Kasut tumit tinggi memang cantik dan nampak bergaya apabila dipakai. Kasut yang menjadi kegilaan wanita ini tak pernah dimakan zaman. Pelbagai reka bentuk dan stail terkini direka untuk wanita yang elegan dan mementingkan gaya.

Antara sebab kasut tumit tinggi menjadi rebutan para wanita ialah kerana ia mampu mengubah penampilan diri. Ia akan membuatkan anda nampak lebih tinggi. Bentuk kasut tumit tinggi yang rata-rata tajam di depan membuatkan kaki nampak tirus dan seksi.

Tidak hairanlah harganya juga boleh mencecah ribuan ringgit kerana permintaan yang tinggi di seluruh dunia. Tidak lengkap rasanya tanpa kasut tumit tinggi atau high heels, jika hendak ke majlis keramaian dan majlis formal. Aksesori yang dikenakan pada tubuh nampak lebih menonjol dengan pemakaian kasut jenis ini.

Bahaya Pemakaian Kasut Tumit Tinggi

Pasti ada di antara pembaca bidadari.my merupakan penggemar kasut tumit tinggi. Cuba periksa almari kasut masing-masing, sekurang-kurangnya mesti ada sepasang. Walaupun membuatkan diri nampak menarik, tahukah pemakaian kasut tumit tinggi boleh mengundang bahaya?

Oleh itu, dalam artikel ini, penulis akan membincangkan bahaya pemakaian kasut tumit tinggi. Kesan buruknya seolah-olah dipandang sebelah mata oleh kebanyakan wanita. Risikonya cukup tinggi pada mekanikal dan postur tubuh.

Jom baca kesan bahaya pemakaian kasut tumit tinggi yang ramai tak tahu.

1. Kecederaan

Apabila mengenakan kasut tumit tinggi, anda perlu berjalan dengan cara mengimbangi diri daripada terjatuh. Bagi wanita yang sudah biasa memakainya, mungkin tiada masalah.

Namun, bagi anda yang baru berjinak-jinak untuk memakai kasut tumit tinggi, pastikan kasutnya tidak terlalu tinggi. Jika gagal mengimbangi diri atau berlaku kemalangan ketika berjalan, ia akan membuatkan anda terjatuh. Kesannya boleh mencederakan kaki atau tubuh anda.

kasut tinggi

2. Perubahan gaya berjalan

Apabila terlalu kerap memakai kasut tumit tinggi, tanpa anda sedar gaya berjalan juga akan berubah. Orang yang memakai kasut bertapak rata, mereka akan berjalan secara biasa. Ini kerana, tapak kaki manusia secara normal juga rata saja.

Manakala yang berkasut tinggi, mereka perlu mengimbangkan tapak kasut yang tinggi dengan berat badan. Bebanan badan akan tertumpu pada bahagian ibu jari kaki. Kajian mendapati, wanita yang memakai kasut tumit tinggi melebihi 40 jam dalam seminggu mempunyai gaya berjalan yang berbeza.

3. Ketumbuhan pump bump

Pump bump ialah sejenis ketumbuhan tulang pada tumit kaki. Ia berlaku disebabkan tekanan atau geseran yang berterusan di belakang kasut atau bahagian ikatan.

4. Benjolan bunion

Benjolan bunion merupakan masalah yang paling kerap terjadi apabila anda mengenakan kasut tumit tinggi dengan kerap. Bunion menyebabkan benjolan yang membengkak pada sendi ibu jari kaki.

Ia akan menyebabkan kaki terasa sakit apabila memakai kasut akibat benjolan pada tulang ibu jari kaki.

5. Kematu

Akibat daripada geseran yang berulang kali di antara kulit dan kasut akan menyebabkan kulit menjadi tebal. Kulit yang tebal dan kasar ini dipanggil kematu atau corn. Ia kan menyebabkan ketidakselesaan dan memberi tekanan pada jari anda.

