Seperti yang semua orang tahu, dapur adalah tempat untuk kita memasak dan menyediakan makanan. Selalu apabila sebut sahaja dapur, mesti kita akan fikir bahawa kerja-kerja dapur adalah untuk wanita sahaja. Contoh, kerja memasak, mengemas dapur, menyediakan makanan dan membersihkan perkakas dapur.
Tetapi, zaman kini, lelaki juga boleh masuk ke dapur dan membuat kerja-kerja wanita. Memasak dan menyediakan makanan bukan wanita sahaja yang boleh buat malah lelaki juga boleh. Jika kita lihat Nabi Muhammad S.A.W, beliau juga banyak membantu isterinya menguruskan hal-hal di rumah.
Ibu bapa boleh mula mengajar anak lelaki mereka dari kecil untuk masuk ke dapur dan memberi bantuan dari segi kerja-kerja menyediakan makanan. Terdapat beberapa manfaat jika kita mengajar anak lelaki kita untuk masuk ke dapur.
Mari kami kongsikan info sebenar mengenai 4 kelebihan mengajar anak lelaki masuk ke dapur. Info ini dikongsikan oleh Dr. Taufiq Razif. Beliau banyak berkongsikan tips untuk mendidik dan menjaga anak-anak. Beliau juga pengasas “Telegram Channel Parenting” terbesar di Asia. Selain itu, beliau merupakan CEO di The Proparenting. Mari kita baca info yang dikongsikan oleh Dr. Taufiq.
Anak lelaki yang selalu masuk dapur akan membesar menjadi anak yang lebih bertimbangrasa dengan pengorbanan ibu dan bakal isterinya kerana mereka tahu betapa renyahnya menguruskan makanan harian sekeluarga.
Anak lelaki yang selalu masuk dapur akan membesar menjadi suami yang cekap menguruskan keluarga ketika isteri sedang berpantang. Barulah tidak timbul isu lelaki memaksa isteri memasak dan menguruskan dapur ketika mereka masih dalam fasa berpantang.
Anak lelaki yang selalu ke dapur akan membuatkan mereka ada Sense of Responsibility. Mereka akan lebih bertanggungjawab dan tidak bersifat suka lepas tangan.
Anak lelaki yang selalu ke dapur tidak akan sesekali bertukar menjadi pondan kerana tidak ada satu kajian sahih pun menujukkan lelaki yang selalu ke dapur akan bertukar pondan. Malah lelaki yang pandai mengurus dapur lah yang sepatutnya diangkat menjadi ketua keluarga yang mithali dan penyayang kepada ahli keluarganya sendiri.
*Kesimpulannya, ibu bapa perlu mengajar anak lelaki mereka untuk pandai masuk ke dapur bukan sahaja untuk makan malah membantu dalam menyediakan makanan. Lelaki yang masuk dapur dan pandai membuat kerja-kerja wanita adalah menjadi salah satu lelaki idaman wanita zaman kini. Semoga info ini memberi manfaat kepada anda dan orang-orang tersayang.
Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Baca artikel asal di sini.