Dengar nama ulam-ulaman, terbayang keenakan daun pegaga, ulam raja, pucuk betik, jantung pisang, bunga kantan, petai, jering dan banyak lagi. Ulaman ini boleh dimakan mentah dan ada juga yang perlu dicelur.

Ia enak dimakan dengan sambal belacan, sambal kicap, budu atau cencaluk. Sedar tak sedar, nasi di dalam pinggan juga dah bertambah. Walaupun tak dimasak seperti biasa, ulam-ulaman tetap dapat menambah selera makan.

Di negara kita, terdapat lebih 120 jenis tumbuh-tumbuhan yang dimakan sebagai ulam. Tumbuh-tumbuhan tersebut terdiri daripada herba seperti pokok-pokok renek seperti pokok besar dan juga sayur-sayuran.

Justeru, dalam artikel ini penulis akan berkongsi tentang khasiat salah satu ulaman yang terkenal bagi masyarakat Melayu iaitu daun selom. Malahan, bagi sesiapa yang berminat, cara penanaman pokok selom juga akan dihuraikan.

Apakah Itu Daun Selom?

Nama saintifik daun selom ialah oenanthe javanica. Oenanthe berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud jambangan bunga yang seakan-akan setangkai anggur. Manakala, javanica pula bermaksud Pulau Jawa iaitu tempat asalnya selom diambil untuk dijadikan kajian.

Pokok selom bukan sahaja boleh dimakan daunnya tetapi juga bahagian batang sama ada secara mentah atau dimasak. Dikatakan bahawa rasanya seperti lobak merah atau daun parsley. Ia mudah didapati di kawasan lembap di Malaysia dan Asia Tenggara.

Jika anda ke kawasan lembap seperti di tepi paya, sungai, tasik atau sawah, pokok selom biasanya tumbuh meliar. Namun, setelah khasiatnya terbukti, pokok selom telah ditanam secara komersial.

Pokok selom tumbuh secara menegak. Batangnya berongga dan berwarna hijau. Apabila sudah matang, pokok ini akan menghasilkan bunga kecil yang berwarna putih dalam bentuk jambangan.

Daun selom mempunyai banyak khasiat yang baik untuk kesihatan manusia. Secara umumnya, ia mengandungi karbohidrat, zat galian, serat, air dan protein. Malahan, ia juga kaya dengan vitamin A, B dan C.

Khasiat Daun Selom

daun-selom

Imej via supplybunny

#1 Merawat cirit-birit

Jika anda tersalah makan yang menyebabkan terkena cirit-birit bolehlah mencuba petua menggunakan daun selom. Caranya ialah ambil 10 helai daun selom yang segar, masukkan ke dalam 2 cawan air. Kemudian, rebus selama 15 minit dan minum ketika air masih panas.

#2 Merawat diabetes

Bagi pesakit kencing manis, mereka perlu memastikan kadar gula di dalam darah sentiasa terkawal. Daun selom boleh mengatasi masalah ini. Caranya ialah ambil 8 helai daun selom dan masukkan ke dalam 3 cawan air panas. Setelah sejuk, minum sebelum makan. Amalkan 2 kali sehari.

#3 Melegakan gigitan haiwan berbisa

Daun selom boleh digunakan untuk meredakan sakit dan bengkak akibat disengat lebah, kala jengking dan sebagainya. Caranya ialah menumbuk daun selom dan batangnya hingga lumat dan tampal pada tempat yang sakit itu.

#4 Menyembuhkan demam selsema

Demam selsema mudah terkena pada orang yang mempunyai imun badan yang lemah, lebih-lebih lagi kanak-kanak. Petua yang boleh digunakan ialah ambil beberapa batang dan daun selom, rebus dengan secawan air dan minum airnya. Demam akan mula kebah.

#5 Menambahkan selera makan

Jika ada ibu mengandung yang mengalami alahan teruk pastinya selera makan menjadi kurang. Begitu juga jika kita diserang demam dan sebagainya, pastinya nafsu makan tersekat. Jika dibiarkan, badan akan kurang bertenaga dan menjadi susut.

