Nak tahu khasiat minyak kelapa dara?
Digelar superfood, minyak kelapa dara atau ‘virgin coconut oil’ (VCO), bukan sahaja digunakan dalam masakan, malah untuk kesihatan dan kecantikan. Ia mengandungi 1001 khasiat khazanah kesihatan yang tidak ternilai.
Menurut penyelidikan dari Institut Halal UPM Serdang, Mansor et al. pada tahun 2012, lemak yang terkandung dalam minyak kelapa dara datang dari jenis medium-chain fatty acids atau MCFAs yang baik untuk kesihatan.
Ramai yang bimbang dengan lemak yang terdapat dalam minyak kelapa dara, padahal ia mudah dihadam dan dengan cepat bertukar kepada tenaga. Lemak ini tidak disimpan di dalam badan sebagai lemak.
Ketika ini, Filipina merupakan pengeksport terbesar minyak kelapa dara di dunia. Di negara kita, ramai yang masih tidak sedar akan keistimewaannya, berangkali kerana terlalu biasa dengan kelapa yang mudah ditemui. Tetapi di luar negara, begitu banyak kajian dan penyelidikan dilakukan dan hasilnya begitu mengagumkan.
Jika mahu dihitung, terlalu banyak khasiat minyak kelapa dara. Ini adalah sedikit daripadanya:
Terdapat beberapa keistimewaan minyak kelapa dara yang masih belum diketahui ramai. Antara kelebihan yang dikongsi oleh penggunanya sebelum ini dan disokong oleh bukti saintifik adalah seperti berikut:
Kajian sains mendapati bahawa produk tumbuhan ini mengandungi bahan aktif biologi yang memberikan kebaikan kesihatan atau nutraseutikal. Kandungan antioksidan utama dalam minyak kelapa dara ialah tokoferol (pencegahan penyakit koronari dan kanser), tokotrienol (rawatan pelbagai penyakit), fitosterol (menurunkan kolesterol dalam darah) dan polifenol (meningkatkan metabolisme asid amino dalam usus).
Dengan pengambilan minyak kelapa dara juga, aktiviti merencat spesis oksigen reaktif (ROS) yang menyebabkan pengoksidaan dan penuaan dalam tubuh dapat ditingkatkan dengan penambahan aktiviti enzim seperti catalase dan superoksida dismutase.
Pada tahun 2009, para pengkaji dari Fakulti Sains Makanan dan Teknologi, UPM, mengulas penggunaan minyak kelapa dara ke atas haiwan dan manusia dalam penerbitan artikel di Trends in Food Science & Technology.
Kandungan asid lemak seperti asid laurik yang tinggi dalam minyak kelapa ini sebenarnya membantu kesan antimikrob bagi menghalang pertumbuhan bakteria berbahaya, contohnya E. coli dan Listeria monocytogenes.
Penggunaan minyak kelapa bersama minyak ikan dikatakan juga mengurangkan risiko tumor dalam kajian ke atas model haiwan.
Kajian ke atas populasi Polynesia yang mengamalkan pemakanan kelapa sebagai antara makanan ruji mereka tidak menunjukkan sebarang kesan komplikasi antara pemakanan kelapa dengan penyakit kardiovaskular. Hal ini menangkis dakwaan sesetengah pendapat yang mengatakan bahawa kelapa mengandungi minyak untuk menyebabkan masalah kardiovaskular.
Keradangan merupakan tindak balas imun badan untuk melindungi diri tetapi mengakibatkan kesakitan dan rasa tidak selesa. Radang di bahagian sendi dikenali sebagai arthritis dan boleh menyukarkan pergerakan dan urusan kerja seharian kita.
Rawatan arthritis menggunakan ubatan moden telah mendatangkan kesan sampingan lain, maka, pelbagai alternatif lain terutamanya dari sumber semula jadi telah diterokai. Penggunaan minyak kelapa dara didapati berkesan dalam memberikan kesan terapeutik atau kelegaan kepada masalah sakit sendi ini.
Dalam kajian ke atas tikus makmal, dapat disimpulkan bahawa kandungan polifenol yang banyak dalam minyak kelapa dara menjadikannya berkesan sebagai bahan anti keradangan.
Minyak kelapa dara selain digunakan untuk memasak, boleh juga dijadikan sebagai minyak sapuan. Malah, ada yang menggunakannya sebagai minyak pelembab di bahagian yang sebelum ini kasar seperti di kawasan lutut, siku, bibir dan sebagainya yang menjadikan permukaan kembali licin. Tambahan juga, terdapat perubahan pada integriti kulit yang disapu dengan minyak kelapa dara ini.
Berdasarkan uji kaji di makmal, minyak kelapa dara merangsang aktiviti enzim glutathione dan superoksida dismutase. Hal ini membantu dalam kawalan kandungan radikal bebas yang menyebabkan penuaan pada sel dan tisu, lebih-lebih lagi di bahagian kulit.
Disebabkan minyak kelapa dara merupakan lemak makanan yang tidak tepu, adalah sangat selamat jika anda menggunakannya sebagai bahan masakan atau perasa. Malahan juga boleh dimakan begitu sahaja! Sebatian bioaktif di dalam minyak kelapa dara turut memberikan kesan peningkatan imun yang baik.
Dalam kajian perbandingan antara minyak kelapa dara, minyak jagung, minyak zaitun dan minyak ikan, dilaporkan bahawa minyak kelapa dara mempunyai kesan peningkatan imun yang tertinggi dalam menyingkirkan endotoksin yang disuntik ke dalam spesimen tikus makmal.
Jerawat atau acne pada muka boleh muncul disebabkan pelbagai faktor antaranya tekanan, perubahan hormon, pemakanan dan serangan bakteria seperti P. acnes.
Analisis makmal menunjukkan bahawa sebatian asid laurik di dalam minyak kelapa dara berkeupayaan untuk merencatkan pertumbuhan bakteria ini, seterusnya menghilangkan masalah jerawat pada muka. Tambahan lagi, kesan anti jerawat minyak kelapa dara ini adalah lebih tinggi berbanding penggunaan benzoyl peroksida iaitu sebatian kimia yang sering digunakan di dalam produk penjagaan wajah.
Walaupun minyak kelapa dara ialah sejenis lemak makanan, menariknya, berdasarkan laporan kajian saintifik lepas, penggunaan minyak ini boleh melindungi jantung dan merendahkan kolesterol serta tekanan darah.
Komposisi lemak dalam minyak kelapa dara sebagaimana yang dibincangkan di permulaan artikel, merupakan rantaian sederhana asid lemak, maka, apabila masuk ke dalam tubuh, sebatian lemak ini melalui hati untuk diproses tetapi tidak akan ditukarkan kepada kolesterol. Malah, proses ini akan menyumbang sebagai bekalan tenaga kepada tubuh kita.
Minyak kelapa dara sebenarnya sudah lama menjadi makanan dan kegunaan harian di beberapa negara di dunia. Ketika ini, ia sudah mendapat tempat dalam kalangan orang Barat pula dengan menjadikannya menu makanan dalam diet seharian mereka.
Kajian menunjukkan mereka yang minum atau menggunakan minyak kelapa dara berada dalam keadaan sihat dan tanpa masalah jantung. Jadi bagi mendapatkan hasil yang terbaik, pilih minyak kelapa dara dan bukan minyak kelapa yang lain.
Selain khasiat minyak kelapa dara, kami juga menulis khasiat sumber yang lain yang tidak diketahui ramai. Jom baca dan jangan lupa untuk share di Facebook jika artikel yang dikongsi menarik.
Artikel ini telah dikemas kini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof.