Saya nak kongsikan satu cerita tentang seseorang yang saya rasa setiap pelajar/mahasiswa dan semua yang bergelar “anak” wajib baca.
Wajib baca sebab apa yang dilakukan oleh insan luar biasa ini akan buat sesiapa saja ternganga, terinsipirasi, dan sukar untuk kita percaya dengan apa yang dilakukannya.
Beliau ialah pelajar di fakulti tempat saya mengajar, tapi dari jabatan lain. Saya tidak pernah berpeluang mengajarnya. Suatu hari dia ketuk bilik saya untuk ambil hadiah. Beliau memenangi satu pertandingan yang dianjurkan oleh fakulti dan saya adalah staf yang in-charged.
Lama kami berborak. Entah kenapa, saya begitu berminat untuk mengenali beliau. Dari caranya menyapa saya saja saya dah tahu dia bukan pelajar biasa-biasa.
Dari satu cerita yang kami bualkan kepada cerita yang lain, tak henti-henti saya ter-wow dengan kisahnya.
Saya tak teruja beliau sedang mengambil ijazah dalam bidang kejuruteraan (tahun tiga, semester depan akan melangkah ke tahun terakhir). Juga bukan kerana jawatannya sebagai Presiden Kolej walaupun saya tahu itu adalah jawatan tertinggi di kolej.
Tapi ini yang buat saya tak habis-habis memuji, kagum dan terinspirasi dengan anak muda yang di depan saya waktu itu:
Dalam kesibukannya melaksanakan tugas-tugas sebagai Presiden dan dalam perjuangannya mendapatkan degree dalam bidang kejuruteraan, dalam masa yang sama rupanya beliau tiada biasiswa, tidak mengambil ptptn dan tidak meminta wang dari mak ayah. Dan ia telah berlaku sejak sebelum masuk ke universiti lagi (diploma).
Terus terang saya cakap tuan-puan. Saya tidak pernah terjumpa kes macam ni. Hidup betul atas kaki sendiri pada usia belum pun cecah 20an.
Memang saya kagum, sebab saya sendiri belajar menggunakan duit biasiswa. Saya tidak pernah berada dalam situasi yang mana saya perlu tanya diri sendiri ‘Macamana nak bayar yuran semester depan? Setiap hari perlu memikirkan ‘Macamana nak cover duit makan minggu ni?’ Bila pensyarah suruh beli buku, pening kepala ‘Mana nak dapat duit?’
Allahuakbar.
Hebat adik ni. Bila saya tanya kenapa?
Katanya,
‘saya taknak susahkan mak ayah saya’
Ya Allah, nak menangis saya dengar. Baiknya adik depan mata saya ni. Beruntung mak ayahnya mendapat anak sepertinya.
Saya tanya lagi, ‘habis, macamana Radiah tanggung hidup sendiri? Bayar yuran pengajian? makan minum setiap hari macamana?
Jawabnya, dia bekerja part-time. Sambil belajar sambil bekerja menjaga sebuah kedai di kampus. Gajinya tak banyak, tapi dapatlah juga menampung hidupnya.
Saya tanya balik: ‘Sambil jadi Presiden kolej?’ Dia hanya mengangguk, tersenyum simpul. Masha Allah, macamana dia buat saya pun tak tahu.
Tak cukup dengan itu, rupanya ada satu lagi ‘permata’ anak solehah ini. Ini satu lagi perkara yang jarang saya jumpa di kalangan pelajar. Malah saya sendiri tidak sepertinya ketika belajar dahulu.
Kalau anda ingin tahu, di samping belajar, bekerja dan juga menjadi Presiden, rupanya beliau juga sibuk dengan beberapa perkara.
Antaranya ialah berkarya (menulis cerpen, buku). Beliau menghantar karya-karyanya ke penerbit-penerbit buku dan majalah. Jika karyanya diterima, dari situ beliau mendapat sumber kewangan.
Salah satu cerpen yang ditulisnya itu jugalah yang menemukan kami berdua. Kerana beliau memenangi pertandingan menulis esei yang dianjurkan oleh fakulti.
Saya jadi bertambah pelik. Sebab saya tahu, menulis bukan kerja 5-10 minit. Ia boleh mengambil masa berejam-jam untuk mencari idea, menulis ayat-ayat yang sedap, memperbaiki ayat.
Saya tak puas hati, saya tanya dia “Eh, bila masa pula awak menulis?” Sambil tersenyum beliau menjawab “saya memang minat menulis, Dr. Kalau saya stress, saya menulis. Dapat hilang stress. Dan dapat buat duit”
Allahuakbar. Bagus betul cara anak muda ni hilangkan stress.
