslim

Itulah sebabnya beliau tidak dikategorikan sebagai sahabat (kerana tidak bertemu dengan Nabi saw), tetapi dikategorikan sebagai tabi’in. Beliau dilahirkan dan dibesarkan di Yaman. Az-Zahabi berkata mengenai beliau,

“Uwais al-Qarni adalah seorang teladan yang zuhud, penghulu para tabi’in di zamannya, termasuk di antara wali-wali Allah yang soleh lagi bertaqwa, dan hamba-hambanya yang ikhlas.” (Siyar A’lam An Nubala’ 4/19)

Riwayat Tentang Uwais al-Qarni

1) Dari Usair bin Jabir, bahawa penduduk Kufah mengutus beberapa utusan kepada Umar bin Khattab, dan di antara mereka ada seseorang yang biasa mencela Uwais. Maka Umar berkata; “Apakah di sini ada yang berasal dari Qaran. Lalu orang itu menghadap Umar. Kemudian Umar berkata: “Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda”:

إِنَّ رَجُلًا يَأْتِيكُمْ مِنْ الْيَمَنِ يُقَالُ لَهُ أُوَيْسٌ لَا يَدَعُ بِالْيَمَنِ غَيْرَ أُمٍّ لَهُ قَدْ كَانَ بِهِ بَيَاضٌ فَدَعَا اللَّهَ فَأَذْهَبَهُ عَنْهُ إِلَّا مَوْضِعَ الدِّينَارِ أَوْ الدِّرْهَمِ فَمَنْ لَقِيَهُ مِنْكُمْ فَلْيَسْتَغْفِرْ لَكُمْ

Maksudnya, “Sesungguhnya akan datang kepadamu seorang lelaki dari Yaman yang biasa dipanggil dengan Uwais. Dia tinggal di Yaman bersama ibunya. Dahulu pada kulitnya ada penyakit belang (berwarna putih). Lalu dia berdoa kepada Allah, dan Allah pun menghilangkan penyakit itu, kecuali tinggal sebesar wang dinar atau dirham sahaja. Barangsiapa di antara kalian yg menemuinya, maka mintalah kepadanya untuk memohon ampun kepada Allah untuk kalian.” (HR Muslim No.4612)

 

2) Dari Umar al-Khattab, dia berkata;

إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ خَيْرَ التَّابِعِينَ رَجُلٌ يُقَالُ لَهُ أُوَيْسٌ وَلَهُ وَالِدَةٌ وَكَانَ بِهِ بَيَاضٌ فَمُرُوهُ فَلْيَسْتَغْفِرْ لَكُمْ

Maksudnya, “Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sebaik-baik tabi’in adalah seorang lelaki yang dipanggil Uwais, dia mempunyai seorang ibu, dan padanya terdapat tanda putih, maka suruhlah dia untuk memintakan ampun bagi kalian.” (HR Muslim).

 

3) Dari Usair Bin Jabir, dia berkata;

 كَانَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ إِذَا أَتَىعَلَيْهِ أَمْدَادُ أَهْلِ الْيَمَنِ سَأَلَهُمْ أَفِيكُمْ أُوَيْسُ بْنُ عَامِرٍ حَتَّى أَتَى عَلَى أُوَيْسٍ فَقَالَ أَنْتَ أُوَيْسُ بْنُ عَامِرٍ قَالَ نَعَمْ قَالَ مِنْ مُرَادٍ ثُمَّ مِنْ قَرَنٍ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَكَانَ بِكَ بَرَصٌ فَبَرَأْتَ مِنْهُ إِلَّا مَوْضِعَ دِرْهَمٍ قَالَ نَعَمْ قَالَ لَكَ وَالِدَةٌ قَالَ نَعَمْ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ يَأْتِي عَلَيْكُمْ أُوَيْسُ بْنُ عَامِرٍ مَعَ أَمْدَادِ أَهْلِ الْيَمَنِ مِنْ مُرَادٍ ثُمَّ مِنْ قَرَنٍ كَانَ بِهِ بَرَصٌ فَبَرَأَ مِنْهُ إِلَّا مَوْضِعَ دِرْهَمٍ لَهُ وَالِدَةٌ هُوَ بِهَا بَرٌّ لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لَأَبَرَّهُ فَإِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ يَسْتَغْفِرَ لَكَ فَافْعَلْ فَاسْتَغْفِرْ لِي فَاسْتَغْفَرَ لَهُ فَقَالَ لَهُ عُمَرُ أَيْنَ تُرِيدُ قَالَ الْكُوفَةَ قَالَ أَلَا أَكْتُبُ لَكَ إِلَى عَامِلِهَا قَالَ أَكُونُ فِي غَبْرَاءِ النَّاسِ أَحَبُّ إِلَيَّ قَالَ فَلَمَّا كَانَ مِنْ الْعَامِ الْمُقْبِلِ حَجَّ رَجُلٌ مِنْ أَشْرَافِهِمْ فَوَافَقَ عُمَرَ فَسَأَلَهُ عَنْ أُوَيْسٍ قَالَ تَرَكْتُهُ رَثَّ الْبَيْتِ قَلِيلَ الْمَتَاعِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ يَأْتِي عَلَيْكُمْ أُوَيْسُ بْنُ عَامِرٍ مَعَ أَمْدَادِ أَهْلِ الْيَمَنِ مِنْ مُرَادٍ ثُمَّ مِنْ قَرَنٍ كَانَ بِهِ بَرَصٌ فَبَرَأَ مِنْهُ إِلَّا مَوْضِعَ دِرْهَمٍ لَهُ وَالِدَةٌ هُوَ بِهَا بَرٌّ لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لَأَبَرَّهُ فَإِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ يَسْتَغْفِرَ لَكَ فَافْعَلْ فَأَتَى أُوَيْسًا فَقَالَ اسْتَغْفِرْ لِي قَالَ أَنْتَ أَحْدَثُ عَهْدًا بِسَفَرٍ صَالِحٍ فَاسْتَغْفِرْ لِي قَالَ اسْتَغْفِرْ لِي قَالَ أَنْتَ أَحْدَثُ عَهْدًا بِسَفَرٍ صَالِحٍ فَاسْتَغْفِرْ لِي قَالَ لَقِيتَ عُمَرَ قَالَ نَعَمْ فَاسْتَغْفَرَ لَهُ فَفَطِنَ لَهُ النَّاسُ فَانْطَلَقَ عَلَى وَجْهِهِ قَالَ أُسَيْرٌ وَكَسَوْتُهُ بُرْدَةً فَكَانَ كُلَّمَا رَآهُ إِنْسَانٌ قَالَ مِنْ أَيْنَ لِأُوَيْسٍ هَذِهِ الْبُرْدَةُ

Maksudnya, “Ketika Umar Bin al-Khattab didatangi oleh rombongan orang Yaman, dia selalu bertanya kepada mereka;

‘Apakah Uwais bin Amir ada dalam rombongan kalian?’

Hingga pada suatu hari, Khalifah Umar bin Khattab bertemu dengan Uwais seraya bertanya;

‘Apakah kamu Uwais bin Amir?’

Uwais menjawab; ‘Ya. Benar saya adalah Uwais.’

Khalifah Umar bertanya lagi; ‘Kamu berasal dari Murad dan kemudian dan Qaran?’

Uwais menjawab; ‘Ya benar.’

Selanjutnya Khalifah Umar bertanya lagi; ‘Apakah kamu pernah diserang penyakit kusta lalu sembuh kecuali tinggal sebesar mata wang dirham pada dirimu?’

Uwais menjawab; ‘Ya benar.’

Khalifah Umar bertanya lagi; ‘Apakah ibumu masih ada?’

Uwais menjawab; ‘Ya, ibu saya masih ada.’

Khalifah Umar bin Khattab berkata; ‘Hai Uwais, sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda: ‘Uwais bin Amir akan datang kepadamu bersama rombongan orang-orang Yaman yang berasal dari Murad kemudian dari Qaran.

Ia pernah terserang penyakit kusta lalu sembuh kecuali tinggal sebesar wang dirham. Ibunya masih hidup dan dia selalu berbakti kepadanya. Kalau dia bersumpah atas nama Allah maka akan dikabulkan sumpahnya itu, maka jika kamu dapat memohon agar dia memohonkan ampunan untuk kalian, lakukanlah! Oleh kerana itu wahai Uwais, mohonkanlah ampunan untukku!’

