Jom kenali khasiat peria.
Sayur peria memang terkenal dengan rasanya yang pahit. Tapi, sekiranya kena dengan cara masakan, peria yang pahit ini boleh bertukar menjadi satu hidangan lauk yang lazat.
Momordica charantia ialah nama saintifik bagi peria. Sayuran ini dipercayai berasal dari India, dan kini banyak ditanam di Asia, Afrika, dan pulau-pulau Caribbean. Ia dituai sebelum waktu matangnya dan semakin lama, rasanya menjadi semakin pahit.
Peria di Malaysia kebiasannya terdapat 2 jenis. Satu jenis bentuknya panjang dengan warna hijau muda dan satu jenis lagi juga dikenali dengan nama ‘peria katak’ iaitu yang lebih kecil saiznya dan berwarna hijau tua.
Orang tua-tua dahulu selalu menyebut bahawa makanan yang pahit adalah ubat dan penawar kepada penyakit. Oleh sebab itu, ia bagus diamalkan. Penggunaan peria dalam ubat tradisional bermula sejak 600 tahun yang lalu.
Pada masa ini, penyelidikan farmakologi dan ujian klinikal mendapati bahawa peria mengandungi beberapa manfaat kesihatan, terutamanya kesan hipoglikemik.
Peria digunakan terutamanya sebagai terapi alternatif untuk menurunkan tahap gula dalam darah pada pesakit dengan diabetes mellitus jenis 2. Ia adalah sayur yang hebat dan popular untuk mengatasi masalah kencing manis melalui ubat alternatif.
Unsur tertentu yang terkandung dalam peria, terutama polipeptida-P, mempunyai komposisi struktur yang serupa dengan insulin haiwan. Keseluruhan komposisi fitokimia peria terdiri daripada charantin, saponin steroid, dan alkaloid.
Charantin secara khusus menambah sintesis glikogen dalam sel-sel hati dan otot. Amalan pemakanan peria secara konsisten dapat memberikan kesan tambahan apabila diambil bersama-sama ubat hipoglikemik konvensional.
Mengamalkan peria dalam diet harian dapat membantu anda cepat sembuh daripada penyakit dan mengurangkan risiko anda terhadap jangkitan. Peria kaya dengan antioksidan yang membentuk sistem pertahanan yang kuat untuk melawan virus.
Sayuran ini dilaporkan kaya dengan vitamin C, iaitu salah satu antioksidan yang kuat. Antioksidan berfungsi untuk menyerang radikal bebas dalam tubuh dan menghilangkan sebatian lain yang berbahaya yang boleh menyebabkan risiko penyakit.
Peria juga dikenal pasti secara klinikal mengandungi flavonoid yang membantu meningkatkan kesihatan mata seperti α-karoten, β-karoten, lutein, dan zeaxanthin. Sebatian-sebatian ini menajamkan mata dan penglihatan pada waktu malam serta menurunkan degenerasi makula.
Selain itu, flavonoid juga memainkan peranan penting dalam anti-penuaan, menghapuskan radikal bebas yang berasal dari oksigen dan spesies oksigen reaktif yang boleh menyebabkan banyak komplikasi.
Peria juga boleh membantu mengurangkan gejala yang disebabkan oleh keadaan pernafasan seperti asma dan bronkitis.
Peria dilaporkan mempunyai ciri anti-histamin, anti-radang, dan anti-virus, yang menjadikannya sebagai makanan tambahan yang ideal untuk mengekalkan pernafasan yang baik.
Ia juga membantu anda untuk tidur lena.
Perubatan Cina tradisional dan Ayurveda telah menggunakan peria sebagai rawatan untuk penyakit kulit selama berabad-abad lamanya. Sebatian antifungus dan antibakteria yang terdapat pada peria melawan pelbagai jangkitan kulit termasuk kudis buta, dan juga psoriasi. Peria membantu menghentikan aktiviti guanylate cyclase yang bertanggungjawab untuk memburukkan lagi penyakit psoriasis.
Sapukan krim yang diekstrak dari peria ke kawasan kulit yang terjejas untuk mengurangkan bengkak dan kerengsaan.
Peria juga digunakan secara meluas untuk membantu menurunkan tahap kolesterol yang tinggi. Hal ini dapat menghalang risiko pembentukan plak atherosclerosis di dinding arteri darah, seterusnya mengurangkan risiko serangan jantung, penyakit jantung, dan strok.
