14 Mac 2018, Malaysia sekali lagi digemparkan dengan berita pencabulan seksual yang berlaku di kalangan anak-anak tahfiz di salah sebuah maahad tahfiz di Kuantan, Pahang.

Seramai dua puluh satu orang anak tahfiz dikenalpasti telah menjadi mangsa kerakusan nafsu di luar logik fikiran manusia yang normal.

sexual grooming

Imej via medicalXpress

Siapa pelakunya? Penderma maahad tahfiz itu sendiri. Allahhu..tidak dapat saya bayangkan reaksi ibu ayah anak-anak tahfiz terbabit tatkala mendapat perkhabaran ini. Anak-anak yang mereka hantar menuntut ilmu ukhrawi diperlakukan sebegini rupa oleh insan yang dianggap sungguh mulia di sisi agama.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana pencabul ini berjaya mendekati mangsanya. Sehingga ada tahap di mana pencabulan telah berlaku bertahun lamanya. Sudah pasti ia melibatkan satu proses yang begitu terancang.

Fazrina (2016) dalam mini kajiannya yang bertajuk Proses Sexual Grooming di Kalangan Kanak-kanak di Malaysia ; Inses memberi definisi sexual grooming sebagai satu proses di mana berlakunya pembinaan kepercayaan oleh pelaku terhadap mangsa dan secara perlahan-lahan proses itu disusuli dengan penunjukkan tingkahlaku seksual sehingga pelaku sampai ke tahap melakukan kesalahan jenayah seksual.

Veldhuis dan Freyd (1999) dalam kajiannya, menemukan enam jenis proses sexual grooming yang berlaku ke atas mangsa pencabulan seksual. Maklumat yang diperolehi adalah hasil temubual bersama mangsa, pelaku dan ahli keluarga mangsa terutamanya wanita iaitu ibu.

 

1. Groomed for Silence

Sasaran mangsa : kanak-kanak pasif, yang dipulau oleh orang sekelilingnya. Namun, isu dipulau ini dilihat memberi kelebihan kepada pelaku kerana pelaku menggunakan kesempatan itu untuk membuatkan kanak-kanak itu merasakan diri mereka hanya istimewa di mata pelaku.

Strategi pelaku : secara perlahan-lahan semakin menjauhkan keluarga, kawan-kawan daripada kanak-kanak itu hingga kepada tahap memaksa kanak-kanak itu hanya fokus pada kehendaknya sahaja. Bagi proses grooming ini, penampilan kanak-kanak dikatakan tidak terlalu penting berbanding karakteristik kanak-kanak itu sendiri.

 

2. Groomed for Betrayal

Sasaran mangsa : tiada faktor  signifikan yang menonjol. Sesiapa sahaja berpotensi menjadi mangsa.

Strategi pelaku : terus dimulakan dengan membina hubungan yang kukuh dengan mangsa. Pelaku mungkin boleh terdiri daripada individu yang tiada hubungan signfikan dengan mangsa awalnya namun pelaku mampu mengubah perspektif asal itu kepada perspektif di mana mangsa melihat pelaku sebagai orang yang begitu signifikan dalam hidupnya (lebih kepada seperti ibu bapa atau penjaga yang menjaga kebajikan mangsa).

Ia dikatakan betrayal kerana pelaku mampu mengubah perspektif normal sebagai individu yang menjaga kebajikan kanak-kanak tidak mungkin akan mengambil kesempatan di luar kebiasaan apatah lagi kesempatan dari segi pencabulan seks.

Namun, melalui kaedah-kaedah tertentu samada secara paksa atau rela, kanak-kanak terbabit mengubah perspektif pencabulan seksual itu sebagai perkara yang normal bagi mendapatkan perhatian dan kasih sayang daripada penjaga (pelaku).

Apabila mangsa sudah mencapai tahap di mana dia begitu mengagungkan pelaku (hanya pelaku sahaja yang boleh diharapkan dan dipercayai) maka ketika itulah tugas mengeksploitasi pemikiran mangsa dilakukan dengan mudah.

 

3. Groomed for Disbelief

Sasaran mangsa : tiada faktor siginifikan yang menonjol. Sesiapa pun berpotensimenjadi mangsa.

Strategik pelaku : pelaku terlebih dahulu telah memilih, memerhati dan tinjauan terhadap keluarga sasaran untuk jangka masa yang telah lama dan memasuki keluarga tersebut sebagai individu yang terhormat seperti guru kelas tambahan, pengasuh harian mahupun jurulatih peribadi kepada anak-anak.

Pelaku terlebih dahulu memulakan proses grooming kepada ahli keluarga bagi mendapatkan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi sehingga tiada langsung timbul isu sangsi kepadanya.

Jika diamati, grooming jenis ini tidak mementingkan perspektif mangsa sebaliknya kepercayaan ahli keluarga lain yang diutamakan. Mangsa dibiarkan dalam keadaan sebagai mangsa tanpa memanipulasi pemikirannya namun pelaku akan memastikan tiada sesiapapun akan mempercayai kata-kata mangsa tentang kelakuan pelaku kepadanya.

Malah pelaku melakukan reverse victim di mana dia membiarkan ahli keluarga melihat kesalahan adalah daripada anak mereka bukan pelaku.

 

4. Groomed for Unawareness

Sasaran mangsa : kanak-kanak yang kurang atau hampir kepada tiada langsung pengetahuan tentang seks.

Strategi pelaku : pelaku akan mencipta persekitaran yang diinginkan (pencabulan seksual) yang langsung tidak disedari oleh mangsa.

