Bermandi-manda di sungai merupakan salah satu aktiviti riadah bersama keluarga yang menjadi pilihan ramai. Ini kerana ianya merupakan satu aktiviti menarik di mana seisi keluarga dapat meluangkan masa mandi bersama sambil berkelah atau melakukan aktiviti barbeku.

Bukan sahaja dapat makan dan mandi-manda, dalam masa yang sama dapat melihat kehijauan alam dan lari sebentar dari hiruk-pikuk kota. Namun tahukah anda terdapat satu risiko utama bagi aktiviti mandi-mana di sungai iaitu kepala air.

Sudah acap kali kita melihat berita tentang kehilangan orang tersayang akibat kepala air semasa sedang bergembira mandi sungai bersama keluarga. Tak dinafikan bahawa sesungguhnya ajal maut di tangan tuhan dan setiap yang hidup telah ditentukan masa dan cara untuk mati.

Namun yang sebenarnya kematian akibat kepala air boleh dielakkan jika kita tahu caranya. Istimewa untuk anda, jom kami kongsikan info tentang faktor dan cara kesan kepala air.

kepala air
Sumber: Youtube

Apa yang dimaksudkan dengan kepala air dan bagaimana ia boleh berlaku?

Menurut laman web Wikipedia, kepala air atau sumber sungai bermaksud gelombang aliran air mengejut dalam kuantiti yang besar mengalir dari hulu sungai atau air terjun ke sungai utama. Lazimnya, ia berpunca daripada hujan lebat yang berlaku di hulu sungai. Maksudnya, kepala air adalah air besar yang datang secara tiba-tiba akibat hujan yang turun di hulu sungai. Semasa anda sedang bermandi-mandi, kawasan hulu sungai sedang dilanda hujan lebat lalu menyebabkan air sungai naik dan menjadi deras lalu datang kepada anda secara tiba-tiba.

Kenapa kepala air merbahaya dan boleh menyebabkan kematian?

Kepala air adalah sangat merbahaya dan boleh menyebabkan kematian kerana ia datang secara tiba-tiba tanpa sempat orang ramai yang sedang bermandi-manda naik ke tebing untuk menyelamatkan diri. Kepala air datang dalam arus yang deras dan boleh menghanyutkan orang dewasa dalam sekelip mata, inikan pula anak kecil. Malah kepala air bukan arus deras yang datang secara tiba-tiba semata-mata.

Kepala air juga membawa semua keladak, batu, ranting kecil, malahan kayu balak. Kesemua ini ada di dalam arus deras yang datang secara tiba-tiba itu. Jika anda sedang mandi di kawasan yang dilalui oleh kepala air, anda bukan sahaja akan dilanda oleh arus besar secara tiba-tiba malah anda juga akan dihentam oleh objek keras dan besar yang ada di dalam arus tersebut.

Anda mungkin akan mati dengan serta-merta akibat hentakan batu di kepala atau akibat cedera parah setelah dilanggar oleh kayu balak yang bersaiz sebesar pemeluk lelaki dewasa. Tidak semestinya anda mati akibat lemas. Nampak kan betapa bahayanya kepala air.

Terdapat banyak kes di mana mangsa yang hilang dihanyutkan kepala air langsung tidak dijumpai walau pun usaha mencari gigih dilakukan oleh pasukan penyelamat. Ini kerana arus kepala air adalah sangat kuat dan boleh menyebabkan tubuh badan atau mayat hanyut ke kawasan yang lebih jauh daripada disangka atau mungkin juga tersangkut pada kawasan atau bahagian yang tidak dijangka.

kepala air
Sumber: Umpan

Bagaimana cara mengesan kepala air?

Kebiasaannya kepala air tidak berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda amaran. Namun kita mungkin tidak sedar akan tanda amaran yang telah diberikan oleh alam. Di antara tanda yang biasanya berlaku sebelum datangnya kepala air adalah seperti berikut:

  • Keadaan langit yang gelap di bahagian hulu sungai. Kawasan anda sedang bermandi-mandi mungkin cerah dan terang-benderang namun apabila anda lihat ke hulu sungai atau puncak bukit, anda akan perasan bahawa kawasan tersebut sangat gelap dan mendung.
  • Kedengaran bunyi guruh disertai kilat di bahagian hulu sungai atai atas bukit. Semasa bermandi-manda, jangan lupa untuk melihat sekeliling. Jika sesekali anda terdengar bunyi guruh atau terlihat kilat, tiba masa untuk anda keluar dari sungai dan segera berkemas untuk mengalakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.
  •  Satu lagi tanda kepala air ialah anda akan mendegar dentuman gerakan batu-batan atau air dari hulu sungai. Bunyi batu yang bergerak menuruni sungai adalah kuat dan tak mungkin anda tidak menyedarinya.
  • Air sungai menjadi berbuih dan meningkat secara tiba-tiba.Kalau tiba-tiba air sungai yang tadinya jernih tiba-tiba berbuih dan dalam masa yang sama paras sungai menaik, jangan buang masa lagi. Ia adalah tanda bahawa ada arus deras yang sedang menuju ke arah anda. Jauhkan diri dari tebing sungai. Tinggalkan barang anda jika keadaan memaksa.
  • Kelihatan kelodak, daun reput atau ranting kayu hanyut dan terapung di permukaan air.

Apa yang perlu anda lakukan?

Nasihat kami, sebaik sahaja anda melihat tanda-tanda yang disenaraikan segera keluarkan anak-anak dari sungai dan jauhkan diri daripada tebing sungai.

Bawa ahli keluarga anda keluar dari kawasan  tersebut secepat yang mungkin kerana anda tidak tahu berapa besar kepala air yang sedang menuju ke arah anda. Mungkin kepala air yang datang Cuma kepala air yang kecil dan melimpahi tebing sungai.

Namun tak mustahil kepala air yang datang adalah dalam skala yang besar dan boleh membanjiri seluruh kawasan termasuk kawasan anda berkhemah. Oleh itu keluar daripada kawasan tersebut dengan secepat yang mungkin.

Satu lagi nasihat kami ialah elakkan daripada bermandi-manda dan berkelah di sungai pada musim tengkujuh. Ini kerana pada musim tengkujuh hujan akan turun tanpa disangka dan hujan yang turun juga biasanya sangat lebat lalu boleh menyebabkan berlakunya kepala air yang boleh meragut nyawa.

Itulah dia perkongsian kami tentang kepala air. Semoga bermanfaat buat anda. Pesanan kami walau apa pun aktiviti yang dilakukan bersama keluarga, keselamatan adalah perkara yang paling utama.

*Jemput juga baca artikel tentang air terjun di Selangor dan ajar anak berenang

Sumber:

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.