Anak adalah amanah dari Allah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Mungkin kita biasa mendengar perumpaan ini: Anak adalah kain putih. Terpulang kepada ibu bapanya untuk mencorakkan mereka. Ia adalah sangat benar dan tepat sekali. Bagaimana didikan kita, begitulah anak kita. Kalau anak didik dengan ajaran islam, insya Allah anak-anak akan membesar menjadi seorang muslim dan muslimah yang baik dan mentaati agama.

Istimewa untuk anda ibu bapa yang prihatin dan sentiasa inginkan yang terbaik untuk anak, hari ini kami akan kongsikan kata kata ulama yang menarik untuk anda. Semoga perkongsian ini menjadi panduan dan pedoman untuk kita sama-sama menjadi ibu bapa yang lebih baik. Insya Allah.

Siapa memiliki anak kecil, hendaklah ia meluangkan masa dan bermain dengan mereka. – Hadith riwayat Ad-Dailami

Hadith ini mengingatkan kita ibu bapa tentang betapa pentingnya untuk meluangkan masa bersama anak-anak semasa mereka kecil. Ini kerana anak-anak Cuma kecil sekali sahaja dan sekelip mata mereka akan membesar. Semasa mereka kecil, anak-anak sangat memerlukan perhatian dari kita. Kalau kita terlalu sibuk dengan kerjaya dan urusan lain, dikhuatiri kita akan menyesal apabila anak besar nanti.

Mendidik anak itu adalah ibadah. Jangan sampai keluar dari tulang sulbi anda orang yang tidak solat. – Dr. Abdul Malik Al-Qasim

Ini adalah pesanan kepada kita untuk mendidik anak-anak supaya mendirikan solat. Solat adalah tiang agama dan merupakan perkara pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Jika kita tidak mendidik anak untuk mendirikan dolat sejak kecil, dikhuatiri mereka akan membesar menjadi seorang muslim yang tidak menjaga solat.

Hendaklah adab sopan anak-anak itu dibentuk sejak kecil. Kerana ketika kecil mudah membentuk dan mengasuhnya, belum dirosakkan oleh adat kebiasaan yang sukar ditinggalkan. – Hamka

Kata kata dari Hamka ini adalah sejajar dengan kata pepatah “ Melentur bulu biarlah dari rebungnya “. Ini kerana semasa anak masih kecil, mereka masih mudah didik dan dibentuk. Mudah untuk kita mengajar mereka. Jika mereka sudah remaja atau dewasa, agak sukar untuk kita mendidik mereka. Sudah terlambat.

Manusia yang paling utama mendapatkan kebaikanmu dan paling berhak mendapatkan perbuatan baikmu adalah anak-anakmu. Karena sesungguhnya mereka adalah amanah yang Allah letakkan di sisimu. – Abdurrahman As-Sa’dy

Ini adalah peringatan kepada kita untuk sentiasa berbuat baik kepada anak-anak. Anak adalah amanah dari Allah yang wajib dijaga dengan baik. Sebagai ibu bapa adalah menjadi tanggung jawab kita untuk memberikan kasih sayang dan didikan agama kepada mereka.

Jika suatu saat kelak kamu tidak lagi mendengar bunyi bising dan gelak tertawa anak-anak riang di antara saf-saf solat di masjid-masjid, maka sesungguhnya takutlah kalian akan kejatuhan generasi muda kalian di masa itu. – Sultan Muhammad Al-Fatih

Ini adalah peringatan tentang kepentingan untuk mengajar anak supaya mencintai masjid. Hari ini kita sering mendengar tentang masjid yang melarang anak kecil daripada bersolat atau duduk disaf depan. Sedangkan yang sebenarnya kita sepatutnya mengalu-alukan anak-anak yang datang ke masjid. Sebagai ibu bapa, mari kita didik anak untuk selalu bersolat di masjid.

kata ulamak untuk anak

Sumber: Fwd

Kata kunci dalam pendidikan anak adalah memilih kawan dan persekitaran yang baik. Sebagaimana sabda Rasulullah saw, “Seseorang itu akan mengikuti agama teman dekatnya (lingkungan pergaulannya). Oleh karena itu, hendaklah kalian pilih siapakah yang kalian jadikan sebagai teman dekat.” – HR. Abu Daud

Kata kata ulama untuk anak yang seterusnya ialah tentang kepentingan anak-anak memilih kawan mereka. Ini kerana pengaruh rakan sebaya adalah adalah sangat kuat kepada jiwa anak-anak. Jika tersalah pilih kawan, dibimbangi anak kita akan terpengaruh dengan perkara yang tidak baik.

Tidak ada pemberian orang tua yang paling berharga kepada anaknya daripada pendidikan akhlak mulia. – Hadith riwayat Bukhari

Salah satu daripada tanggung jawab ibu bapa ialah untuk mendidik anak supaya berkahlak mulia. Bagaimana caranya? Cara yang paling mudah ialah dengan menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak. Nak dapatkan anak yang berkhlak mulia? Kita sebagai ibu bapa wajib berakhlak mulia terlebih dahulu.

Ajarkanlah Al-Quran kepada anak-anakmu, maka Al-Quran akan mengajarkan segalanya kepada mereka. – Dr. Bilal Philips

Pesanan yang seterusnya ialah peringatan kepada kita sebagai ibu bapa agar menerapkan kecintaan kepada kitab suci Al-Quran dalam diri anak-anak. Ini kerana anak yang cintakan Al-Quran akan mempunyai akhlak yang terpuji dan akan menjadi seorang muslim dan muslimah yang baik.

Bersabar dalam mendidik anak-anak kita adalah sebuah amal ibadah. – Mufti Ismail Menk

Mendidik anak bukanlah perkara yang mudah, lebih-lebih lagi pada zaman moden yang serba mencabar ini di mana semuanya di hujung jari. Malah hiburan juga penuh dengan propaganda untuk merosakkan minda anak-anak. Maka banyakkan bersabar dalam mendidik anak kerana ia adalah amal ibadah yang akan diberikan ganjaran di akhirat kelak. Lagi banyak kita bersabar, semakin banyak pahala yang akan kita kutip di sana nanti. Malah semakin banyak cubaan dan dugaan yang menguji kesabaran perlu kita lalui, semakin banyak pahala kita di syurga nanti. Insya Allah.

Kesimpulan

Itulah dia perkongsian tentang kata kata ulama yang menarik untuk anak yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Semoga keluarga kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang cara mendidik anak perempuan dan cara mendidik anak lelaki

Sumber:

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.