Nak tahu khasiat buah durian belanda?

Pengenalan

Durian belanda atau nama saintifiknya Annona muricata berasal dari sekitar Peru, Mexico dan Argentina. Selain Asia Tenggara, durian belanda juga ditanam di Afrika dan Florida. Buah durian belanda mempunyai kulit yang berduri lembut, isi buahnya yang berwarna putih dan rasanya masam-masam manis yang sangat enak dimakan begitu sahaja atau dijadikan jus.

Kebanyakan pokok durian belanda ditanam di halaman rumah sebagai pokok hiasan. Secara komersil pula, pokok durian belanda ditanam di kawasan dengan saliran yang baik. Pokoknya boleh mencecah setinggi 8 sehingga 10 meter. Sebiji buah durian belanda boleh mencapai berat 3kg.

Di Malaysia, boleh dikatakan harganya agak mahal di samping agak sukar ditemui. Durian belanda  ini termasuk dalam 16 jenis buah-buahan tempatan yang diberi keutamaan oleh negara ekoran potensi yang boleh dimanfaatkan kepada pengguna.

Imej via Bidadari

Kebaikan Durian Belanda yang Harus Anda Tahu

#1 Kaya nutrien dan antioksidan

Buah yang kaya dengan vitamin C, vitamin B, dan beberapa lagi nutrien penyumbang antioksidan. Sedikit buah durian belanda dalam diet anda dapat memberi kesan kepada kesihatan. Vitamin C merangsang pembentukan sel darah, manakala antioksidan meneutralkan radikal bebas dan menghalang penyakit kronik.

#2 Sistem pencernaan dan penghadaman yang lebih baik

Daunnya juga boleh dijadikan minuman teh yang bagus untuk kesihatan serta mampu  ‘membersihkan’ perut dan memastikan sistem gastro-usus berfungsi dengan baik.

Selain itu, isi durian belanda kaya serat (3.3%) dan tinggi kandungan air (80%) . Nutrien ini sangat membantu bagi penjagaan sistem penghadaman yang baik.

#3 Meredakan stres dan insomnia

Teh daun durian belanda juga telah lama dijadikan bahan untuk mengurangkan stres dan kebimbangan. Ini sekaligus membantu mereka yang mengalami masalah sukar tidur atau insomnia.

#4 Penawar gout dan penyakit sendi

Anti keradangan yang didapati daripada durian belanda boleh melegakan kesakitan sendi akibat gout dan artritis.

Sebagaimana yang dilaporkan dalam kajian lepas, durian belanda kaya dengan bahan antiradang seperti alkaloid, flavonoid, terpenoid, courmarin, lakton, anthraquinon, tannin, cardiac gylycoside, fenol, fitosterol dan saponon.

Bahan-bahan ini boleh dijumpai dalam durian belanda ibarat satu pakej yang menguntungkan kita!

#5 Mengurangkan masalah pernafasan

Jika anda mengalami masalah berpunca daripada pernafasan seperti batuk, selesema dan yang berkaitan, pengambilan buah durian belanda boleh membantu menyembuhkan penyakit tersebut.

#6 Penjagaan awet muda dan anti penuaan

Biji durian belanda boleh dijadikan serbuk yang kemudian diformulasikan menjadi astringen kulit. Ia membantu mengurangkan garis dan kedutan pada wajah, lantas membaiki tanda-tanda penuaan seperti bintik pada wajah.

Dengan kandungan antioksidan yang tinggi, radikal bebas dapat dimusnahkan untuk memberikan keadaan sistem fisiologi tubuh yang lebih baik.

#7 Antikanser

Durian belanda membantu meningkatkan sistem imunisasi badan.. Kajian lepas menunjukkan durian belanda membantu mengelakkan penyakit kanser dan dikaji sebagai alternatif kepada rawatan kanser.

Sekumpulan penyelidik dari negara-negara Afrika pada tahun 2014 juga mendapati sebatian bioaktif dalam durian belanda mampu merencat pertumbuhan sel kanser tanpa mengganggu perkembangan sel normal yang sihat.

Antara kajian lepas yang melaporkan kesan antikanser durian belanda ialah melawan pertumbuhan kanser seperti paru-paru, payu dara, prostat, kolon, hati, limfoma dan pankreas.

Kesan Sampingan Buah Durian Belanda

Pun begitu, buah durian belanda ini dilarang untuk diambil secara kerap atau berlebihan mahupun kesan kepada golongan yang tidak sesuai. Ini kerana ianya akan meninggalkan beberapa kesan sampingan, seperti penyakit parkinson dan lain-lain, antaranya;

#1 Menjejaskan janin dalam kandungan

Wanita yang sedang hamil tidak digalakkan untuk memakan buah ini, kerana kandungan tenaga yang tinggi dalam sel-sel janin yang sedang berkembang akan mencetuskan racun  dan akan menjejaskan kesihatan ibu serta bayi dalam kandungan.

#2 Mengganggu kesihatan bayi yang menyusu

Memakan buah ini ketika menyusukan bayi adalah tidak sesuai, ataupun  tidak selamat kepada bayi tersebut.

#3 Penurunan berat badan drastik

Dalam kajian, pengambilan buah ini menunjukkan kemerosotan berat badan yang drastik jika diambil secara berlebihan. Jika anda mempunyai penyakit tertentu, adalah lebih baik jika mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

#4 Keradangan mata

Biji dan kulit pokok buah durian belanda ini dianggap toksik beracun seperti anonaine, asid hydrosianik, dan muricine yang boleh mengakibatkan keradangan mata.

Jadi, walaupun durian belanda mempunyai nutrien yang bagus untuk kesihatan, namun jika anda mempunyai masalah kesihatan yang serius, anda dicadangkan untuk mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum memasukkan durian belanda ke dalam diet anda.

Bahkan makanlah buah ini sekadarnya kerana dibimbangi memberi kesan negatif kepada kesihatan pula.

Rujukan

  • Draxe
  • Organicfacts
  • De Sousa, O. V., Vieira, G. D. V., De Pinho, J. D. J. R., Yamamoto, C. H., & Alves, M. S. (2010). Antinociceptive and anti-inflammatory activities of the ethanol extract of Annona muricata L. leaves in animal models. International journal of molecular sciences11(5), 2067-2078. (link)
  • Gavamukulya, Y., Abou-Elella, F., Wamunyokoli, F., & AEl-Shemy, H. (2014). Phytochemical screening, anti-oxidant activity and in vitro anticancer potential of ethanolic and water leaves extracts of Annona muricata (Graviola). Asian Pacific journal of tropical medicine7, S355-S363. (link)
  • Moghadamtousi, S. Z., Fadaeinasab, M., Nikzad, S., Mohan, G., Ali, H. M., & Kadir, H. A. (2015). Annona muricata (Annonaceae): a review of its traditional uses, isolated acetogenins and biological activities. International journal of molecular sciences16(7), 15625-15658. (link)

Artikel Menarik Lain

Selain khasiat durian belanda, kami juga menulis khasiat sumber yang lain yang tidak diketahui ramai. Jom baca dan jangan lupa untuk share di Facebook jika artikel yang dikongsi menarik.

Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri bin Mohd Yusof.

Penulis: Tasneem Haneem

Tasneem Haneem merupakan penulis di Bidadari.My. Minat dengan tulisan kekeluargaan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.