Keluarga bahagia merupakan impian setiap wanita yang sudah berumah-tangga. Suami yang penyayang, setia, dan sentiasa ada bersama disaat susah dan senang. Anak-anak yang comel, bijak, soleh, dan mendengar kata. Satu keluarga hidup dengan bahagia, aman, dan harmoni. Istimewa untuk anda, jom kami kongsikan tips keluarga bahagia.
Sebagai manusia yang beragama islam, solat adalah tiang agama. Oleh itu, jika anda inginkan keluarga bahagia, pastikan anda sekeluarga solat dengan sempurna 5 waktu sehari semalam. Solat awal waktu sekiranya berkesempatan.
Bagi suami, boleh amalkan bersolat jemaah di masjid pada waktu subuh dan maghrib. Jadikan juga solat berjemaah sebagai amalan harian anda sekeluarga.
Berapa ramai yang menjadikan Al-Quran dan ceramah agama sebagai hiburan di rumah? Berapa ramai yang mengaji bersama keluarga selepas solat maghrib berjemaah? Kebiasaanya, keluarga biasa menghabiskan masa menonton rancangan hiburan di televisyen.
Apa kata mulai hari ini anda tukar, buka saluran agama dan dengar ceramah dari para cendekiawan agama sebagai santapan rohani anda sekeluarga.
Sentiasa ingat bahawa Allah ada bersama kita. Apabila terdetik dihati untuk melakukan sesuatu yang bakal melukakan perasaan pasangan, ingat bahawa Allah tahu apa yang ada dalam hati kita. Sebagai anak, sekiranya kita melakukan maksiat, ingatlah bahawa mungkin ibu bapa anda tidak tahu, tapi Allah maha mengetahui. Keluarga yang sentiasa mengingati Allah akan menjadi sebuah keluarga yang bahagia.
Setiap hari, pastikan anda sekeluarga makan bersama sekurang-kurangnya sekali, sama ada waktu bersarapan pagi atau makan malam. Keluarga yang makan bersama biasanya lebih rapat dan bahagia berbanding keluarga yang tidak mengamalkan aktiviti makan bersama.
Untuk menjadi sebuah keluarga bahagia, setiap ahli keluarga perlu mengamalkan sikap hormat-menghormati di antara satu sama lain. Walau pun anda bergelar ibu, tidak bermakna anak anda tidak layak untuk membuat keputusan, terutamanya apabila anak sudah dewasa dan memulakan kehidupan sendiri. Jika ingin dihormati, anda juga perlu menghormati orang lain.
Dalam kehidupan seharian, kita takkan lari dari melakukan kesalahan. Akan ada perbuatan anak atau suami yang melukakan hati anda. Namun, untuk mendapat keluarga bahagia anda perlu belajar untuk memaafkan dan melupakan kesalah yang dilakukan. Berikan peluang kedua, ketiga, keempat, dan seterusnya kerana keluarga adalah yang paling utama dalam hidup anda.
Sukar untuk memafkan kerana anda terlalu terluka? Mungkin hati anda hancur apabila dapat tahu ada wanita lain dihati suami. Tak dinafikan, ianya sangat menyakitkan namun anda harus ingat bahawa tiada manusia yang sempurna. Mungkin suami anda tersilap langkah, terperdaya dengan godaan di luar rumah tapi itu tak bermakna suami tidak layak untuk mendapat peluang kedua.
Siapa tahu, selepas anda memberi kemaafan dan berikan suami peluang kedua, suami anda menjadi suami dan ayah yang lebih baik kepada anda dan anak-anak. Kalau selama ini suami kurang memberikan perhatian kepada anda, mungkin selepas menyedari kesilapannya, anda akan dilayan bak permaisuri.
Dalam hidup berumah tangga, perlu ada sikap bertolak-ansur dan tidak mementingkan diri sendiri. Bertimbang rasa akan menjadikan keluarga anda lebih harmoni. Anda takkan rugi sekiranya sudi bertolak-ansur dalam sesuatu perkara.
Sebagai contoh, sepatutnya cuti sekolah nanti anda sekeluarga telah merancang untuk bercuti ke luar negara selama seminggu namun tiba-tiba ibu mertua anda jatuh sakit. Tak salah jika anda tunda percutian sehingga ibu mertua anda sihat semula. Malah pasti suami akan lebih menghargai anda.
Keluarga adalah insan yang akan sentiasa ada untuk satu sama lain setiap masa. Semasa anak anda berhempas-pulas untuk menghadapi peperiksa akhir tahun, tak salah kalau anda dan suami memberikan sokongan dengan belajar bersama-sama. Jika suami anda perlu berjaga malam untuk menyiapkan kerja, apa salahnya kalau anda temankan sambil bancuhkan kopi dan sediakan sedikit juadah untuk menghilangkan mengantuk.
Jika ada ahli keluarga sedang menghadapi masalah, anda sebagai ibu perlu menjadi pendengar yang setia supaya anda akan sentiasa menjadi orang yang paling rapat dengan anak. Begitu juga dengan suami, pastikan anda sentiasa mendengar luahannya jika ada masalah di tempat kerja. Ingatlah, jika anda gagal menjadi pendengar setia untuk mereka yang tersayang, akan ada orang lain yang mengambil tempat anda.
Sekali-sekala, bawa keluarga berjalan-jalan makan angin untuk mencipta memori bersama, lebih-lebih lagi semasa anak-anak masih kecil. Semua memori ini akan diingati sampai bila-bila dan mengeratkan hubungan anda sekeluarga.
Di zaman moden ini, gajet terutamanya handphone sudah menjadi pesaing untuk anda mendapat perhatian orang yang tersayang. Berapa ramai di antara kita yang duduk bersama keluarga, namun masing-masing leka dengan handphone di tangan? Seolah-olah ada tapi tiada.
Untuk mendapatkan keluarga bahagia, kurangkan penggunaan gajet semasa bersama keluarga. Tinggalkan group whatsapp sekolah yang sedang bergelak ketawa berjenaka, dan pilih untuk bergelak-ketawa bersama ahli keluarga.
Jangan pernah lupa harii istimewa setiap ahli keluarga, contohnya tarikh lahir. Tak salah kalau anda belikan hadiah dan masak makanan istimewa untuk meraikan hari istimewa tersebut. Penghargaan yang diberikan akan membuatkan keluarga anda lebih bahagia.
Itulah dia 13 tips keluarga bahagia yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang tips selesaikan masalah perkahwinan, doa untuk anak, dan tanggung jawab isteri.