Wah nak tahu khasiat petai? Jom baca artikel ini sampai habis.

Pengenalan

Petai atau nama saintifiknya Parkia speciosa merupakan sayuran atau ulaman yang selalu digunakan dalam pemakanan dan masakan masyarakat Asia Tenggara khususnya Indonesia, Thailand, Filipina dan Malaysia.

Nama “petai” digunakan di Malaysia dan Indonesia tetapi di Thailand, petai dikenali sebagai “sataw” manakala orang Jepun memanggilnya “nejirefusamame”. Petai biasanya dijual dalam bentuk buah atau yang sudah dikupas bijinya.

Kandungan Nutrien Petai

Petai mengandungi tiga gula semulajadi iaitu sukrosa, fruktosa dan glukosa. Digabungkan dengan serat, petai memberikan, meningkatkan kadar segera dan berterusan tenaga.

Jika dibandingkan dengan epal, petai mengandungi 4 kali lebih banyak protrin, dua kali ganda lebih banyak karbohidrat, tiga kali ganda fosfor, lima kali lebih Vitamin A dan zat besi, dan dua kali ganda jumlah vitamin dan mineral lainnya.

Berdasarkan kajian, buah petai yang berbintil-bintil pada papannya dikatakan mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding tumbuhan hutan yang lain, iaitu sebanyak 8%, 11% karbohidrat, 71% air, banyak mengandungi kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1 dan C.

khasiat petai

Sumber: Kawaiibeautyjapan

Jom ketahui apakah khasiat petai.

1. Mengawal sindrom PMS (sindrom pra-haid)

Vitamin B6 petai membantu mengawal atau meneutralkan paras gula dalam darah dan membantu wanita yang mengalami mood tidak stabil ketika berdepan sindrom premenstrual.

2. Mengatasi kemurungan

Imej via Bidadari

Keputusan kaji selidik dalam kalangan orang yang mengalami kemurungan, kebanyakan daripada mereka kembali pulih selepas makan petai.

Ini kerana petai mengandungi tryptophan, sejenis protein yang badan bertukar kepada serotonin, yang yang dapat menjadikan orang lebih relaks, gembira dan menjadi emosi lebih stabil.

3. Mengatasi anemia

Zat besi yang tinggi di dalam biji petai boleh merangsang pengeluaran hemoglobin dalam darah dan seterusnya membantu dalam kes-kes anemia atau pesakit kekurangan darah.

4. Menurunkan tekanan darah tinggi 

Kandungan kalium dalam petai dengan kandungan rendah garamnya baik untuk menurunkan tekanan darah tinggi dan mengurangi risiko strok.

Malah, US Food and Drug Administration (FDA) telah  menyenaraikan petai sebagai buah yang mampu mengurangkan risiko tekanan darah dan strok.

5. Meningkatkan kecerdasan otak

Imej via Bidadari

Khasiat petai lain ialah kemampuannya di dalam meningkatkan kekuatan tenaga minda. Ini berdasarkan laporan di USA yang dijalankan di mana petai diberikan kepada pelajar semasa sarapan sebelum peperiksaan.

Kajian terhadap 200 pelajar sebuah sekolah di Twickenham telah membuktikan pelajar yang terlibat memakan petai dapat meningkatkan kuasa otak mereka dan membantu mereka lebih segar, bertenaga dan memberi tumpuan dalam pembelajaran.

6. Menghilangkan sembelit

Petai juga dapat mengatasi masalah sembelit. Petai mengandungi tinggi serat dan boleh membantu penghadaman dan menggalakkan pembuangan air besar tanpa menggunakan julat.

Petai boleh membantu memulihkan tindakan usus yang normal.

7. Menghilangkan keletihan

Cara terbaik untuk mengurangkan keletihan ialah dengan mengikuti petua tradisional membuat jus petai dicampur dengan dengan madu.

Secara saintifiknya, kedua-dua bahan petai dan madu membekalkan tenaga dan kalori untuk tubuh lebih bertenaga.

8. Menghilangkan pedih ulu hati

Petai mempunyai kesan anti-asid semula jadi dalam badan, jadi jika anda mengalami pedih ulu hati, cuba makan petai untuk mengurangkan kesan kesakitan.

9. Mengurangkan kegatalan kesan gigitan nyamuk

Satu amalan yang biasanya dilakukan orang kampung ialah menggunakan kulit petai untuk mengurangkan kesan gatal gigitan serangga dan nyamuk.

Kulit petai digosok pada bahagian yang kena gigit. Insya Allah, rasa gatal, sakit, bengkak, kerengsaan atau lebam akan beransur kurang.

10. Menenangkan sistem saraf 

Petai yang tinggi vitamin B  membantu menenangkan sistem saraf.

11. Menurunkan berat badan

Kajian di Institut Psikologi di Austria mendapati tekanan kerja menjadi punca pengambilan makanan berlebihan. Dengan memakan petai, kita dapat mengawal badan daripada ketagih mengambil makanan berkarbohidrat tinggi.

Secara tidak langsung, dengan cara itu dapat mengatasi masalah berat badan berlebihan.

12. Menghilangkan ulser

Petai mampu meneutralkan lebihan asid dan mengurangkan kerengsaan oleh salutan lapisan perut. Jadi, ia dapat membantu mengatasi penyakit ulser.

13. Menurunkan suhu badan

Petai dianggap “penyejuk” dan boleh menurunkan suhu fizikal dan emosi, termasuk kepada ibu-ibu mengandung.

Di Belanda, sebagai contoh, wanita hamil makan petai untuk memastikan bayi yang dilahirkan dengan suhu yang sejuk.