Kajian sekumpulan penyelidik dari Taiwan pada tahun 2014 telah menemui kesan positif pengambilan peria ke atas sistem fisiologi tikus yang dijadikan model kajian.
Hasil kajian mereka membuktikan peranan peria sebagai sayuran yang berpotensi besar dalam bidang perubatan untuk meningkatkan aktiviti metabolisme, mengurangkan gula dalam darah dan mencegah keradangan.
Peria juga kaya dengan Vitamin K, iaitu nutrien penting yang berperanan dalam mengawal pembekuan darah normal. Selain itu, vitamin K juga membantu pengagihan kalsium di seluruh badan. Hal ini meningkatkan ketumpatan tulang dan mengurangkan risiko kerapuhan tulang. Individu yang mempunyai osteoporosis sangat digalakkan untuk amalkan pemakanan yang mengandung vitamin K seperti peria.
Kekurangan vitamin K boleh menyebabkan keretakan tulang, mudah lebam, kerosakan sistem pembekuan darah dan pendarahan haid yang berlebihan.
Radikal bebas mencari dan memusnahkan sel-sel yang sihat. Ia juga mempercepatkan penuaan dan menyebabkan banyak komplikasi termasuk kanser.
Peria kaya dengan antioksidan yang memerangi kesan radikal bebas serta meningkatkan imunisasi dengan mewujudkan pertahanan yang kuat untuk melawan penyakit. Antioksidan juga bersifat anti-kanser dan anti-karsinogen.
Ujian klinikal terkini dan kajian farmakologi memperlihatkan hubungan antara amalan pemakanan peria dan pengurangan tumor pada individu yang menghidap kanser payudara, serviks dan prostat.
Terdapat satu kajian lain yang dijalankan untuk menguji peranan peria dalam pencegahan kanser, sebagai alternatif kepada rawatan kemoterapi.
Menarik sekali, pengkaji dari Amerika Syarikat pada tahun 2016 telah berjaya sebatian antikanser daripada peria yang diberi nama peptida B-4.
Mereka mendapati bahawa rawatan selama 48 jam menggunakan sebatian ini berjaya merencatkan pertumbuhan sel kanser kolon.
Amalan pemakanan peria adalah selamat bagi kebanyakan individu dalam jangka masa yang pendek iaitu selama 3 bulan. Namun ada juga yang mengalami ketidak selesaan perut ketika mengamalkan peria. Namun begitu, keselamatan untuk jangka masa panjang tidak dapat dipastikan kerana tiada kajian terperinci untuk mengesahkannya.
Namun begitu, langkah berjaga-jaga perlu diambil oleh golongan tertentu untuk mengelakkan kemungkinan risiko-risiko yang boleh berlaku.
Peria berkemungkinan tidak sesuai dimakan oleh ibu hamil. Ini kerana, bahan kimia tertentu dalam peria mungkin akan menyebabkan pendarahan dan keguguran. Namun begitu, kesan sampingan terhadap ibu menyusu tidak dapat diketahui kesahihannya. Untuk keselamatan, adalah lebih baik sekiranya ibu menyusu juga mengelakkan amalan pemakanan peria.
Peria boleh menurunkan tahap gula dalam darah. Sekiranya anda menghidap diabetes dan mengambil ubat-ubatan untuk menurunkan gula darah anda, amalan pemakanan peria mungkin membuat penurunan gula darah anda terlalu rendah.
Oleh itu, anda perlu memantau tahap gula dalam darah anda secara teliti. Namun, adalah lebih baik, anda berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum mengamalkannya.
Terdapat kebimbangan bahawa peria mungkin mengganggu kawalan gula darah semasa dan selepas pembedahan. Berhenti memakan peria sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum tarikh pembedahan anda.
Walaupun rasa peria tersangat pahit, namun khasiatnya banyak untuk kesihatan kita. Ia terkenal sebagai penawar kencing manis kerana bertindak seolah-olah insulin dalam badan. Ia uga selamat diamalkan dalam jangka masa yang pendek.
Namun, bagi mereka yang menghidap penyakit, adalah disarankan agar anda berbincang dengan doktor anda sebelum anda mengamalkan peria sebagai alternatif rawatan penyakit anda.
Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri bin Mohd Yusof.