Sesetengah ibu bapa mendidik anak-anak mereka dengan memberitahu mereka mengenai cerita kisah-kisah dahulu supaya ianya dapat memberikan teladan kepada anak-anak. Hal ini kerana segelintir daripada anak-anak hanya boleh menerima didikan yang penuh kelembutan sahaja.
Mari kita lihat kisah yang dikongsikan oleh Dr Ahmad Sanusi mengenai kenapa Nabi Isa sentiasa dalam diberkati oleh Allah.
1. Dalam Surah Maryam, Allah menceritakan kepada kita tentang kelebihan Nabi Isa yang mampu bertutur ketika masih bayi lagi. Beberapa dialog pertuturan beliau direkodkan di dalam al-Quran. Salah satunya adalah:
وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنْتُ
Maksudnya: “Dan Allah menjadikan aku sentiasa diberkati di mana sahaja aku berada.”
2. Melalui ayat ini, Allah memberikan kepada kita gambaran bagaimana Nabi Isa ini adalah seorang lelaki yang sentiasa diberkati di mana sahaja beliau berada. Timbul persoalan di sini, apa yang membuatkan beliau sentiasa diberkati Allah setiap masa?
3. Ketika menafsirkan ayat ini, Mujahid ibn Jabr menjelaskan bahawa Nabi Isa sentiasa diberkati kerana sifatnya yang sentiasa mengajar manusia kepada kebaikan. Sifat manusia yang sentiasa memberikan manfaat kepada orang lain akan menjadikan mereka sentiasa diberkati. Mereka sentiasa dihormati, dikurniakan rezeki yang tidak disangka bahkan disayangi sekalian makhluk.
4. Atas dasar itu, al-Imam Ibn al-Qayyim menyimpulkan satu formula penting tentang erti keberkatan. Kata beliau:
فإن بركة الرجل تعليمه للخير حيث حلَّ
Maksudnya: “Sesungguhnya keberkatan seorang lelaki itu adalah pada sifatnya yang mendidik manusia kepada kebaikan di mana sahaja dia berada.” Bererti, mengajar manusia kebaikan adalah satu profession yang sangat diberkati.
5. Bahkan mereka yang mendidik manusia kepada kebaikan akan menerima pahala seperti orang yang melakukan kebaikan tersebut, sekalipun mereka sekadar mengajarnya sahaja. Sabda Rasulullah:
من دل على خير فله مثل أجر فاعله
Maksudnya: Barangsiapa yang mengajarkan manusia kebaikan, maka dia akan menerima pahala sepertimana orang yang melakukan kebaikan tersebut (kesan dari didikannya tadi).
Dengan perkongsian ini, diharapkan akan dapat membantu ibu bapa mengingatkan anak-anak dan diri sendiri bahawa untuk sentiasa berbuat baik dan berusaha untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah S.W.T. Hal ini disebabkan tanpa keberkatan hidup kita tidak akan menjadi tenang.
Artikel ini telah diterbitkan dengan kebenaran penulis. Untuk post yang asal pembaca boleh rujuk di sini.