Nak tahu apa khasiat kunyit hidup ataupun kita kenali dengan nama ibu kunyit?
Jom baca artikel ini!
Khasiat ibu kunyit dalam perubatan tradisional di serata dunia tak perlu didebatkan lagi. Terlalu banyak khasiatnya dalam bidang kecantikan kulit wajah, untuk ibu berpantang, penjagaan kesihatan dan sebagainya. Tak hairanlah nenek moyang kita mengamalkan penggunaan ibu kunyit dalam kehidupan harian.
Di nusantara, selatan Asia dan timur tengah, kunyit selalu digunakan sebagai bahan masakan. Malahan, ia terkenal sebagai antiseptik untuk merawat luka, lulur untuk kecantikan kulit.
Di Malaysia sendiri, kunyit menjadi rempah utama dalam masakan tradisional seperti rendang, tempoyak dan masak lemak cili padi. Rasanya yang unik dan warna kuningnya dalam masakan membangkitkan selera.
Namun, bila dikatakan ibu kunyit lebih banyak khasiatnya. Hati tertanya-tanya pula. Ada beza ke kunyit biasa dengan ibu kunyit? Menurut Puan Suzima Hazish, iaitu pengasas jamu SuzyHoney Herbs, ibu kunyit mempunyai kuasa khasiat yang tinggi.
Jika nak tanam kunyit, biasanya kita akan menanam bahagian rizomnya yang cukup matang. Rizom ini biasanya dalam anggaran 4 cm. Rizom yang ditanam ni akan menghasilkan cambahan isi kunyit kepada saiz yang lebih kecil.
Rizom inilah yang dipanggil ibu kunyit iaitu umpama ibu kepada anak-anak yang akan bercambah. Warna ibu kunyit lebih gelap dan bersaiz besar berbanding anak-anak cambahannya. Menurut Puan Suzima, jika nak mengambil ibu kunyit, paling afdal sekali cabut bersama-sama dengan batangnya.
Dikatakan bahawa ibu kunyit mempunyai khasiat yang lebih tinggi berbanding anak-anak cabang yang bercambah tu. Jom kita baca khasiat ibu kunyit dalam kehidupan manusia.
Ibu kunyit paling meluas digunakan oleh ibu-ibu yang baru lepas bersalin. Dikatakan bahawa ibu kunyit dapat mengecutkan rahim selepas bersalin, membuang darah kotor dan sebagai pembersih dalaman wanita.
Biasanya ibu kunyit akan dimakan sebagai ulaman atau dibuat air rebusan. Air rebusan ni diminum untuk menyegarkan badan. Caranya ialah ambil sedikit ibu kunyit sebesar ibu jari, halia Bentong saiz ibu jari, 1 gelas air, 3 sudu gula kabung dan sedikit limau.
Ibu kunyit dikisar bersama-sama halia Bentong dengan segelas air dan kemudiannya ditapis. Air tapisan tu perlu direbus dan tambahkan segelas lagi air dan 3 sudu gula kabung. Perahkan limau dan bolehlah diminum.
Malah, sekumpulan penyelidik dari Iran pada tahun 2018 mengulas bahawa kunyit merupakan makanan yang selamat diamalkan dan tidak bersifat toksik,
Namun, mereka meletakkan kadar selamat pengambilan kunyit sebanyak 6 gram sehari untuk tempoh berturutan 4-7 minggu.
Bagi wanita yang mengalami masalah senggugut yang teruk, ibu kunyit dikatakan dapat melancarkan peredaran haid. Ia dapat mencairkan ketulan darah haid yang menyebabkan kesakitan kerana darah tak keluar dengan lancar.
Bagi pesakit anemia, ibu kunyit dapat meningkatkan pengeluaran sel darah merah. Pesakit boleh jadikan ibu kunyit sebagai ulaman atau minum air rebusannya.
Kajian tahun 2012 yang diterbitkan di Journal of Renal Nutrition, melaporkan keupayaan dan potensi ibu kunyit sebagai suplemen untuk melancarkan peredaran darah dan mengatasi masalah anemia.
Mereka juga mendapati bahawa ibu kunyit mampu mengurangkan risiko proteinuria (protein dalam air kencing), hematuria (darah dalam air kencing) dan tekanan darah tinggi.
Dalam perubatan Ayurveda, ibu kunyit dianggap sebagai antiseptik terbaik. Ia dijadikan antibakteria dan antivirus dengan kehadiran curcumin sebagai sebatian bioaktif utama kunyit.
Jika ada luka, kulit yang terbakar, lebam, digigit serangga dan sebagainya, kunyit yang ditumbuk kasar akan ditampal pada bahagian tersebut.
Jika anda mudah mendapat demam dan selsema, minumlah air kunyit untuk mengatasi masalah ni. Ia dapat meningkatkan imun badan untuk melawan penyakit. Caranya ialah ambil beberapa ketul ibu kunyit dan tumbuk hingga hancur. Campur dengan sedikit air dan ditapis. Minum airnya 3 kali seminggu.
Selain itu, kandungan curcumin dalam kunyit telah banyak dilaporkan berkesan sebagai bahan antioksidan untuk membantu meningkatkan sistem pertahanan tubuh.