Tak cukup dengan menulis, beliau juga terlibat dengan bisnes menjual susu kambing kalau tak silap saya. Inilah antara sumber kewangannya. Dan yang terakhir diceritakannya kepada saya ialah beliau sedang mengikuti kursus menjahit.
‘Hah, kursus menjahit? Banyaknya dia buat’ saya mengomel sorang-sorang.
Agaknya bila tengok bertambah kerut-kerut di dahi saya, beliau bercerita “Saya plan nak buat bisness jual jubah muslimah nanti Dr. Sebab tu saya kena belajar dulu macamana nak handle bisness jubah ni. Sebab saya nak keluarkan jubah yang ada design saya sendiri”
Masha Allah. Hebat adik ni. Tuan puan boleh bayangkan tak? Dalam kesibukannya belajar, memegang jawatan sebagai Presiden kolej, bekerja part-time, menulis dan buat bisness untuk cari sumber pendapatan, beliau masih sempat ada masa untuk belajar benda lain yang takde kena mengena pun dengan degree beliau.
Menjahit tiada kena mengena dengan degreenya. Tapi oleh kerana beliau nampak itu adalah satu kemahiran yang sangat berguna, yang sangat penting..yang nanti boleh jana kewangan untuknya, dia cari ilmu itu. Invest duit, invest masa. Ya, sekarang waktu sedang belajar lagi.
Sebab beliau faham, bila masuk ke dunia sebenar nanti, satu realiti yang mesti dihadapi ialah duit gaji sebagai engineer tak cukup. Kos sara hidup semakin meningkat. Gaji permulaan 2-3 ribu mana nak cukup nak bayar duit kereta, duit rumah, segala bil yang datang tiap-tiap bulan. Mana nak bagi duit kat mak ayah lagi. Nak tolong adik-beradik lagi yang masih kecil dan bersekolah. Mana nak menyimpan. Duit nak kahwin. Itu belum cerita kalau dah ada anak dan segala macam keperluannya.
Itulah sebabnya beliau tidak hanya fokus pada degreenya tetapi juga mencari ilmu-ilmu lain, mengembangkan kemahiran dan bakat lain dalam diri supaya nanti bila keluar universiti, beliau lebih mudah untuk menghadapi dunia yang sebenar. Dunia yang nak masuk toilet di tempat awam pun berbayar. Air kosong pun dah 50 sen.
Masha Allah, pada saya beliau bukan saja anak yang baik, punya kepimpinan luar biasa..malah juga bijak. Bijak mempersiapkan dirinya untuk kehidupan yang sebenar. Yang lagi setahun ni beliau akan melangkah masuk.
Dan saya yakin, waktu itu segalanya akan mudah. Dari sudut menguruskan hidup, mencari sumber kewangan, menghadapi tekanan. Kerana ia telah diasah.
Cerita tentang Radiah, azamnya, kematangannya, apa yang dilakukannya, selalu saya kongsikan dengan anak-anak didik. Mereka yang selalu hantar assignment ‘last minute’ dengan alasan banyak tugasan perlu dihantar walaupun sebenarnya mereka tidak memegang jawatan, tidak bekerja part-time, tidak perlu mencari duit kerana ada ptptn, ada biasiswa, dapat duit dari mak ayah. tapi masih juga buat kerja ‘last minute’.
Mereka perlu dibuka hati dan mindanya bahawa hidup dalam dunia sebenar, yang lagi 2-3 tahun nak melangkah masuk, tidak semudah sekarang ketika mereka di universiti. Ada masa bukan sepatutnya diguna untuk lepak-lepak di uptown, bersembang di kedai mamak atau main game sampai pukul 3 pagi.
Sepatutnya mereka spend masa untuk asah bakat, kemahiran, potensi yang mereka ada. Supaya nanti tidak hanya bergantung pada gaji yang selang seminggu dua dah habis.
Dan saya yakin, semua orang punya potensi masing-masing. Allah jadikan kita perfect. Dan Allah kan adil. Kalau Dia jadikan orang lain boleh dapat rezeki banyak dengan buat kek coklat, tentu kita juga ada potensi tertentu dalam diri yang boleh menjemput rezeki Allah. Kerja kita, discover potensi diri dan asah agar ia menjadi kemahiran yang bernilai. Bukan hanya fokus pada akademik atau aktiviti ko-kurikulum.
Saya harap jika perkongsian ini bermanfaat, kongsikannya dengan yang lain. Supaya adik-adik kita, kawan-kawan kita, anak-anak kita, pelajar-pelajar kita lebih bijak menghadapi kehidupan yang sebenar.
Radiah ialah satu kisah yang real. Kalau beliau boleh melakukannya, kenapa tidak orang lain?