Pokok kunyit merupakan pokok yang mempunyai seribu satu khasiat perubatan. Dalam artikel ini, mari kami kongsikan khasiat bahagian daunnya.

Jom ketahui khasiat daun kunyit.

Pengenalan

Daun kunyit merupakan sejenis daun yang selalu dicari terutama untuk masakan. Daun kunyit diambil daripada pokok kunyit (Cucuma domestica) yang mudah ditanam dalam kebun mahupun dalam pot atau pasu di sekeliling rumah. 

Daun kunyit ini mempunyai bau yang wangi dalam masakan. Oleh sebab itu, jika masak labu masak lemak memang wajib letak daun kunyit. Ia akan membuat masakan tersebut lebih sedap.

Daun kunyit mempunyai banyak khasiat. Tahukah anda khasiat daun kunyit?

Mari kami kongsikan info sebenar mengenai khasiat daun kunyit. Info ini dikongsikan oleh Puan Aisyah badar. Puan Aisyah gemar berkongsikan tips dan petua di laman Facebooknya. Banyak info-info yang bermanfaat.

Khasiat daun kunyit

khasiat daun kunyit
Imej via Facebook

Daun kunyit ni bukan setakat best buat masak jek, tapi khasiat dia pun best tau. Orang tua dedulu selalu suruh anak-anak perempuan dorang makan daun kunyit sebab daun kunyit ni boleh wangikan badan.

Sebab tu la agaknya orang dedulu takde deodorant pun no hal. Ketiak dorang wangi jek. Okey jom kita tengok khasiat daun kunyit yang lain.

*Banyakkan khasiat daun kunyit ini. Ia boleh menghilangkan bau badan yang tidak menyenangkan. Jika bau badan tidak menyenangkan, bolehlah makan daun kunyit untuk menghilangkan bau badan. Tidaklah kita berhabis-habis duit beli produk bermacam-macam nak hilangkan bau badan.

Selain itu, Puan Aisyah juga memberi tips, daun kunyit ini boleh dijadikan masker muka untuk mendapatkan kulit muka yang cantik. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.

Artikel dan petikan tersebut telah diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Baca artikel asal di sini.

Khasiat Daun Kunyit Menurut Kajian Sains

Sementara itu, berdasarkan kajian saintifik dan analisis makmal, beberapa rahsia kesihatan dan khasiat daun kunyit mula terbongkar. Berikut disenaraikan hasil kajian tersebut:

1. Melawan serangan kulat dan bakteria (antikulat dan antibakteria)

Kajian para penyelidik dari Kerala, India telah mendedahkan bahawa daun kunyit mempunyai minyak pati yang mampu merencatkan pertumbuhan kulat A. flavus dan toksin yang dihasilkan kulat seperti aflatoksin. 

Dengan hanya kepekatan serendah 1%, minyak pati daun kunyit ini mampu merencat sehingga 95.3% pertumbuhan kulat tersebut dan 100% perencatan pada kepekatan 1.5%.

Berdasarkan analisis makmal mereka, kandungan bioaktif dalam daun kunyit seperti α-phellandrene, p-cymene dan terpinolene mampu merencat pertumbuhan mikrob seperti kulat dan bakteria.

2. Antioksidan dan Antipenuaan

Imej via Bidadari

Dalam kertas kajian yang diterbitkan di Asian Pacific Journal of Tropical Biomedicine pula melaporkan kandungan antioksidan utama dalam daun kunyit ialah b-sesquiphellandrene (22.8%) dan terpinolene (9.5%).

Kajian mereka mencatatkan keupayaan bahan antioksidan tersebut dalam merencatkan proses pengoksidaan kerosakan selular yang disebabkan oleh radikal.

Radikal bebas yang menyebabkan proses pengoksidaan dan kerosakan tersebut sebenarnya merupakan antara punca penuaan selular yang boleh dilihat secara fizikal melalui kulit kusam dan kelihatan tidak bermaya atau tua.

Selepas ini, bolehlah kita amalkan pengambilan daun kunyit dalam masakan harian!

3. Pencegahan kanser, antikanser

Selari dengan usaha mencari penawar kanser, banyak kajian dijalankan menggunakan sumber alam semula jadi untuk dijadikan alternatif yang lebih berkesan dan selamat. 

