Ubi keledek enak dimakan dengan cara goreng, rebus atau dijadikan antara bahan masakan untuk membuat kek, kuih, hidangan savouri dan sebagainya. Tahukah anda, ubi keledek sebenarnya mengandungi banyak khasiatt kesihatan?!

Pengenalan

Ubi keledek atau nama saintifiknya Ipomoea batatas tergolong dalam famili Convolvulacaeae. Pokoknya jenis menjalar dengan penghasilan ubi dalam tanah pada akarnya.

Ubi keledek mempunyai variasi warna seperti putih, merah, merah jambu, kuning, ungu dan oren. Semakin terang warna ubi keledek, semakin manis rasanya berbanding ubi keledek yang berwarna putih.

Tidak hairanlah ubi keledek turut dikenali sebagai sweet potato (kentang manis).

Antara negara pengeluar terbesar ubi keledek di dunia ialah China, diikuti Malawi, Nigeria, Indonesia dan Ethipia. Sementara itu, negara yang paling banyak mengambil ubi keledek dalam hidangan seharian ialah China, Nigeria dan Tanzania.

Imej via Bidadari

Khasiat Ubi Keledek

1. Membekalkan tenaga

Ubi keledek merupakan antara sumber karbohidrat yang baik bagi menggantikan makanan seperti nasi, roti, kentang dan gandum.

Berdasarkan analisis makmal, setiap 100 gram hidangan ubi keledek membekalkan hampir 400 kJ tenaga dengan 20.7 gram karbohidrat.

2. Kaya dengan nutrisi

Ubi keledek mengandungi banyak mikronutrien yang membantu meningkatkan kesihatan tubuh badan. Berikut disenaraikan beberapa khasiat nutrisi tersebut berdasarkan ulasan-ulasan kajian lepas:

  • Vitamin B6 membantu mengurangkan larutan kimia homosisteina di dalam badan. Homosisteina dikaitkan dengan penyakit degeneratif termasuk serangan jantung.
  • Vitamin C adalah penting untuk pembentukan tulang dan gigi, penghadaman, dan pembentukan sel darah. Ia juga baik untuk menyembuhkan selesema dan virus influenza. Vitamin C juga mempercepatkan penyembuhan luka dan menghasilkan kolagen yang membantu mengekalkan keanjalan kulit bak remaja.
  • Kandungan zat besi di dalam ubi keledek menyokong sistem imun dan memastikannya berfungsi dengan baik di dalam badan. Ia memberikan tenaga, membantu pengeluaran sel darah putih, menentang stres, dan memetabolismekan protein.
  • Ubi keledek merupakan sumber magnesium. Magnesium penting untuk kesihatan arteri darah, tulang, jantung, otot, dan fungsi saraf.
  • Potassium yang diketahui ada di dalam pisang juga turut ada di dalam ubi keledek. Potassium mengawal degupan jantung dan signal saraf. Ia juga melegakan pengecutan otot, mengurangkan bengkak, dan melindungi serta mengawal aktiviti buah pinggang.

3. Anti-oksidan tinggi untuk pencegahan kanser

Memakan ubi keledek membantu melindungi badan dari toksin yang membawa kepada serangan radikal bebas dan risiko kanser.

Warna oren pada ubi keledek menunjukkan yang ia tinggi karotenoid seperti beta karoten dan sejenisnya. Karotenoid membantu menguatkan penglihatan dan menggalakkan ketahanan kita kepada penyakit. Ia merupakan antioksidan kuat yang mencegah kanser dan melindungi diri daripada tanda-tanda penuaan.

Kajian yang dijalankan oleh Universiti Harvard menunjukkan ada 32% pengurangan risiko penyakit kanser paru-paru pada mereka yang memasukkan karotenoid dalam diet mereka. Karotenoid juga membantu mengurangkan kemungkinan serangan semula kanser pada tubuh.

4. Serat tinggi untuk sistem pencernaan yang baik dan kawalan berat badan

Imej via Bidadari

Makanan tinggi serat adalah sangat penting bagi memberikan fungsi sistem pencernaan dan penghadaman yang baik tanpa menyebabkan masalah sembelit atau penyerapan nutrisi yang tidak lengkap.

Serat juga membantu memberikan rasa kenyang lebih panjang, maka boleh dimanfaatkan untuk tujuan mengawal berat badan atau pencegahan obesiti.