14. Menghilangkan ketagihan rokok

Imej via Bidadari

Petai juga boleh membantu orang yang cuba untuk berhenti merokok.   Petai yang kaya dengan kandungan vitamin B6, B12, serta kalium dan magnesium dapat membantu badan pulih daripada kesan-kesan nikotin terhadap tubuh.

Kalium (potasium) dan magnesium dalam petai boleh mengurangkan keinginan untuk merokok. Merokok adalah membahayakan kesihatan.  Biar mulut berbau petai daripada berbau rokok.

15. Mengatasi tekanan perasaan (stres)

Potassium atau kalium merupakan bahan mineral untuk kesihatan vital, yang membantu menormalkan degupan jantung, menghantar oksigen kepada otak dan mengimbangi kandungan air dalam badan anda.

Apabila kita tertekan, kadar metabolisme kita meningkat, sekali gus mengurangkan kadar potassium. Ini dapat diimbangi semula dengan bantuan snek petai yang tinggi potassium.

16. Mengatasi masalah cacing dalam badan

Petai juga dapat membunuh cacing di dalam perut dan usus di mana ia akan keluar bersama najis.

Penyelidik India pada tahun 2018 ada mengulas mengenai amalan pemakanan jeruk petai yang mengandungi probiotik atau bakteri baik yang datang dari bakteria asid laktik jeruk petai, yang sangat membantu menjaga kesihatan usus.

17. Merawat demam kuning

Terdapat petua tradisional yang mencadangkan bahawa bahagian daun petai boleh digunakan untuk merawat demam kuning. Caranya ialah dengan merebus daun petai di mana kemudian airnya diminum dan ulang beberapa kali.

Petua ini belum dibuktikan secara saintifik oleh mana-mana kajian klinikal lagi bagi membantu merawat masalah demam kuning.

18. Menghilangkan ketuat

Mereka yang ada ketuat pada badan, boleh mencuba petua tradisional untuk menghilangkannya dengan meletakkan biji petai pada bahagian yang berkenaan.

Gunakan plaster atau kain untuk melekatkan biji petai di bahagian ketuat itu.

19. Mengurang kemabukan

Terdapat petua yang mengesyorkan adunan petai bersama susu dan madu, adunan ini dipercayai dapat mengurangkan masalah kemabukan, kerana herba petai, madu dan susu dapat memperbaiki aras glukosa dan mengembalikan aras cecair badan ke tahap seimbang.

20. Mencegah serangan stroke

Salah satu penelitian yang dibuat oleh The New England Journal of Medicine menunjukkan bahawa dengan mengamalkan pemakanan petai dapat membantu untuk mengurangkan risiko  serangan stroke pada seseorang.

Sebatian biokatif peptida dalam petai dipercayai mengurangkan aktiviti enzim pertukaran angiotensin. Seterusnya, bertindak sebagai agen anti-hipertensi yang mengurangkan isipadu aliran darah dan meningkatkan pertukaran oksigen dalam darah bagi mengelakkan berlakunya kes stroke atau lumpuh.

21. Melancarkan sistem pencernaan

Petai mengandungi serat yang tinggi.

Oleh itu, serat dan fiber dalam petai mampu menstabilkan sistem pencernaan anda dan mengelakkan terjadinya sembelit, sakit perut, cirit-birit dan perut berangin.

22. Menghilangkan rasa senak ketika kenyang

Jika anda adalah orang yang selalu senak selepas makan, petai adalah ubat yang mujarab.

Petai mengandungi antiasid yang mampu mengurangkan rasa senak dan mual selepas makan.

23. Awet muda

Orang asli mempercayai dengan makan petai dapat mengekalkan muda agak tampak lebih muda. Jadi, tak perlui ubat mahal-mahal, makan petai sahaja sudah cukup. Kandungan flavonoid dalam biji-biji petai berfungsi sebagai agen antioksidan yang baik untuk kulit, memastikan kesegaran tubuh.

Menariknya, penyelidik dari Fakulti Perubatan AIMST, Kedah, melaporkan bahawa kandungan antioksidan dalam kulit buah petai adalah lebih tinggi daripada biji petai yang dikupas. Walaupun bahagian kulit petai ini boleh dimakan, tetapi ramai yang membuangnya menjadi sisa.

Dengan penemuan ini, adalah sangat digalakkan untuk memasukkan kulit petai beserta bijinya sekali dalam masakan atau ulaman anda!

khasiat petai

Sumber: Masakapaya

Rujukan

  1. Chhikara, N., Devi, H. R., Jaglan, S., Sharma, P., Gupta, P., & Panghal, A. (2018). Bioactive compounds, food applications and health benefits of Parkia speciosa (stinky beans): a review. Agriculture & food security7(1), 46.
  2. Kamisah, Y., Zuhair, J. S. F., Juliana, A. H., & Jaarin, K. (2017). Parkia speciosa empty pod prevents hypertension and cardiac damage in rats given N (G)-nitro-l-arginine methyl ester. Biomedicine & Pharmacotherapy96, 291-298.
  3. Rianti, A., Parassih, E. K., Novenia, A. E., Christpoher, A., Lestari, D., & El Kiyat, W. (2018). Potensi Ekstrak Kulit Petai (Parkia speciosa) sebagai Sumber Antioksidan. Jurnal Dunia Gizi1(1), 10-19.
  4. Zaini, N. A., & Mustaffa, F. (2017). Parkia speciosa as Valuable, Miracle of Nature. Asian Journal of Medicine and Health, 1-9.

Itulah khasiat petai yang ingin kami kongsikan. Sekiranya anda seronok membaca artikel ini, anda juga pasti akan sukakan perkongsian kami tentang khasiat gamat dan khasiat avokado.

 

Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.