Cara untuk menambah selera makan ialah membuat kerabu atau ulaman menggunakan daun selom. Jika suka, bolehlah dicicah dengan sambal kacang atau sambal belacan.

#6 Menyembuhkan bisul

Jika ada bisul di bahagian badan, pastinya kita berasa tidak selesa dan menahan sakit. Bagi meredakan bengkak bisul dan seterusnya menyembuhkannya, ambil beberapa helai daun selom dan ditumbuk dengan lumat. Tampal pada bahagian bisul dengan kerap. Lama-kelamaan, bisul akan mengecut.

#7 Rahsia awet muda

Jika hendakkan kulit muka menjadi licin dan nampak muda, amalkan daun selom sebagai ulaman dalam pemakanan harian. Kandungan vitamin yang tinggi sangat baik untuk kesihatan kulit.

Cara Tanam Pokok Selom

Berita baik buat semua. Pokok selom mudah ditanam dan dijaga. Ia hanya memerlukan pengawalan yang minimum. Tumbuhan herba ini boleh hidup subur dia atas pelbagai jenis tanah.

Di bawah ini disenaraikan cara-cara menanam pokok selom, iaitu:

#1 Jenis tanah

Anda dinasihatkan menggunakan tanah yang subur, lembap dan mengandungi organik yang tinggi. Malahan, tanah tersebut mestilah mempunyai sistem saliran yang baik.

#2 Saiz batas

Sebelum ditanam di atas batas, tanah di kawasan itu perlulah digemburkan. Saiz batas bergantung pada keadaan tanah.

#3 Teknik tanaman

Pokok selom boleh ditanam melalui biji benih. Namun, untuk mendapatkan hasil yang pantas, teknik keratan batang lebih baik.

#4 Penjagaan

Dari aspek penjagaan, anda perlu membuat siraman, membaja dan kawalan penyakit serta serangga perosak.

#5 Siraman

Pada peringkat awal pertumbuhan, tumbuhan ini memerlukan air yang mencukupi untuk hidup subur. Cara terbaik ialah siram pokok sebanyak 2 kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang.

Jika menanam menggunakan keratan batang, biasanya ia akan mula tumbuh akar dalam masa 2 hingga 3 minggu selepas ditanam. Setelah masuk minggu ke-4 hingga 6, pokok akan mula tumbuh. Pada waktu ini, penyiraman boleh dikurangkan.

#6 Membaja

Campuran baja organik dan kimia dapat memberi nutrien secukupnya untuk pokok selom. Baja organik yang boleh digunakan ialah najis haiwan seperti tahi ayam atau lembu yang sudah kering.

Baja organik dapat meningkatkan kesuburan tanah. Manakala, baja kimia pula berfungsi memberi makanan yang cukup untuk pokok tersebut.

 #7 Kawalan penyakit dan serangga perosak

Disebabkan pokok selom ialah sejenis herba liar, ia tidak mudah diserang penyakit dan serangga perosak. Namun, penyakit yang biasa menyerang pokok ini ialah kulat jelaga (sooty mould).

 #8 Memungut hasil

Setelah 3 atau 4 bulan selepas ditanam, daun pokok selom boleh dituai. Jangan lupa potong batang pokok selom menggunakan pisau yang tajam.

Setakat ini sahaja perkongsian penulis tentang khasiat daun selom dan cara penanamannya. Siapa sangka tumbuhan yang hidup meliar di kawasan hutan atau belukar ini mempunyai 1001 khasiat yang tidak ternilai.

Selain dijadikan ulaman, daun selom juga boleh digunakan untuk mengubati sesetengah penyakit. Disebabkan khasiat yang tinggi, tidak hairanlah ia kini menjadi tanaman komersial dan sudah mula ditanam oleh penduduk tempatan.

Rujukan

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.