Lalu Uwais pun memohonkan ampunan untuk Umar bin Khattab.

Setelah itu, Khalifah Umar bertanya kepada Uwais; ‘Hendak ke mana kamu pergi wahai Uwais?’

Uwais bin Amir menjawab; ‘Saya hendak pergi ke Kufah ya Amirul Mukminin.’

Khalifah Umar berkata lagi; ‘Apakah aku perlu membuatkan surat khusus kepada Gabenor Kufah?

‘Uwais bin Amir menjawab; ‘Saya Iebih senang berada bersama rakyat jelata ya Amirul Mukminin.’

doa kaabah

Imej via thevocket

Usair bin Jabir berkata; ‘Pada tahun berikutnya, seorang Gabenor Tinggi Kufah pergi melaksanakan ibadah haji ke Mekah. Selesai melaksanakan ibadah haji, dia pun pergi mengunjungi Khalifah Umar bin Khattab. Lalu Khalifah pun menanyakan tentang berita Uwais kepadanya. Gabenor itu menjawab;

‘Saya membiarkan Uwais tinggal di rumah tua dan hidup dalam keadaan yang sangat sederhana.’

Umar bin Khattab berkata; ‘Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda: ‘Kelak Uwais bin Amir akan datang kepadamu bersama rombongan orang-orang Yaman.

Ia berasal dari Murad dan kemudian dari Qaran. Ia pernah terserang penyakit kusta lalu sembuh kecuali tinggal sebesar mata wang dirham. Kalau dia bersumpah dengan nama Allah, nescaya akan dikabulkan sumpahnya. Jika kamu dapat meminta agar dia berkenan memohonkan ampunan untukmu, maka laksanakanlah!’

Setelah itu, Gabenor Kufah tersebut Iangsung menemui Uwais dan berkata kepadanya; ‘Wahai Uwais, mohonkanlah ampunan untukku!’

Uwais bin Amir dengan perasaan hairan menjawab; ‘Bukankah engkau baru saja pulang dari perjalanan suci, ibadah haji di Mekah? Maka seharusnya engkau yang memohonkan ampunan untukku.’

Gabenor tersebut tetap berkeras dan berkata; ‘Mohonkanlah ampunan untukku wahai Uwais?’

Uwais bin Amir pun menjawab; ‘Engkau baru pulang dari ibadah haji, maka engkau yang Iebih baik berdoa untukku.’

Kemudian Uwais bertanya kepada Gabenor itu; ‘Apakah engkau telah bertemu dengan Khalifah Umar bin Khattab di Madinah?’

Gabenor Kufah itu menjawab; ‘Ya. Aku telah bertemu dengannya.’

Akhirnya Uwais pun memohonkan ampunan untuk Gabenor Kufah tersebut.

Setelah itu, Uwais dikenali oleh masyarakat ramai, tetapi dia tetap tidak berubah hidupnya dan tetap seperti dahulu.

Usair berkata; ‘Maka aku memberikan Uwais sehelai selendang yang indah, hingga setiap kali orang yang melihatnya pasti akan bertanya; ‘Dari mana Uwais memperoleh selendang itu?” (HR Muslim)

Kisah Uwais al-Qarni dengan Ibunya

Uwais Al-Qarni adalah seorang yang berpenyakit sopak (penyakit kulit tompok-tompok putih). Walaupun begitu, beliau adalah seorang yang soleh dan amat mengambil berat tentang ibunya yang uzur. Bapa beliau meninggal dunia ketika beliau masih kecil lagi. Beliau berpenyakit sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaganya sehingga beliau dewasa.

Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais al-Qarni bahawa dia sangat berhajat untuk mengerjakan ibadat haji di Mekah. Kerana kemiskinan, Uwais al-Qarni tidak mampu untuk mencari perbelanjaan buat ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Mekah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’.

Haudat’ ialah sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan. Selesa namun perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian. Beliau tidak memiliki unta dan juga tidak mampu untuk membayar sewa.

unta

Imej via intisari

Pada suatu hari, ibu Uwais al-Qarni yang semakin uzur berkata kepada anaknya: Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji.