6. Jari kaki tukul

Terdapat pelbagai jenis potongan depan bagi kasut tumit tinggi. Ada yang runcing, ada yang bulat dan yang petak. Ada juga jenis yang tertutup dan terbuka depannya. Bagi potongan yang sempit dan tertutup depannya, ia akan menyakitkan jari kaki anda.

Disebabkan bentuknya bukan disesuaikan dengan jari kaki, anda memaksanya untuk fit ke dalam kasut. Kesannya kedua-dua belah sendi ibu jari kaki akan terjejas. Apabila dimasukkan secara ‘paksa’, jari terpaksa membengkok ke bawah kerana kasut terlalu sendat.

7. Keradangan pada tapak kaki

Metatarsalgia ialah sejenis keradangan yang menyebabkan tapak kaki menjadi sakit. Ini juga menyebabkan tapak kaki berasa tak selesa kerana bebanan yang berterusan pada tulang metatarsal. Tulang metatarsal terletak di antara jari kaki dan lengkungan kaki.

Akibat ketidakseimbangan tubuh, anda akan mudah mendapat kecederaan buku lali. Ia akan menyebabkan risiko patah buku lali disebabkan kesukaran untuk berjalan. Lagi tinggi tumit kasut anda, lebih tinggi risikonya.

8. Tisu tapak kaki menjadi tebal

Apabila anda memakai kasut yang tidak sesuai dan sendat, tapak kaki juga akan melecet. Jika anda terus memakai kasut tumit tinggi, ini akan menyebabkan tisu di tapak kaki menjadi tebal. Ini dinamakan morton’s neuroma.

Kulit yang tebal ini aka membuatkan anda berasa sakit dan kebas. Apabila keadaan semakin teruk, kemungkinan anda perlu membuat pembedahan bagi membuang tisu yang tebal itu. Ini saja cara untuk mengurangkan gejala kesakitan.

Tips Elak Sakit Pakai Kasut Tumit Tinggi

Bagi sesiapa yang suka memakai kasut tumit tinggi, di sini penulis kongsikan tips untuk mengelak sakit. Antaranya ialah:

1. Pilih ketinggian yang sesuai

Jangan terlalu ingin nak bergaya sampai menyakitkan diri sendiri. Pilih saiz yang sesuai untuk ketinggian dan berat anda. Jika baru saja cuba-cuba pakai, mulakan dengan kasut yang lebih rendah.

kasut tinggi

 Imej via Bidadari

2. Pastikan kasut berkualiti tinggi

Tidak semua jenama yang terkenal bagus untuk anda. Namun, semuanya terletak pada kemampuan dan citarasa. Sebaiknya pilih kasut daripada material yang lembut dan mempunyai tapak di dalam yang mesra tapak kaki. Elakkan kasut plastik yang keras kerana membuatkan kaki berpeluh dan tak selesa.

3. Jangan pakai kasut terlalu lama

Jika perlu memakai kasut tumit tinggi untuk ke sesuatu tempat, pastikan bawa sekali kasut ganti bertapak rata. Jika berasa tak selesa gantikan kasut tersebut. Elakkan juga memakai kasut tumit tinggi lebih daripada 4 kali seminggu.

4. Rehatkan kaki

Tanggalkan kasut tumit tinggi anda apabila sudah mula berasa tak selesa. Regangkan kaki dan urut perlahan. Ini akan membuatkan kaki dapat bernafas dan mengurangkan geseran.

Nampaknya itu saja perkongsian penulis tentang bahaya kasut tumit tinggi yang ramai tak tahu. Tak salah untuk memakainya sesekali. Namun, elakkan memakainya dengan kerap. Orang kata “Beauty is pain”, namun janganlah sampai mendera kaki anda pula. Mudaratnya pada kesihatan juga bukan kecil.

Jangan lupa baca tentang bahaya benjolan di kaki dan punca kaki kebas. Moga bermanfaat.

Rujukan

  • Akibatnya Kalau Memakai Kasut Tumit Tinggi atau High Heels Melebihi 40 Jam (link)
  • 7 Panduan Berguna Memakai Kasut Tumit Tinggi Tanpa Rasa Sakit (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.