Apabila keadaan itu muncul, pelaku dengan lebih terperinci menghubungkan kekurangan itu kepada keinginan kanak-kanak itu sendiri dalam perhubungan intim.

Melalui aktiviti berunsurkan seks, pelaku perlahan- lahan memanipulasi pemikiran mangsa bahawa hal yang dilakukan itu adalah sesuatu yang normal, padahal sebaliknya. Jadi, bagi kanak-kanak yang tidak tahu menahu akan perkara itu akan mudah terpedaya dan terus menanam nilai dalam pemikirannya secara tidak langsung.

Menurut hasil daripada tinjauan oleh Freyd dan Veldhuis, kebanyakan pelaku mengeksploitasi keadaan dengan memulakan perbincangan tentang seks.

Kemudiannya menawarkan diri untuk mengajar mangsa tentang seks, bertanyakan keinginan seksual mangsa itu sendiri;samada mangsa mempunyai keinginan melakukan seks seperti mana yang dibincangkan.

Meninggalkan alat mainan seks di persekitaran mangsa dengan tujuan untuk menarik minat mangsa hingga akhirnya tiba ke peringkat kemuncak iaitu sentuhan secara terus pelaku kepada mangsa.

Keadaan akan menjadi semakin parah apabila pelaku semakin berani menggoda mangsa hingga ke peringkat mangsa menyayangi pelaku sebagai kekasih. Bagi kanak-kanak yang kurang sokongan sosial mahupun pengetahuan tentang perhubungan intim akan bergantung sepenuhnya kepada pelaku dan akan mengikut apa sahaja arahan dan permintaan pelaku.

 

5. Groomed for Self-blame

Sasaran mangsa : tiada faktor signifikan yang menonjol. Sesiapa pun berpotensi menjadi mangsa.

Strategi pelaku : “Secrecy and blame are my best weapons”

Kenyataan ini merupakan kenyataan daripada pengakuan pelaku sendiri tentang jenis grooming yang dilakukan ke atas mangsa.

Pelaku berkemampuan memanipulasi pemikiran mangsa di mana kesalahan adalah di bahu mangsa sekiranya hal (pencabulan seksual) tersebut diketahui umum misalnya ibu mangsa sendiri. Jadi, untuk berada dalam keadaan selamat, merahsiakannya adalah alternatif terbaik.

Menurut dapatan kajian, semakin mangsa dimanipulasi, semakin besar tanggungjawab (secrecy dan seld-blaming) yang akan ditanggung. Wujud juga keadaan di mana berlaku ugutan oleh pelaku seperti akan memberitahu ibu mangsa bahawa mangsa cuba menggoda pelaku sekiranya mangsa tidak mahu melakukan seks dengan pelaku.

Cukup dengan manipulasi yang telah dialami selama ini ditambah dengan ugutan itu menjadikan mangsa lebih takut untuk bersuara dan akur sahaja dengan permintaan pelaku.

 

6. Groomed for Amnesia

Sasaran mangsa : tiada faktor signifikan yang menonjol. Sesiapapun berpotensi menjadi mangsa.

Strategi pelaku : Pelaku berkemampuan memanipulasi kehidupan mangsa berubah secara total. Tiada strategi khas namun tujuan utama grooming jenis ini adalah untuk memadamkan memori hitam dalam hidup mangsa. Proses adalah lebih kurang sama dengan jenis grooming yang lain namun di hujungnya ia mampu mengarahkan kepada simptom amnesia pada mangsa.

Keadaan ini berlaku kerana kesemua elemen penting dalam hidupnya dieksploitasi seratus peratus. Realiti kehidupannya telah diubah, kepercayaannya digugat, suaranya tidak didengari dan satu patah perkataan dari mulutnya juga dipercayai.

Akan wujud satu keadaan yang boleh menyebabkan ingatan mangsa terhadap peristiwa hitam dalam hidupnya terpadam seketika.

Ia tidak tersimpan dalam bentuk ingatan yang boleh diluahkan dengan kata-kata atau imaginasi. Sebaliknya ia bersifat dinamik dan sesuatu yang tidak ada hujung pangkal. Memori mangsa menjadi kosong dan tiada perkara bermakna untuk dikenangkan.

Penderaan Anak

Imej via ambermb

Maklumat ini bukan perkongsian kosong daripada saya. Apabila kita membaca dan meneliti setiap penerangan daripada keenam-enam jenis sexual grooming ini, otak kita pasti ligat mencari info siapa yang berpotensi untuk menjadi pelaku di sekeliling anak kita.

Bukanlah saya mendoakan ia benar-benar berlaku tetapi sekurang-kurangnya dengan maklumat ini kita lebih celik akal dan kita selangkah ke depan daripada potential offender.

Akan saya kongsikan lagi maklumat tentang gejala sosial ini dalam artikel akan datang. Ia bukan lagi gejala sosial biasa apabila ia melibatkan isu anak-anak yang kita kandung sembilan bulan. Semoga kita dapat menjadi ibu bapa yang peka akan perkembangan anak-anak dari segenap sudut hidupnya.

Wahlahhulam.

Penulis: Fazrina Hazari

Berkahwin dan memiliki 2 cahaya mata lelaki. Memiliki Ijazah Sarjana Psikologi Kaunseling dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Psikologi Industri dan Organisasi dari Universiti Teknologi Malaysia. Merupakan kaunselor berdaftar (KB07137 PA06618). Semoga dapat berkongsi ilmu berkaitan keibupaan dan anak-anak dengan ibu bapa di luar sana.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.