Masih ingatkah kita tentang azam dan matlamat kita apabila kita sudah bergelar ibu ayah? Ramai di kalangan kita berniat dan berusaha untuk menjadi ibu ayah yang positif setiap hari.
Tetapi ramai juga yang tersasar. Setiap kali tersasar, ingatlah bahawa kita sebenarnya berada di ‘track’ yang betul. Kerana, kita sebagai insan yang diuji ini telah mengaku tersasar, lalu berniat untuk mahu berubah.
Bagaimanakah cara untuk kita berubah dan memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan terhadap anak-anak? Ayuh kita mulakan dengan perkara kecil terlebih dahulu, semoga ianya menjadi asbab untuk kita terus berubah ke arah perkara kebaikan yang lebih besar.
Setiap daripada kita pasti pernah melakukan kesilapan dalam kehidupan. Menjadi ibu ayah juga, kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan.
Kesilapan demi kesilapan yang kita lakukan sebenarnya mengajar kita tentang banyak perkara berkaitan dengan matlamat keibubapaan hari ini.
Ayuh kita baiki 7 perkara yang sering kita lakukan terhadap anak-anak ini, yang mungkin tidak kita sedari ianya adalah suatu kesilapan.
Sedar atau tidak, kerap kali kita sebagai ibu ayah tersilap dengan terus ‘react’ kepada perkara yang disampaikan oleh anak. Pada kebiasaannya, kita langsung memarahi anak atau terus membuat ‘judgement’ kepada perkara tersebut tanpa respon kepada mereka.
Mulai hari ini, ayuh niat dan sasarkan untuk respon kepada perkara yang anak sampaikan kepada kita dan elakkan ‘react’.
Usah terburu-buru ‘react’ dan membuat penilaian. Beri respon dengan bertanyakan kepada mereka perkara yang sebenarnya terjadi, tunjukkan rasa empati kita dengan situasi tersebut dan jelaskan kepada mereka tentang perkara itu.
Kita mungkin tidak sedar yang kita sering kali berwajah serius dan masam apabila berhadapan dengan anak-anak. Kesannya, apabila kita ingin menegur anak, mereka akan menjadi takut untuk bercakap atau bercerita.
Mulai hari ini, jom serlahkan wajah baik kita yang manis dengan senyuman kepada anak dan pandang matanya apabila ingin berbicara. Dengan cara ini, anak akan rasa lebih ‘relaks’ untuk bercerita, mudah menerima teguran dan lebih bersedia untuk mendengar nasihat kita.
Sesetengah ibu ayah tidak membenarkan anak bercakap terlebih dahulu. Konsep mereka adalah ibu ayah bercakap dahulu, kemudian baru anak boleh bercakap.
Peraturan ini tanpa disedari sebenarnya boleh membantutkan hasrat anak untuk bercerita tentang perkara sebenar kerana dikhuatiri akan dibangkang serta dimarahi oleh ibu ayah.
Praktikkan konsep yang lebih baik iaitu konsep ‘give first’ dengan mendengar terlebih dahulu cerita anak. Setelah selesai anak bercerita, barulah kita pula bercerita dan berbicara padanya.
Melihat kepada pengalaman atau momen lampau anak, kerap kali kita sebagai ibu ayah berkata ‘tidak boleh’ atau ‘no’ tanpa memahami seluruh makna permintaan anak.
Sebagai alternatif, katakan YA atau BOLEH kepada permintaan anak, kemudian baru diselitkan dengan TAPI untuk perkara yang kita tidak benarkan.
Sebagai contoh, jika anak minta untuk bermain di taman permainan serta membeli mainan atau ‘junk food’ di sana, ibu ayah boleh berkata begini :
“Abang boleh bermain di taman permainan, tetapi kita tidak boleh beli mainan / makanan manis, Papa dah bawakan air masak dan bekalan buah untuk abang”.
