Mengapakah buku lali dan jari kaki mengalami bengkak ketika kandungan sudah mencecah sembilan bulan? Apakah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan bengkak tersebut?

Apabila bayi anda semakin membesar, rahim memberi tekanan kepada saluran darah di pelvis. Ini khususnya menjejaskan salur darah besar yang menerima darah daripada anggota badan bahagian bawah. Salur darah yang dipanggil vena kava bawah ini terletak pada bahagian kanan badan. Wanita hamil akan mengalami tekanan dan menyebabkan peredaran darah di bahagian itu menjadi perlahan dan mengakibatkan darah terkumpul.

pregnant

Imej:worldbulletin.net

Tekanan daripada darah yang terkumpul ini memaksa air turun dan keluar melalui salur darah kecil (kapilari) masuk ke dalam tisu-tisu pada tapak kaki dan buku lali. Biasanya, air ini akan diserap oleh badan.

Kadang-kala, wanita hamil juga menyimpan lebih banyak air daripada biasa dan ini menambahkan lagi kebengkakan atau sembap tersebut. Anda mungkin mendapati kebengkakan ini lebih teruk pada waktu petang dan malam, sebelum lega sedikit pada waktu pagi setelah anda tidur sepanjang malam.

Menjelang petang, anda mungkin dapat lihat jika anda tekan kulit di sekitar buku lali, kulit itu tidak menganjal dengan serta-merta dan kembali kepada keadaan asalnya. Sementara itu, menjelang penghujung kehamilan, tangan anda juga mungkin menjadi bengkak dan cincin yang anda pakai akan terasa ketat.

Edema atau sembap semasa hamil adalah perkara biasa terutamanya dalam trimester ketiga. Di antara 50 dan 80 peratus wanita hamil yang sihat akan mengalaminya. Cuaca panas seperti di negara kita juga memburukkan lagi keadaan ini. Bagaimanapun, jika anda mengalami bengkak yang teruk pada muka, tangan atau tapak kaki, jumpalah doktor anda. Ini mungkin salah satu simptom praeklampsia, iaitu satu keadaan yang serius bagi anda dan bayi.

Kurangkan Kaki Bengkak Ketika Hamil

Ubat-ubatan jenis diuretik tidak sesuai digunakan semasa hamil yang akan membuatkan buah pinggang mengeluarkan air dan garam sodium supaya anda kerap membuang air dan menghapuskan cecair yang berlebihan dengan cara itu.

Anda boleh mencuba cara lain untuk mengawal kebengkakan iaitu dengan menaikkan kaki untuk membantu melancarkan peredaran darah. Jika di tempat kerja, letakkan bangku kecil atau kotak di bawah meja anda. Di rumah pula, cubalah baring mengiring ke kiri kerana ini boleh mengurangkan tekanan. Anda juga perlu mengelakkan duduk atau berdiri terlalu lama tanpa berehat.

Selain itu, jangan cuba menyilang kaki semasa duduk. Pakailah seluar stoking sokongan (support tights) sebelum anda bangun dari katil pada waktu pagi supaya darah tidak berpeluang berkumpul di sekeliling buku lali. Jika ini tidak berjaya, tanyalah ahli farmasi atau doktor mengenai stoking tekanan (compression stockings). Stoking tekanan boleh didapati di farmasi.

Anda juga dinasihatkan minum banyak air, bersenam selalu terutamanya berjalan, berenang atau menggunakan basikal senaman.

Jika anda membuat perjalanan jauh, berhentilah dengan kerap untuk meregangkan kaki. Makan makanan berkhasiat dan elakkan makanan yang tinggi kandungan sodium dan garam seperti kacang masin, jeruk sayuran, telur masin dan ikan kering.

Ingatlah, walaupun buku lali anda yang bengkak ini mungkin menyebabkan rasa tidak selesa, keadaan ini adalah sementara sahaja. Ia akan hilang sejurus anda melahirkan anak.

Sumber artikel datangnya daripada myhealth.gov.my

Penulis: Tasneem Haneem

Tasneem Haneem merupakan penulis di Bidadari.My. Minat dengan tulisan kekeluargaan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.