Uwais al-Qarni mendapat suatu ilham. Beliau telah membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Beliau membuat sebuah rumah kecil untuk anak lembu tersebut di atas sebuah bukit. Apa yang beliau lakukan ialah pada petang hari beliau akan mendukung anak lembu itu naik ke atas bukit.

Manakala, pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari bukit tersebut untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada kalanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit di mana tempat untuk lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras.

Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit. Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais al-Qarni adalah seorang yang bijak.

Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais al-Qarni pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah dia mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.

Sebenarnya perbuatan Uwais al-Qarni selama ini adalah satu latihan dan persediaan untuk beliau membawa ibunya mengerjakan haji. Beliau telah mendukung ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya. Di belakangnya beliau meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya.

Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringan. Beliau membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan beliau juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Uwais gendong ibu

Gambar sekadar untuk tujuan ilustrasi. Imej via edysmail

Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya: Uwais, apakah yang kamu doakan sepanjang kamu berada di mekah?

Uwais al-Qarni menjawab: Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.

Ibunya bertanya lagi: Bagaimana pula dengan dosa kamu?

Uwais Al-Qarni menjawab: Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga.

Ibunya berkata lagi: Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini.

Uwais Al-Qarni berkata: Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, seperti saya tidak bersyukur dengan Allah taala.

Ibunya menambah: Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa.

Akhirnya Uwais Al-Qarni tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Beliau lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah menyembuhkan penyakit putih sopak yang dihidapinya itu. Namun kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya, dia berdoa: Tolonglah ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkanlah sedikit.

Allah swt menyembuhkan penyakit sopaknya serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais al-Qarni inilah tanda pengenalan yang disebut Rasulullah saw kepada Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra:

“Dahulu pada kulitnya ada penyakit belang (berwarna putih). Lalu dia berdoa kepada Allah, dan Allah pun menghilangkan penyakit itu, kecuali tinggal sebesar wang dinar atau dirham sahaja.”

Kesimpulan

Nabi Muhammad saw berpesan kepada Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra untuk mencari pemuda yang bernama Uwais al-Qarni supaya mendoakan keampunan buat mereka. Dari sini, sudah jelas bahawa Uwais al-Qarni bukanlah seorang pemuda yang biasa-biasa.

Dia adalah pemuda yang sangat istimewa sehingga doanya begitu makbul. Itulah sebabnya ramai yang menyifatkan Uwais al-Qarni sebagai pemuda yang tidak mahsyur di bumi, tetapi tersangat mahsyur di langit.

Hadis berkenaan Uwais al-Qarni ini telah diriwayatkan oleh Imam Muslim. Namun begitu, kisah berkenaan Uwais dan ibunya terdapat banyak versi dan penulis sendiri tidak pasti dari mana sumber asli tentang kisah ini. Namun begitu, dari kisah ini, kita dapat ketahui bahawa Uwais al-Qarni merupakan seorang anak yang sangat taat kepada ibunya dan sanggup berbakti kepada ibunya yang uzur.

khidmat pada ibu

Imej via Rusydee Artz

Berbuat baik kepada ibu bapa adalah perintah Allah swt kepada setiap insan yang bergelar anak. Malah, keredhaan Allah swt juga terletak pada keredhaan ibu bapa. Seperti mana hadis Nabi saw,

رِضَا الرَّبِّ فِى رِضَا الْوَالِدَيْنِ وَسُخْطُهُ فِى سُخْطِهِمَا

Maksudnya, “Redha Allah terletak pada redha kedua orang tua dan murka Allah terletak pada murka kedua orang tua.” (HR at-Tabrani)

Mudah-mudahan, kisah Uwais al-Qarni ini menjadi inspirasi kepada kita semua agar berbakti kepada ibu bapa selagi hayat mereka ada. Jika mereka telah pergi menghadap Ilahi, menjadi tanggungjawab kita sebagai anak untuk mendoakan kebahagian serta kesejahteraan ibu bapa di alam sana.

Rujukan:

  1. Mutiara Hadis
  2. Hadis Sahih
  3. Nu
  4. Abinyaraaf
  5. IluvIslam

Artikel Menarik Lain

Bagaimana dengan artikel berkenaan Kisah Uwais al-Qarni yang dikongsikan? Anda dapat manfaat?

Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk nd abaca iaitu:

Penulis: Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.