Bukan sekadar berkata ‘tidak boleh’ atau ‘no’. Kita seharusnya teliti permintaan anak serta jelaskan dengan baik perkara yang kita benarkan dan tidak benarkan.
Kita sering kali terlupa untuk memuji kebaikan atau kelebihan anak sebelum menegur mereka. Pada kebiasaannya, kita terus menegur kesilapan anak sehingga terlupa untuk memuji niat sebenar dan bakat anak bijak ini.
Seeloknya, puji anak terlebih dulu setiap kali sebelum menegurnya. Sebagai contoh :
“Bagus, kakak berani kacau air panas ni, tetapi kacau dengan perlahan agar air tidak tertumpah.”
“Berani dan kreatif abang bergayut dalam kereta, tetapi kita hanya boleh bergayut di taman permainan, lebih selamat berbanding di dalam kereta.”
“Pandai adik mengecat, tetapi berhati-hati ya adik agar tidak terlanggar cat sehingga tertumpah.”
Dengan cara ini, anak akan berasa diri mereka dihargai dan akan lebih berhati-hati agar kesilapan yang sama tidak berulang lagi.
Dalam kesibukan kita melakukan tugasan harian, kita sering kali terlupa untuk menghadiahkan pelukan lama yang ‘powerful’ untuk anak-anak. Alasan kita adalah masa yang kita ada sangat terhad.
Sekiranya kita benar-benar sibuk, satu pelukan yang berkualiti setiap hari juga sudah memadai. Jom peluk anak minima 16 saat, buat sekurang-kurangnya 1 kali sehari. Kemudian, kita boleh tambah bilangannya kepada 3 hingga 5 kali sehari.
Ayuh sasarkan untuk peluk setiap anak, setiap hari, sebaiknya pada waktu pagi, sebagai permulaan hari yang hebat untuk mereka.
Tidak dinafikan, kerap kali kita sebagai ibu ayah hanya berdoa untuk anak ketika usai solat sahaja dan anak tidak mendengar perkara yang didoakan untuknya itu.
Pada waktu malam pula, mungkin juga anak-anak tidur dengan membaca doa sebelum tidur sahaja, tanpa mesej untuk mereka memperkukuh tingkahlaku baik mereka pada keesokan hari.
Ayuh amalkan untuk turut mendoakan anak sebelum anak tidur pada waktu malam sambil didengari oleh anak. Sebutkan hasrat kita kepada anak dengan menyebut perkataan yang positif agar anak tahu perkara yang kita mahukan daripada mereka.
Sebagai contoh, apabila kita mahu anak bangun pagi dengan ceria, tersenyum gembira dan tidak menangis, sebelum tidur pada waktu malam, ibu ayah boleh katakan begini kepada anak :-
“Ammar senyum bangun pagi esok, Ammar gembira nak ke sekolah esok, Ammar solat Subuh awal pagi esok, Ammar cepat siap ke sekolah.”
Semoga dengan penutup hari sebegini, ianya bakal membangkitkan emosi positif dalam diri anak apabila anak bangun pagi setiap hari.
Kita semua hamba Allah, insan biasa yang pasti diuji dengan pelbagai ujian. Setiap kesilapan yang kita lakukan juga adalah ujian daripada Allah agar kita menjadi insan yang sentiasa belajar daripada kesilapan.
Bertuah sebenarnya apabila diri kita diuji. Ujian tanda Allah sayang dan Allah dekat dengan kita. Allah sentiasa perhatikan kita, Allah mahu beri apa yang kita hajati dan Allah mahu tunaikan hasrat kita itu.
Allah mahu menaikkan darjat kita sebagai ibu ayah dengan menguji kesabaran dalam diri kita apabila kita melakukan kesilapan.
Oleh itu, sentiasa berdoa, sabar, bersangka baik, dan berusaha untuk memperbaiki diri kita setiap hari. Semoga kita menjadi ibu bapa yang dapat mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan sentiasa dirahmatiNya.