Menurut kajian oleh sekumpulan penyelidikan di Jepun pada tahun 2000 yang diterbitkan di jurnal berprestij Food Chemistry, ubi keledek mengandungi serat yang sangat tinggi yang bagus untuk sistem penghadaman.

Malah, amalan makan ulam-ulaman pucuk keledek juga sebenarnya sangat bagus untuk kesihatan kerana berdasarkan analisis makmal mereka, daun keledek mengandungi serat yang paling tinggi antara semua bahagian.

5. Pencegahan diabetes dan mengurangkan paras gula dalam darah

Ubi keledek dilaporkan mengandungi antara tahap anthocyanin dan asid fenolik yang tertinggi jika dibandingkan dengan sayuran komersial yang lain.

Melalui kajian oleh saintis di Kyushi University, Jepun pada tahun 2002, kandungan anthocyanin yang tinggi mampu mengurangkan tahap gula dalam darah dengan merangsang penghasilan insulin untuk menukarkan gula menjadi tenaga dalam darah.

Kajian mereka menunjukkan simulasi tindakan anthocyanin tersebut pada peringkat selular yang memberi kesan antihyperglycemic (antidiabetes) ke atas tikus makmal.

6. Makanan yang memberi gizi dan diet seimbang

Selain ubi keledek sebagai sumber karbohidrat yang baik, daunnya turut menawarkan khasiat kesihatan yang terbaik!

Menurut kajian Kementerian Pertanian China pada tahun 2014, daun ubi keledek mengandungi protein yang sama dengan protein yang terdapat dalam minuman susu. Selain tinggi mineral dan serat, polifenol yang merupakan antioksidan berharga terkandung dalam daun ubi keledek.

Kajian tersebut menyimpulkan bahawa daun keledek boleh dijadikan sebagai makanan lengkap untuk menangani isu diet gizi tidak seimbang dengan kos yang sangat rendah dan lebih ekonomi.

Kesimpulan

Pengeluaran ubi keledek di Malaysia tidak tinggi. Ini memberi kerajaan idea untuk memperkenalkan beberapa lagi jenis keledek baharu. Keledek yang berwarna ungu itu mempunyai kandungan antioksida, antosianin dan pelbagai lagi khasiat.

Apa jua pilihan ubi keledek anda kelak, semuanya kaya dengan nutrisi. Maka, ambil peluang ini untuk meletakkannya dalam menu anda bagi mendapatkan khasiat yang terbaik.

Imej via Bidadari

Rujukan

  1. Ishida, H., Suzuno, H., Sugiyama, N., Innami, S., Tadokoro, T., & Maekawa, A. (2000). Nutritive evaluation on chemical components of leaves, stalks and stems of sweet potatoes (Ipomoea batatas poir). Food Chemistry68(3), 359-367. (link)
  2. Islam, S. (2006). Sweetpotato (Ipomoea batatas L.) leaf: its potential effect on human health and nutrition. Journal of Food Science71(2), R13-R121. (link)
  3. Matsui, T., Ebuchi, S., Kobayashi, M., Fukui, K., Sugita, K., Terahara, N., & Matsumoto, K. (2002). Anti-hyperglycemic effect of diacylated anthocyanin derived from Ipomoea batatas cultivar Ayamurasaki can be achieved through the α-glucosidase inhibitory action. Journal of agricultural and food chemistry50(25), 7244-7248. (link)
  4. Ravindran, V., Ravindran, G., Sivakanesan, R., & Rajaguru, S. B. (1995). Biochemical and nutritional assessment of tubers from 16 cultivars of sweet potato (Ipomoea batatas L.). Journal of agricultural and food chemistry43(10), 2646-2651. (link)
  5. Sun, H., Mu, T., Xi, L., Zhang, M., & Chen, J. (2014). Sweet potato (Ipomoea batatas L.) leaves as nutritional and functional foods. Food chemistry156, 380-389. (link)

 

Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri bin Mohd Yusof.

 

Penulis: Lily Izzuan

Seorang yang simple dan berpegang pada prinsip bahawa sesuatu yang baik itu perlu dikongsi. Merupakan salah seorang penyumbang artikel di Bidadari.my. Mencari artikel yang menarik yang ada.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.