Sekumpulan penyelidik di Amerika Syarikat pada tahun 2010, menzahirkan pendapat mereka dalam terbitan artikel ulasan saintifik mereka di jurnal Phytochemistry Letters bahawa metabolit sekunder atau sebatian bioaktif yang terdapat dalam tumbuhan mampu dijadikan potensi agen antikanser.

Hal ini kemudiannya disokong oleh para saintis di UPM Serdang pada tahun 2011 yang menggunakan ekstrak daun kunyit untuk melihat kesannya ke atas pertumbuhan tumor. 

Dalam ujian in vitro atau ujian makmal ‘tabung uji’ mereka, daun kunyit terbukti mampu menghentikan pertumbuhan sel kanser hati, kolon dan payu dara.

4. Penawar kudis buta scabies

Penyakit kudis buta disebabkan oleh serangan kutu hama Sarcoptes scabies yang menjadikan munculnya bintik dan bintil merah yang gatal. 

Bukan hanya sekadar petua tradisi, pes campuran daun kunyit dan jus perahan lemon telah dibuktikan secara saintifik mampu merawat masalah kudis buta, berdasarkan ulasan saintifik penyelidik di India pada tahun 2011.

Sebatian bioaktif dalam kedua-dua duan kunyit dan lemon mempunyai kesan antimikrob yang sangat baik. 

5. Menghalau serangga dan nyamuk sebagai racun perosak semulajadi

Imej via Bidadari

Bagi mengelakkan penggunaan racun serangga yang mengandungi bahan kimia sintetik, daun kunyit boleh dijadikan sebagai racun semulajadi bagi menghalau nyamuk atau serangga perosak.

Menurut ulasan pengkaji di Amerika Syarikat dan Arab Saudi yang menerbitkan kajian mereka dalam jurnal Food Chemistry pada tahun 2012, daun kunyit mengandungi labda-8(17), 12-diene-15 dan beberapa sebatian fenolik lain yang berperanan sebagai agen menghalau nyamuk dan serangga liar.

Kesimpulan

Kita sebagai masyarakat Melayu memang sudah sedia beruntung dengan manfaat kesihatan yang ditawarkan oleh daun kunyit memandangkan kebanyakan masakan kita menggunakan daun kunyit sebagai salah satu ramuan yang menambah keenakan rasa.

Selain bertujuan memberikan rasa dan rupa hidangan yang menarik, khasiat-khasiat daun kunyit ini perlulah dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebaikan sistem tubuh kita juga. 

Rujukan

  1. Liu, Y., & Nair, M. G. (2012). Curcuma longa and Curcuma mangga leaves exhibit functional food property. Food chemistry135(2), 634-640. (link)
  2. Pan, L., Chai, H., & Kinghorn, A. D. (2010). The continuing search for antitumor agents from higher plants. Phytochemistry Letters3(1), 1-8. (link)
  3. Priya, R., Prathapan, A., Raghu, K. G., & Menon, A. N. (2012). Chemical composition and in vitro antioxidative potential of essential oil isolated from Curcuma longa L. leaves. Asian Pacific Journal of Tropical Biomedicine2(2), S695-S699. (link)
  4. Sindhu, S., Chempakam, B., Leela, N. K., & Bhai, R. S. (2011). Chemoprevention by essential oil of turmeric leaves (Curcuma longa L.) on the growth of Aspergillus flavus and aflatoxin production. Food and Chemical toxicology49(5), 1188-1192. (link)
  5. Velayudhan, K. C., Dikshit, N., & Nizar, M. A. (2012). Ethnobotany of turmeric (Curcuma longa L.). (link)
  6. Zan, C. H., Rahmat, A., Alitheen, N. B. M., Othman, F., & Lian, G. E. C. (2011). Anti‐proliferative effects of pandan leaves (Pandanus amarylfolius), kantan flower (Etlingera elatior) and turmeric leaves (Curcuma longa). Nutrition & Food Science. (link)

 

Artikel ini telah dikemaskini oleh Dr. Muhammad Jefri bin Mohd Yusof.

Penulis: aqirah

Seorang yang rajin dan gemar untuk kongsikan sesuatu yang bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.