Nak tahu rahsia dan khasiat chia seed? Artikel ini akan melihat dan berkongsikan tentang rahsia dan khasiat Chia See yang mungkin kita terelepas pandang.
Nama saintifiknya Salvia hispanica atau biji chia, merupakan sejenis tumbuhan berbunga dari spesis keluarga pudina. Chia seed dikatakan berasal dari Mexico dan Guatemala dan banyak juga ditanam di Ausralia, Bolivia, Colombia, Peru dan Argentina.
Kini, Mexico merupakan negara pengeluar utama chia seed di dunia.
Sebenarnya, sudah lama chia seed dijadikan sebagai makanan tambahan atau suplemen mahupun ubatan sejak masyarakat zaman kuno seperti kaum Maya. Hal ini kerana sudah lama ada kesedaran dalam masyarakat tentang kebaikan dan khasiat chia seed ini.
Penggunaan chia seed dikesan seawal kurun ke-16 dalam populasi pra-Columbia yang mengamalkan chia seed sebagai sumber tenaga, kekuatan dan ketahanan badan.
Di samping itu, minyak daripada chia seed ini digunakan sebagai minyak sayuran dalam produk kosmetik. Terdapat juga upacara keagamaan puak natif Amerika yang menggunakan chia seed ini sebagai barang sembahyang mereka.
Berikut adalah antara hasil kajian kebelakangan ini yang mendapati betapa istimewanya chia seed dari aspek kesihatan, kecantikan dan sebagainya:
Pepatah ‘kecil-kecil cili padi’ sesuai diberikan kepada chia seed. Dalam 28 gram chia seed, terdapat pelbagai khasiat iaitu: Serat atau fiber, protein, lemak, kalsium, mangan, magnesium, fosforus, zink, vitamin B3, potassium, Omega 3, Vitamin B1 dan Vitamin B2.
Analisis kandungan chia seed menunjukkan kandungan karbohidrat yang rendah (3.4%) dan tinggi protein (18.9%) serta lipid (31.2%).
Malah, chia seed mengandungi omega-3 (31.2%) dan omega-6 (5.2%), iaitu nutrien penting yang diperlukan tubuh yang hanya boleh diperolehi daripada makanan.
Chia seed mengandungi banyak antioksidan yang menentang tanda penuaan dan kanser.
Berdasarkan kajian lepas, chia seed mengandungi sebatian antioksidan yang terdiri daripada sebatian fenolik dan flavonoid. Khususnya, chia seed mengandungi asid rosmarinik (0.927 mg/g), asid protocatechuic (0.747 mg/g), asid kafeik (0.027 mg/g) dan asid galik (0.012 mg/g).
Para pengkaji juga menjumpai kandungan sebatian antioksidan lain yang tinggi seperti karotenoid dan vitamin E dalam chia seed.
Chia seed merupakan makanan rendah karbohidrat.
Ia kaya dengan serat sebanyak 35%. Di samping itu, kandungan serat dalam chia seed adalah lebih banyak berbanding makanan lain seperti quinoa, jagung dan amaranth.
Justeru, perut cepat berasa kenyang, penghadaman makanan pula menjadi lebih lambat, menyebabkan anda akan memakan sedikit saja kalori.
Bakteria ‘baik’ dalam usus juga mendapat kebaikan daripada serat yang berada di dalam chia seed.
Kandungan protein dalam chia seed adalah tinggi dan dikatakan lebih tinggi berbanding kebanyakan tumbuhan lain. Selain itu, boleh mengurangkan selera makan, sekaligus mengurangkan pengambilan makanan berlebihan.
Chia seed mengandungi nutrien yang bagus bagi mereka yang ingin mengamalkan diet sihat.
Disebabkan kaya dengan kalsium (455 mg/100 g), fosforus (585 mg/100 g), magnesium (340 mg/100 g) dan protein, maka chia seed diakui bagus untuk kesihatan tulang.
Ini merupakan berita baik bagi mereka yang tidak suka minum susu! Malah, kepekatan kalsium dalam chia seed adalah lebih tinggi daripada susu.
Kajian awal menunjukkan bahawa pesakit diabetes mendapat manfaat daripada chia seed. Ini termasuk tekanan darah menurun dan penurunan gula dalam darah.
Kajian ke atas tikus makmal juga menunjukkan rintangan insulin yang menurun apabila sampel kajian diberikan diet makanan berasaskan chia seed.
Selain itu, kajian dalam kalangan dewasa yang mempunyai masalah hipertensi atau tekanan darah tinggi yang mengambil 35g/hari chia seed selama 12 minggu, menunjukkan penurunan tekanan darah.
Pemerhatian berterusan selama 3 bulan pula mencatatkan penurunan tekanan darah, lipid dan kepekatan plasma nitrit yang memberikan kualiti kesihatan yang lebih baik.
Kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah akan mengakibatkan risiko penyakit kardiovaskular. Kajian klinikal menunjukkan bahawa pengambilan chia seed mampu menurunkan tahap kolesterol dalam darah melalui kandungan serat makanan dan asid lemak omega-3 tidak tepu dalam chia seed.
Selain itu, protein chia dan peptida bioaktif boleh menyekat laluan pembentukan kolesterol pada tahap selular.
Pengambilan chia seed dalam diet makanan adalah dalam bentuk mentah, tepung atau ditambah ke dalam makanan lain seperti yogurt, salad dan buah-buahan.
Masih banyak kajian sedang dijalankan untuk mencari dan meyakinkan kebaikan chia seed sebagai sumber kesihatan. Walaupun begitu, setiap pengambilan mestilah dalam kadar sederhana.
Ini kerana, apa jua yang berlebihan akan memberi kesan tidak baik kepada kesihatan. Bagi mereka yang tidak biasa makan makanan mengandungi serat tinggi, mungkin akan mengalami masalah sampingan. Jadi ambillah secara ala kadar atau bersederhana, jangan berlebihan.
Selamat mencuba!
Artikel ini telah dikemas kini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof.
Selain khasiat chia seed, kami juga menulis artikel khasiat lain yang menarik untuk dibaca. Jangan lupa juga untuk share dan komen di bawah jika menyukai artikel kami.