Sebagai contoh, para penyelidik India pada tahun 2004, melaporkan bahawa curcumin merangsang penghasilan mucin dalam dinding perut untuk melindungi sistem pencernaan dan mengelakkan penyakit berkaitan seperti perut meragam, cirit-birit dan masalah penghadaman.
Wanita Jawa menggunakan ibu kunyit dan air asam jawa sebagai jamu untuk melangsingkan badan. Sebab itulah kebanyakan wanita Indonesia mampu memakai kebaya walaupun sudah berusia.
Caranya ialah ambil ibu kunyit sebanyak segenggam dan dihiris. Sedikit asam jawa, gula merah, segenggam halia dihiris, air untuk merebus, daun pegaga secukupnya dan 1 atau 2 biji buah manjakani yang ditumbuk.
Masukkan kesemua bahan di dalam periuk dan masak sehingga mendidih. Kemudian, tutup api dan tapis. Minum secawan ketika air kunyit menjadi suam. Paling baik diamalkan sebelum makan. Air ini hanya diminum 1 hingga 2 kali seminggu.
Hal ini selari dengan penemuan saintis dari Korea yang menerbitkan hasil kajian mereka di Journal of Animal Science and Technology. Kajian ke atas tikus yang diberi makan kunyit yang ditapai ternyata menurunkan kandungan kolestrol dan tisu lemak adipos tikus berkenaan.
Mereka turut menyimpulkan bahawa ibu kunyit sesuai diamalkan buat mereka yang mengambil diet makanan berat sebagai langkah pencegahan obesiti.
Sel kulit mati di permukaan kulit yang tak dibuang akan mengakibatkan kulit muka menjadi kusam. Penggunaan ibu kunyit yang ditumbuk lumat boleh dijadikan skrub untuk eksfoliasi kulit wajah.
Kandungan di dalam ibu kunyit dapat mengelupas sel-sel kulit mati tanpa menyebabkan keradangan. Kulit akan menjadi cerah sekata, sihat dan berseri-seri. Cubalah!
Kandungan curcumin dan minyak pati yang terkandung dalam ibu kunyit terbukti secara makmal mampu memberi kesan anti keradangan.
Wanita di negara India menggunakan ibu kunyit untuk menangalkkan bulu-bulu roma di bahagian lengan, kaki dan atas bibir. Kunyit dijadikan masker yang sangat efektif bagi menangani masalah ni.
Caranya ialah tumbuk sedikit kunyit, kemudian campurkan dengan susu dan air mawar. Sapukan pada bahagian yang diinginkan. Biarkan sampai masker menjadi kering. Setelah 20 minit, cuci dengan air suam yang sedikit panas.
Jika tubuh terasa lesu dan penat, kita akan berasa malas untuk bergerak aktif. Rutin kerja yang tak pernah habis, kesibukan menguruskan hal rumah tangga dan anak-anak membuatkan kita jadi letih.
Ibu kunyit mempunyai khasiat untuk memberikan tenaga yang diperlukan oleh badan. Caranya ialah kisar sedikit kunyit hidup dengan secawan air. Tambahkan sesudu madu asli sebelum meminumnya. Anda mesti akan rasa perubahan dan kembali bertenaga. Kaum lelaki pun boleh cuba.
Sebagaimana yang dilaporkan dalam analisis makmal, ibu kunyit mengandungi sebatian memberi tenaga seperti protein (6.3%), lemak (5.1%), mineral (3.5%), karbohidrat (69.4%) dan air (13.1%).
Jika anda ada masalah kekurangan susu badan, kunyit hidup sangat baik untuk mengatasi masalah ni. Di India, kaum wanitanya menggunakan kunyit semasa tempoh penyusuan bayi mereka.
Anda boleh jadikan ibu kunyit sebagai ulaman dalam pemakanan harian. Jika tak mampu menelannya, boleh juga dijadikan jus. Caranya kisar sedikit kunyit hidup dengan air, tambahkan sedikit jus lemon.
Kajian penyelidik dari Amerika Syarikat yang berjaya mempatenkan makanan bar terdiri daripada rempah-ratus untuk meningkatkan penghasilan susu badan telah mengenal pasti ibu kunyit yang bersifat galactagogues atau menambah susu.
Namun, pengambilannya disarankan supaya tidak terlalu kerap dan dalam kuantiti yang sederhana (kajian tersebut menggunakan 20-30 gram ekstrak bahan galactagogues sahaja).
Apa pendapat anda tentang khasiat ibu kunyit yang disenaraikan ni? Jika nak dijadikan minuman, pastikan jangan diambil setiap hari. Dikatakan bahawa ibu kunyit memberi kesan panas pada tubuh badan.
Jika digunakan sebagai bahan kecantikan misalnya untuk dijadikan masker, jangan lupa mencuci muka dengan pencuci sehingga bersih. Kesan kuningnya tak begitu mudah ditanggalkan.
Pada pembaca yang dah cuba mana-mana petua yang dikongsikan ni, jangan lupa beritahu pengalaman dan pandangan anda kepada kami. Malah, jika ada petua-petua yang lain, sudi-sudilah berkongsi dengan pembaca yang lain. Semoga bermanfaat.
Jemput juga baca artikel khasiat taugeh dan khasiat daun lemuni
Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri bin Mohd Yusof.